
BINTULU: Pekarangan Pusat Komuniti Kampung Assyakirin yang tidak rata akan dinaik taraf bagi membolehkannya digunakan bagi menjalankan pelbagai aktiviti riadah pada masa akan datang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang, keadaan dan struktur tanah di pekarangan pusat komuniti terbabit mempunyai cerun yang tidak rata semasa pembinaan awalnya.
"Projek membaik pulih pekarangan pusat komuniti serta kerja-kerja penyelenggaraan yang lain mengikut keperluan akan dijalankan secara berperingkat demi keselesaan penduduk yang menjalankan aktiviti atau program di dewan terbabit," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Projek menaik taraf jelasnya, akan dilaksanakan melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang turut meliputi penyelenggaraan sistem perparitan termasuk pemasangan pendingin hawa serta kemudahan lain dalam pusat komuniti.
Lawatan yang dijalankan beliau bersama rombongan pada hari sebelumnya jelas Pang, turut mendapati pentas auditorium di dalamnya agak kecil, justeru beliau bercadang memindahkan pintu masuk dalam pusat komuniti ke bahagian belakang bagi meluaskan lagi keluasan pentas.
"Bagi keselesaan pengguna, kemudahan lain seperti tikar antigelincir serta jaring badminton akan ditambah bagi keselesaan penduduk kampung yang hendak bermain badminton di situ," jelas Johnny.
Secara keseluruhannya, Pang berharap agar kerja-kerja menaik taraf kemudahan pusat komuniti akan dapat berjalan lancar dan siap sebagaimana tempoh ditetapkan.
Kerajaan jelasnya, sentiasa komited dalam melaksanakan semua projek khususnya penyediaan prasarana serta infrastruktur yang terbaik buat rakyat.