

Oleh: Mohd Ali Salim
DI MANAKAH JAYBON? Jaybon tidak kelihatan lagi. Dia memanggil nama Jaybon dengan suara manja dan nyaring yang tertahan. Dia memerhati di sekeliling apong dan di kawasan sungai. Takut-takut ada orang memerhati dan mendengar dia memanggil Jaybon. Hubungannya dengan Jaybon perlu dirahsiakan. Lebih-lebih lagi pada waktu ini kaum kerabat Jaybon menjadi pesalah. Kawasan itu sunyi. Lebih sunyi lagi sejak kejadian itu, orang takut ke sungai. Yang ada meronda di sungai ialah pihak berkuasa dan orang kampung yang membantu mencari satu kehilangan.
Di tebing sungai yang rapuh dengan tanah becak, selut dan banyak lubang-lubang ramak, akan mudah terjatuh ke dalam air yang hanya beberapa kaki dari pokok-pokok apong. Oleh itu, Bujang kena berhati-hati beremak menyusuri tebing bahaya itu sambil membawa tabung air sadap yang dibuat daripada buluh besar. Parang candong kemas diikat di pinggang. Lebih bahaya dari tebing itu ialah penghuni air berkuku tajam, bergigi panjang dan berkulit keras.
Walaupun bahaya pada pandangan orang lain, tetapi Bujang tidak terlalu takut, tetap meneruskan kerjanya di situ. Bukan sekali tetapi berkali-kali dia perlu melewati apong-apong itu untuk mendapatkan air sadap. Dia perlu ke situ menggoyang tangkai buah tematuk beberapa hari sebelum tangkai itu dipotong dengan pisau tajam. Titisan air daripada tangkai itu ditadah dengan tabung buluh yang dibawanya. Oleh itu, boleh dikira banyak kali Bujang terpaksa ke kawasan apong yang sama untuk mendapatkan air sadap. Dia perlu menggoyang tiga hari berturut-turut dan berhenti pada hari keempat sebelum menyambung lagi tiga hari berturut-turut selepas itu. Paling awal pun tangkai itu boleh disunat pada hari kesembilan. Itu mengikut petua orang lama agar mendapat air yang banyak dan tahan lama. Jadi, banyak kali Bujang sudah melalui kawasan bahaya itu. Pernah sekali ketika air pasang, Bujang jatuh ke air. Bujang basah kuyup tetapi ada benda besar menolak punggungnya. Dia dibawa oleh Jaybon ke tebing semula. Dia duduk di atas Jaybon tanpa takut kerana sudah biasa. Dari situ juga Bujang merasakan Jaybon sentiasa mengekorinya; mungkin untuk menjaganya ataupun rindu ingin bermain dengannya. Sekali-sekala dia akan timbul jika Bujang ada di tebing. Bujang akan memanggil namanya. Jaybon pula seperti memahami dengan pandangan matanya yang besar itu.
Sebenarnya hubungan Bujang dan Jaybon dirahsiakan. Bujang tidak menghebahkan bahawa dia mempunyai kawan karib di air. Bujang pun tidak tahu kenapa dia perlu merahsiakan, seolah-olah itu permintaan Jaybon walaupun Jaybon tak pernah berkata-kata. Bujang kenal dengan Jaybon sejak kecil lagi. Suatu ketika dahulu orang-orang kampung di sepanjang Sungai Samarahan tidak takut dengan buaya. Kehidupan antara buaya dan manusia saling mengerti. Tiada sengketa antara dua jenis makhluk Tuhan ini. Bujang seperti kanak-kanak lain, suka bermain di sungai. Bujang dan rakan-rakannya, Sentol, Jeman dan Suip, selalu terjun dari dahan pokok pedada ke dalam air. Mereka berenang-renang dan menyelam. Mereka tidak takut pun dengan Sang Bedal. Malah orang tua selalu berseloroh mengatakan buaya yang takut dengan budak-budak itu. Walaupun itu hanya kata-kata gurauan untuk menempelak perbuatan budak-budak yang suka mandi di sungai atau digelar hantu air kerana akan balik selepas mata berwarna merah, tetapi bagi Bujang kata-kata itu benar. Memang benar, buaya takut dengan mereka.
