Anda di sini

Kabinet setuju Bahasa Inggeris dalam urusan rasmi di Sabah, Sarawak

Advertisement
EWON
EWON

PENAMPANG: Kabinet Persekutuan bersetuju supaya penggunaan bahasa Ingeris dibenarkan bagi urusan rasmi di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan itu selaras dengan perlembagaan kedua-dua negeri yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris termasuk dalam prosiding di mahkamah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu katanya, penganjuran Program 'Be English Speakers Today' (BEST) amat sesuai dengan dasar dan keputusan kerajaan itu.

“Pelancaran BEST ini dapat membudayakan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak kita selain daripada bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Progam BEST anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Yayasan Pendidikan INDEP (IEF) di Sekolah Kebangsaan (SK) Moyog di sini hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berharap para pelajar menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu bahasa ibunda yang menggambarkan suku bangsa seseorang, bahasa kebangsaan dan sekurang-kurangnya satu bahasa utama antarabangsa.

“Bahasa kebangsaan wajib untuk dikuasai oleh semua warganegara Malaysia selain bahasa antarabangsa sama ada bahasa Inggeris, Mandarin, Arab atau bahasa-bahasa utama lain di dunia.

“Saya menghadiri mesyuarat menteri-menteri di Paris beberapa bulan lalu dan banyak yang mengambil bahagian dalam mesyuarat itu menggunakan bahasa masing-masing.

"Tetapi sudah tentu apabila kita berupaya menggunakan bahasa antarabangsa, ia akan menjadi kelebihan apabila berada dalam perkumpulan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YBR dan Yayasan Pendidikan INDEP atas inisiatif menganjurkan program yang memberi manfaat kepada para pelajar sekolah.

“Program ini akan memberi manfaat kepada 390 murid yang akan mengikuti pembelajaran mengikut modul yang disediakan untuk tujuan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

"Ia melibatkan murid di enam daerah terpilih iaitu 10 sekolah rendah dan dua melalui pertubuhan bukan kerajaan,” katanya dan menambah program itu akan dilaksanakan sehingga tahun depan.

Ewon juga berharap Program BEST dapat diperluaskan ke daerah-daerah lain dan meminta YBR meningkatkan lagi sumbangan terhadap program ini pada masa akan datang agar lebih ramai pelajar di Sabah khususnya luar bandar menguasai bahasa Inggeris.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Pendidikan INDEP Tan Sri Bernard Dompok; Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Guru Besar SK Moyog Anni Anthony.
 

Advertisement