
KUCHING: Perpaduan penting dalam dalam konteks menyatukan masyarakat untuk memastikan perancangan kerajaan khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dapat dilaksanakan.
Justeru Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata Karnival Gabungan Kejiranan Mesra (KJM) DUN Demak Laut berupaya memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk berkumpul dan bertukar-tukar pendapat melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.
"Karnival kali ini menyaksikan pertandingan sepak takraw, karom, E-Sport, pertandingan masakan, pertandingan lagu pop yeh-yeh, ‘fashion show’ untuk kanak-kanak, bengkel serta pertandingan usahawan dalam membuat logo menggunakan aplikasi canva dan shoppe.
"Sekali gus menjadikan KJM sebagai sebuah landasan yang tepat untuk merapatkan silaturahim serta menyediakan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk golongan masyarakat khususnya di Demak Laut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Gabungan KJM DUN Demak Laut yang berlangsung dengan meriah di Dewan Serba Guna Taman Sepakat Jaya, semalam.
Pihaknya turut menganjurkan pertandingan E-Sport seperti mobile legend yang juga dilihat mampu menarik golongan belia bagi sama-sama menjayakan karnival tersebut.
Pada masa yang sama berupaya mengelakkan golongan ini daripada terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah, tambahnya.
Karnival kali ini dimeriahkan lagi dengan penyertaan daripada agensi-agensi seperti Sarawak Skills, CENTEXS, MARA, PETROSAR Academy, Kolej Komuniti Santubong, RHB, Harina Skills, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Saberkas HQ yang membolehkan masyarakat setempat berkomunikasi secara langsung dengan agensi tersebut.
Turut hadir Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman dan Pengerusi Kejiranan Mesra (KJM) Demak Laut Muhamad Azani Daud.