Anda di sini

Kerajaan Sarawak tidak pernah pinggir mana-mana kaum: Premier

Advertisement
Uggah menyalakan kuthuvilakku (lampu tembaga) sebagai simbolik meraikan sambutan Deepavali pada majlis Rumah Terbuka Deepavali 2023 di ISKCON malam Ahad. - Gambar UKAS
Uggah menyalakan kuthuvilakku (lampu tembaga) sebagai simbolik meraikan sambutan Deepavali pada majlis Rumah Terbuka Deepavali 2023 di ISKCON malam Ahad. - Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum sebaliknya komited untuk menyediakan sokongan dalam pelbagai aspek kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, komitmen ini selaras dengan teras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang memberikan kesamarataan akses kepada peluang dan sumber untuk seluruh rakyat Sarawak.

“Ini termasuk memberikan bantuan kepada masyarakat India Sarawak selain memastikan mereka turut serta dalam sektor pembangunan negeri.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan Sarawak untuk terus memastikan setiap rakyat mendapat sokongan tanpa ada yang terkecuali," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis Rumah Terbuka Deepavali 2023 di Persatuan Antarabangsa Bagi Kesedaran Krishna (ISKCON) di sini, malam Ahad.

Sehubungan itu, Abang Johari menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaliber untuk mewakili masyarakat India di Sarawak.

“Misalnya seperti Hindu Sangam Malaysia Sarawak dan ISKCON yang komited untuk membantu kerajaan Sarawak dalam hal-hal berkaitan. 

“Justeru kita mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan dan sumbangan mereka kepada kemajuan rakyat, negeri dan juga, negara,” ujarnya.

Bagi menghargai sumbangan masyarakat India, katanya, kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM5.06 juta untuk pelaksanaan projek prasarana kuil sejak tahun 2017. 

Berkenaan penganjuran Rumah Terbuka Deepavali itu, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama menjayakan acara tersebut.

"Deepavali adalah sambutan untuk kita mengingati mereka yang kurang bernasib baik dan membawa cahaya ke dalam kehidupan mereka. 

"Pada masa sama, untuk meraikan kepelbagaian kita dan menggalakkan keterangkuman yang menjurus kepada komuniti yang lebih kukuh dan harmoni.

“Menerusi perayaan seumpama ini, kita dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dengan menggalakkan penyertaan aktif semua rakyat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang menarik," kata beliau.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Pengarah UNIFOR Sarawak Datu Jack Aman Luat dan Pengerusi Hindu Sangam Sarawak Kripa Sindhu Krishna Prabhu.

  • oleh
  • Advertisement