
SIBU: Seorang pelajar institusi swasta kerugian RM17,343 selepas ditipu individu yang menawarkan pekerjaan dalam talian dengan komisen.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang berusia 20-an menerima mesej menerusi Facebook daripada Lam Keke yang menawarkannya kerja sambilan dalam talian dengan komisen pada 15 November lalu.
“Mangsa mula berminat dan menghubungi suspek melalui WhatsApp.
“Suspek memberikan pautan kepada barangan di bawah jenama Ynap Singapore dan mengarahkan mangsa menyelesaikan tugasan dengan mengambil tangkap layar barangan yang diingininya.
“Bagi setiap tugasan, mangsa disuruh membuat pembayaran ke nombor akaun yang diberikan suspek,” katanya.
Zulkipli berkata, untuk tugas pertamanya, mangsa menerima komisyen RM8.15 yang dipindahkan ke akaunnya.
Kemudian mangsa membuat beberapa tugasan serupa dan diminta membuat bayaran, katanya.
“Suspek berjanji kepada mangsa bahawa bayaran akan dikembalikan kepadanya bersama-sama komisen.
“Dari 18 hingga 19 November lalu, mangsa telah memindahkan lima bayaran ke dua akaun bank berbeza untuk menyelesaikan tugasnya bagi memperoleh komisen yang dijanjikan.
“Dia hanya menyedari ia satu penipuan selepas masih tidak mendapat komisen yang dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa membuat laporan kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dan terpengaruh dengan tawaran kerja melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
Orang ramai harus melakukan semakan terperinci dengan syarikat atau agensi yang berkaitan sebelum memohon atau menerima sebarang tawaran kerja yang meragukan.