Bujang menggoyang tangkai tematuk, sekali-sekala diketuknya dengan kayu. Beberapa hari lagi tangkai itu boleh dipotong. Dia duduk sebentar di atas pohon apong yang sudah lama ditebang. Dia menghadap ke arah sungai yang cetek. Air sudah surut. Tiada seekor pun buaya kelihatan. Mungkin operasi pihak berkuasa menakutkan buaya itu. Bujang terbayang ketika zaman anak kecil menjadi juara di sungai. Dia bersama-sama Suip, Jeman dan Sentol melihat buaya-buaya kecil berjemur di pantai. Mereka berempat memang nakal, sering mengganggu buaya-buaya itu. Mereka bertempik ke arah buaya. Buaya-buaya yang sedang bermalas-malas itu segera bangun dan lari dikejar serta dilontar dengan buah pedada oleh anak-anak kecil itu. Buaya-buaya itu lari ke sungai dan hilang. Sebab itu, Bujang akui bahawa buaya memang takut dengan mereka. Mereka yang jahat berbanding buaya kerana buaya tak pernah pun mengganggu mereka.
Ketika itulah Bujang mengenali Jaybon. Dialah yang memberi nama Jaybon. Dia bersahabat dengan Jaybon sejak kecil. Dia sering duduk di belakang Jaybon ketika Jaybon berjemur di pantai. Itu pun, jika tiga orang budak nakal yang lain tiada, kerana Jaybon lebih selesa dengan Bujang. Bujang selalu mengusap kepala Jaybon dan mengajak Jaybon bercakap. Jaybon pun sering membawa Bujang berenang dan beranyut di sungai. Namun sejak akhir-akhir ini dia tidak melihat kelibat Jaybon. Mungkin Jaybon terkesan dengan operasi mencari buaya. Bujang tahu Jaybon tidak bersalah. Kes yang berlaku kini bukan angkara Jaybon yang dikenalinya.
Empat hari lepas, Sentol telah hilang. Dia ke sungai menjala ikan. Sampannya ditemui hanyut. Orang kampung heboh tentang kehilangan Sentol dibaham buaya. Sejak empat hari yang lalu orang kampung dan pihak berkuasa berkampung di sungai untuk mencari Sentol. Pihak berkuasa memberi kebenaran operasi menangkap buaya kerana sudah beberapa kali kejadian serangan oleh binatang buas itu terhadap penduduk kampung. Bujang pun turut serta dalam operasi mencari Sentol, tetapi pada hari keempat dia tidak ikut kerana teringat banyak tempahan gula apong. Bujang terpaksa juga berada di habitat haiwan buas itu kerana apong-apong di tepi sungai itu menjadi sumber pendapatannya. Memang dia terdedah dengan serangan buaya tetapi tidak pernah berlaku kepadanya.
Selepas menggoyang beberapa tangkai tematuk, Bujang pergi ke apong-apong yang lain untuk mengutip tabung air sadap. Banyak tabung buluh yang dipasang sepanjang malam untuk menadah titisan rezeki daripada tangkai tematuk. Sebelum matahari meninggi, Bujang perlu mengutip tabung-tabung itu untuk dibawa ke bangsal di belakang rumah. Di situ ada dapur dan kuali besar untuk memasak air sadap menjadi gula apong.
Pada hari itu, sebelum matahari di tengah langit, Bujang sudah ada di bangsal untuk memasak air sadap. Api dalam dapur sudah dinyalakan awal oleh Aminah, isterinya. Dia menuang satu persatu air sadap dari setiap tabung buluh yang dibawanya ke dalam kuali besar. Dia melihat air sadap di dalam kuali. Senyum, puas kerana air sadap itu berkualiti tinggi. Malam tadi tidak hujan. Air sungai tidak melimpah masuk ke dalam tabung buluh. Jadi air sadap itu tulen, tidak bercampur air. Air itu tidak masam.
