
KANOWIT: Pasukan TTP muncul juara Kejohanan Futsal Terbuka SABERKAS Cawangan Ngemah yang berlangsung di Kompleks Sukan Kanowit, Sabtu lalu.
Dengan kejuaraan itu, pasukan TTP membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi, pingat dan sijil.
Naib juara disandang pasukan KGMR yang menerima RM700 berserta, trofi, pingat dan sijil manakala tempat ketiga dimenangi pasukan SJMZ yang mendapat RM300 berserta trofi, pingat dan sijil.
Tempat keempat dimenangi pasukan HACKER FT yang menerima pingat.
Dengan kejuaraan itu, pasukan TTP menerima Piala Pusingan SABERKAS Cawangan Ngemah.
Kejuaraan lebih manis lagi apabila pemain mereka Hafiq Fikri Jamalludin dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan kali ini.
Terdahulu, pertandingan telah dirasmikan Donny Niambang, Setiausaha Sulit kepada Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang dan turut hadir Penghulu Ron Ugai, Pengerusi SABERKAS Cawangan Ngemah Mohd Danial serta ahli exconya yang lain.
Menurut Danial, sebanyak 16 pasukan telah menyertai pertandingan ini bagi mencungkil bakat belia yang terpendam selain mengeratkan lagi perpaduan antara rakyat berbilang kaum.
"Dengan program seperti ini kita memberi peluang kepada belia untuk menyertai program yang berfaedah dan kita ingin belia mencapai wawasan sama dengan negara maju," katanya.