Anda di sini

Johari harap kanak-kanak di Gaza diberi perlindungan daripada kezaliman

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mendoakan supaya semua kanak-kanak khususnya yang berada di Semenanjung Gaza diberikan perlindungan daripada sebarang bentuk kezaliman.

Perkara itu disampaikan dalam pemasyhuran beliau sebaik sidang Dewan Rakyat bermula hari ini.

Menurut Johari setakat hari ini, lebih 700,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal dan lebih 4,600 orang telah kehilangan nyawa serta hampir 9,000 lagi cedera.

“Pada hari ini, 20 Nov 2023, dunia menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia, tarikh penting untuk kita semua memperbaharui tekad melindungi hak kanak-kanak berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak pada 1995, terutamanya berkaitan dengan hak kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan serta penyertaan kanak-kanak,” katanya.

Johari turut mengingatkan Ahli-ahli Parlimen dan pemegang amanah termasuk ibu bapa dan pendidik di negara ini untuk memastikan kanak-kanak membesar dengan bebas daripada diskriminasi, keganasan dan eksploitasi dalam suasana selamat dan sejahtera.

Beliau memaklumkan Pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia diadakan di Lobi Utama Parlimen bermula 11 pagi ini, manakala sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia akan diadakan di Foyer Parlimen pada 1 tengah hari.

Johari (kiri) menyampaikan ucapan Hari Kanak-Kanak Sedunia menggunakan bahasa isyarat pada majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 anjuran UNICEF yang diadakan di Bangunan Parlimen hari ini. Hadir sama Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Muhammad Zamani Mohd Ali (kanan). - Gambar BERNAMA
Johari (kiri) menyampaikan ucapan Hari Kanak-Kanak Sedunia menggunakan bahasa isyarat pada majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023 anjuran UNICEF yang diadakan di Bangunan Parlimen hari ini. Hadir sama Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Muhammad Zamani Mohd Ali (kanan). - Gambar BERNAMA

Sementara itu, berucap pada program sambutan Hari Kanak-kanak 2023 di blok utama Parlimen hari ini, Johari berkata di bawah bidang kuasa perundangan, Dewan Rakyat turut berperanan memastikan agenda memperkasakan hak kanak-kanak dikekalkan.

Menurut Johari beliau percaya bahawa apa jua inisiatif yang dilaksanakan untuk memanfaatkan kanak-kanak merupakan satu pelaburan yang bijak memandangkan mereka bakal menerajui kepimpinan negara.

"Parlimen Malaysia komited dalam memastikan hak kanak-kanak dilindungi melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat yang bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang serta mata dan telinga rakyat dalam memantau pelaksanaan dasar serta program kerajaan.

“Malah, kita juga telah menubuhkan Parlimen Belia yang akan memilih belia dari usia 16 tahun dan tahun depan, kita akan mengadakan Parlimen Belia dengan 222 wakil belia akan bersidang serta membincangkan isu-isu negara,” katanya. 

Johari berkata selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau akan mengingkatkan Ahli-ahli Parlimen untuk memohon bajet lebih besar bagi kanak-kanak untuk tahun mendatang. - BERNAMA

Advertisement