Air sadap itu dimasak hingga tiga jam. Sampai likat menjadi gula apong. Dia menggunakan kelido besar dibuat daripada kayu untuk menggaul air sadap yang panas berasap-asap. Sebentar dia berhenti, mengalihkan kayu api di bawah dapur. Kemudian dia terus menggaul sehingga gula apong menjadi pekat. Sekali-sekala dia berhenti rehat sambil memerhati kuali besar itu. Namun dalam kepalanya sering terfikir tentang Jaybon yang tidak kelihatan. Ke manakah Jaybon pergi? Tidak mungkin Jaybon terlibat. Dia tahu tentang Jaybon. Kalau Jaybon ganas sudah lama dia menjadi mangsa. Kalau pun Jaybon terdesak seperti buaya-buaya lain yang kelaparan kerana sukar mendapat makanan, tetap aku tidak percaya Jaybon sanggup makan manusia. Dalam banyak-banyak buaya, tidak semua buaya itu terdesak oleh keadaan zaman yang berubah. Persekitaran habitat dan makanan yang berkurangan tidak menghancurkan semua sikap buaya sehingga terdesak menyerang manusia. Aku yakin Jaybon antara buaya yang begitu, yang tahan ujian zaman dan tidak mudah mengalah. Jaybon buaya yang baik. Begitu juga manusia, tidak semua manusia jahat apabila berdepan desakan dan pengaruh kehidupan yang menghimpit. Tidak semua manusia menjadi jahat untuk hidup. Tidak semua manusia menjadi penindas dan makan rasuah untuk hidup. Lebih ramai yang masih taat dan yakin dengan kehidupan baik tanpa perlu menindas manusia lain. Pelbagai fikir bercambah dalam kepala Bujang. Fikirannya bimbang akan Jaybon.
Bujang terkejut daripada lamunan tatkala mendengar bunyi orang datang. Dia menoleh ke belakang. Ayah saudara Sentol datang. Pada raut wajahnya seakan-akan ada sesuatu yang tidak memuaskan hati. Adakah aku ada mengganggu atau terambil tabung buluh orang lain? Fikir Bujang. Setahu dia, di kawasan apong itu hanya dia yang mengambil air sadap. Tidak mungkin dia mengganggu orang lain. Lagipun apong-apong itu bukan kepunyaan sesiapa pun. Tumbuh dalam kawasan tanah rizab sungai. Di situ pun sunyi sepi tidak bersangkutan dengan kerja orang lain.
“Kenapa kau tak ikut orang mencari, orang sekampung heboh di pengkalan dan membantu mencari Sentol, kau pula macam tak ada apa-apa berlaku,” ujar Pak Tambi dengan nada sinis, menampakkan hati sedang terbakar.
Oh, dia mengingatkan saya agar mengikut orang kampung. Teka Bujang cuba menyenangkan hatinya. “Tak, semalam dan tiga hari sudah, saya ada bantu, turut sama mencari. Hari ini saya teringat janji orang yang menempah gula apong, jadi saya buat dulu gula apong. Lepas siap ini nanti saya ke sana pula.” Jawapannya bersahaja tanpa ada emosi melawan, mengelak sebarang nada kurang senang. Bujang memberitahu dengan jujur. Memang benar, nanti Minah yang menjual cendol gula apong akan datang mengambil tempahan. Begitu juga dengan Semah yang menjual aiskrim gula apong akan datang juga petang nanti. Mak Temah, penjual kuih pun mungkin akan datang petang nanti. Kerja hari ini untuk mencukupkan simpanan gula apong yang sedia ada. Bujang perlu memenuhi tempahan pengguna. Bujang tahu perniagaan mereka tidak boleh putus. Cendol gula apong, aiskrim gula apong dan kuih-muih daripada gula apong itu sudah menjadi minat ramai.
“Kau ni biar betul. Aku dengar buaya besar tu, kau yang selalu beri makan. Orang lain mana berani dengan buaya. Kau saja yang kami dengar berkawan dengan buaya, sanggup beri makan lagi tu.” Kata-kata Pak Tambi seperti panah beracun. Mujur dia terus beredar.
Bujang menggeleng kepalanya. Hanya itu tujuan kehadiran Pak Tambi. Dia cuba disalahkan atas kehilangan Sentol. Dia akui, memang dia selalu beri Jaybon makan ayam. Itu tanda kasih seorang sahabat. Hubungan rahsia dia dan Jaybon rupanya sudah tersingkap. Dia cuba menyelak kembali lembaran hidupnya untuk mencari punca. Ya, hanya Suip yang pernah terserempak dengan dia ketika memberi Jaybon makan. Punca tidak lagi menjadi penting. Lebih penting baginya ialah adakah benar Jaybon yang makan Sentol? Ah, tidak mungkin.
Kehadiran Pak Tambi penting walaupun sekejap. Bujang perlu mengetahui tuduhan penduduk kampung terhadapnya. Jika tidak, dia dipandang salah di sebalik senyuman ramah penduduk kampung. Pak Tambi pemberi maklumat yang berguna. Namun kehadiran Pak Tambi mendatangkan kesan emosi pada dirinya. Dia dituduh dengan tuduhan berat. Dia bersubahat dengan pembunuh yang membunuh sahabat baiknya sendiri. Tuduhan itu ditujukan kepada Jaybon, buaya besar yang dikatakan Pak Tambi sebagai peliharaan Bujang. Jaybon memang buaya paling besar di sungai itu. Dia belum pernah melihat buaya lain yang lebih besar daripada Jaybon. Jika Jaybon itu sebaya dengannya, usia Jaybon sudah melebihi 40 tahun. Bujang mengandaikan begitu kerana Jaybon rapat dengannya sejak dia masih di alam kanak-kanak lagi. Ketika itu saiz Jaybon adalah dalam golongan anak buaya. Berapa setia dan lamanya hubungan dia dengan Jaybon meniti usianya dari zaman kanak-kanak hingga dewasa. Tetapi kini Bujang dihantui oleh tuduhan Jaybon sebagai pembunuh Sentol. Bujang juga dikaitkan dengan pemelihara pembunuh. Bujang tidak percaya. Dia terbayang lembaran kisah lalu.
Suatu ketika, kira-kira setahun lalu, Bujang letih berjalan dari satu rumpun apong ke rumpun apong yang lain. Dia lemah lalu berpaut pada daun apong yang buruk menyebabkan dia jatuh dari tebing ke dalam sungai. Bujang cuba berenang ke tebing melawan arus air yang deras, namun dia dibawa ke tengah-tengah sungai. Dia melihat beberapa ekor buaya berenang menghampirinya, terdengar juga ada yang menuruni tebing seperti dia menjadi makanan yang terhidang. Dia berserah kepada Allah. Dia mengerti perubahan zaman, sikap buaya pun sudah berubah. Kalau dulu buaya dikejar seperti alat permainan tetapi realiti sedang berlaku, dia menjadi rebutan. Tiba-tiba muncul buaya besar di depannya. Dia tidak takut kerana dia mengenali Jaybon. Dia berpegang pada tubuh keras itu lalu naik di atasnya. Dia melihat reaksi Jaybon menghalau buaya-buaya lain. Buaya-buaya itu lari. Jaybon membawa dia ke tebing yang becak. Dia terlalu letih hingga terpaksa baring lama di situ. Ketika itu dia merasai kasihnya seekor haiwan. Tidak berganjak dari sisinya dengan kepalanya berada di bawah kangkang. Mata besarnya kuyu seperti sedih melihat keadaan Bujang yang lemah. Dari atas tebing, Bujang melihat saiz besar Jaybon. Bujang menganggarkan saiz Jaybon lebih empat meter panjang dan lebarnya pada bahagian perut hampir dua meter. Itu agak-agak perkiraan oleh Bujang. Kejadian itu membuktikan bahawa Jaybon bukan jahat. Jaybon tidak terdesak oleh perubahan habitatnya hingga sanggup membunuh manusia. Walaupun buaya-buaya lain terkesan tetapi bukan Jaybon. Bujang meyakinkan dirinya.
Hampir tiga jam Bujang menggaul air sadap yang berasap dalam kuali besar. Air sadap sudah bertukar menjadi gula apong yang likat dan cantik berwarna coklat dan sedikit putih. Menunggu sedikit sejuk selepas api dikurangkan, Bujang dan isteri akan memasukkan gula apong ke dalam bekas. Kemudian akan ditimbang mengikut tempahan pelanggan. Di dalam rumah terdapat beberapa tong cat besar yang sudah dicuci bersih dan penuh berisi gula apong. Semuanya sudah ada yang menempah.
Kedengaran bunyi bising. Bunyi riuh penduduk kampung. Khabarnya buaya sudah ditangkap. Dada Bujang berdebar-debar. Bujang seperti ketua perompak yang anak-anak buahnya sudah ditangkap. Bujang segera ke pengkalan dengan baju masih berbau asap. Dia meninggalkan kerja menyalin gula apong likat dari kuali ke dalam bekas kepada isterinya. Tahulah isterinya melakukan kerja itu kerana sudah biasa.
Dia ke pengkalan dengan perasaan yang bercampur-campur; bimbang, sedih dan takut. Dia sendiri pun tidak tahu perasaan apakah yang menghantui jiwanya. Dia menaiki motosikal ke pengkalan. Dengan menaiki motosikal, dia dapat mengelak reaksi sinis penduduk kampung terhadapnya sebagai pesalah di sepanjang perjalanan ke pengkalan yang tidak sampai satu kilometer. Dia perlu segera ke situ mencari jawapan. Kelihatan pengkalan tidak dapat dihampiri. Orang ramai berkerumun. Dia terpaksa meletakkan motosikal jauh dari situ dan berjalan kaki. Ramai orang datang. Juga terdapat orang luar dan wartawan kerana kejadian itu menjadi tumpuan seluruh Sarawak. Bujang menahan sahaja senyum sinis orang yang melihatnya. Dia cuba ke depan. Laluannya menjadi mudah kerana orang yang mengaitkan Bujang dengan buaya itu memberi laluan. Kemudian, dengan sekelip mata laluan itu tertutup.
Bujang sudah berada di hadapan sekali. Dia benar-benar melihat Jaybon layu dipasung dengan tali. Agaknya Jaybon sudah mati. Bujang tidak dapat menahan sebak dan sudah tidak terkawal emosinya lantas menerpa ke arah Jaybon. Dia memeluk kepala Jaybon dan menangis di sisi mata Jaybon yang tertutup rapi. Kejadian itu sungguh menyentuh dan menghiris perasaannya hingga keluar air matanya. Orang ramai yang melihat, kehairanan. Pelbagai pandangan timbul, pandangan benci melihat masih ada manusia yang menumpahkan air mata kerana haiwan buas pembunuh itu. Ada juga yang kasihan melihat pertalian kasih antara dua makhluk.
Tiba-tiba kelopak mata Jaybon terbuka lalu bergenang dengan air jernih sambil memerhatikan Bujang yang menangisi pemergiannya. Entahlah itu air sungai atau sesungguhnya air mata kasih seekor haiwan kepada yang mengasihinya. Keadaan ini menyebabkan Bujang teramat sedih lantas merintih sayu, “Maafkan aku Jaybon, aku tak berbuat apa-apa membantu kau. Kau telah menyelamatkan nyawa aku, tapi aku tak mampu membalas apa-apa. Aku tahu engkau bukan jahat. Kau bukan pembunuh.” Kelopak mata Jaybon tertutup kembali dan menampakkan air mengalir di bawah alur mata. Mata Jaybon terus tertutup rapat dan tidak terbuka lagi.
“Tengok, jelas dia yang pelihara buaya ini, dia menangis kerana buaya yang telah membunuh orang-orang kita. Dia tidak kasihankah dengan mangsa seperti Sentol yang sudah hilang?” Pak Tambi bersuara kuat mahu semua orang mendengar dia melepaskan perasaan kecewa dan marahnya.
Pasukan keselamatan menenangkan Bujang yang masih memeluk dan mencium kepala buaya itu. Tiga orang polis membawa Bujang menjauhi buaya itu kerana operasi membelah perut buaya akan dilakukan sebentar lagi. Bujang berjanji dengan polis dan ketua kampung bahawa dia tidak akan mengganggu. Dia mohon kebenaran untuk melihat. Nada suaranya masih berat sebak. Pihak polis menenangkan Bujang dan juga Pak Tambi. Mereka bersama-sama melihat pembedahan itu untuk mendapatkan bukti. Sungguh berat mata Bujang menyaksikan sahabatnya diperlakukan begitu, tetapi lebih baik disaksikan oleh orang ramai kebenaran yang ada dalam perut Jaybon. Kebenaran sudah terbukti daripada belahan perut sahabat yang sudah lama menjaga keselamatan Bujang daripada buaya-buaya ganas. Satu persatu bahan dalam perut buaya itu dikeluarkan seperti plastik, sisa guni baja kelapa sawit dan hidupan air yang menjadi makanannya. Itu sahaja yang ada, tiada satu pun anggota manusia walau sehelai rambut Sentol. Kebenaran itu amat memeritkan jiwa Bujang dan meninggalkan bekas pada insan yang melihat kebenaran.
Glosari
air sadap nira nipah
apong nipah
beranyut bergerak menurut aliran air
beremak berjalan mengharungi lumpur
kelido senduk dibuat daripada kayu
parang candong parang pendek bersarung yang diselitkan di pinggang
pengkalan jeti tempat mengikat perahu
ramak sejenis ketam yang boleh hidup atas darat
selut semak
tematuk buah nipah

