
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 (suku ketiga 2023) meningkat kepada RM468.46 juta daripada RM425.82 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan pada suku tahun tersebut berkurangan 0.9 peratus atau RM14.5 juta kepada RM1.55 bilion daripada RM1.56 bilion sebelum ini berikutan perolehan yang rendah daripada segmen regasifikasi dan pengangkutan gas.
Segmen tersebut mencatatkan perolehan yang rendah berikutan tarif regasifikasi dan pengangkutan yang diluluskan rendah di bawah Tempoh Kawal Selia 2 diimbangi oleh perolehan yang tinggi daripada segmen utiliti dan pemprosesan gas berdasarkan harga produk dan insentif prestasi yang tinggi.
“Kumpulan mengekalkan prestasi kebolehpercayaannya yang bertaraf dunia di semua loji dan kemudahannya pada suku tahun tersebut,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan, PetGas mencatatkan keuntungan bersih yang tinggi sebanyak RM1.38 bilion berbanding RM1.23 bilion dalam tempoh sama pada tahun kewangan sebelum ini. Perolehan turut meningkat kepada RM4.86 bilion berbanding RM4.53 bilion.
Lembaga Pengarah telah meluluskan dividen interim ketiga sebanyak 18 sen sesaham biasa berjumlah RM356.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023.
“Dividen akan dibayar pada 15 Dis 2023 kepada pendeposit yang berdaftar dalam rekod pendeposit semasa penutup perniagaan pada 5 Dis 2023,” menurut kumpulan itu.
PetGas juga berkata jumlah asetnya sebanyak RM19.2 bilion, susut 2.4 peratus atau RM469.8 juta berikutan baki tunai yang rendah disebabkan penyelesaian awal liabiliti pajakan untuk unit simpanan terapung di terminal regasifikasi gas asli cecair di Sungai Udang di Melaka.
Mengenai masa depan, kumpulan itu dijangka mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh pada 2023, disokong oleh kontrak pendapatan yang stabil dan prestasi operasi yang cemerlang.
“Dalam persekitaran kos operasi yang tinggi selepas pandemik, kumpulan akan terus berusaha untuk kecemerlangan operasi serta keseimbangan yang baik antara pertumbuhan pelaburan, kewangan yang berhemat dan pengagihan pemegang saham,” katanya. - BERNAMA