Anda di sini

Pemuda mengaku bersalah ugut bunuh ibu angkat 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mengugut hendak menyebabkan kematian terhadap ibu angkat, gara-gara tidak diberi wang.

Pemuda berusia 20 tahun itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi sebaik didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 November 2023, sekitar jam 10.40 pagi di sebuah rumah di Kampung Paya Mebi, Batu 10 di sini. 

Fakta kes mendedahkan tertuduh meminta wang daripada ibu angkatnya (pengadu) namun pengadu enggan memberikannya kerana percaya bahawa tertuduh akan menggunakan wang sama ada untuk berjudi atau untuk barang terlarang seperti dadah.

Berikutan itu, tertuduh mengamuk dan seterusnya mengugut hendak membakar bas sekolah milik pengadu, selain mengeluarkan kata-kata seperti ‘mun sik dapat bakar bas aku mok bunuh mak’.

Pengadu yang berasa takut dan terancam seterusnya bertindak membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari sama, sekitar jam 7.45 malam. 

Hasil siasatan mendapati kejadian sebegitu sering berlaku dan keadaan ini menyebabkan pengadu berasa tidak tahan dengan sikap tertuduh. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement