
KUCHING: Inisiatif pelaksanaan undang-undang ombudsman Sarawak bertujuan memudahkan urusan penyiasatan selain mewujudkan kerjasama antara pelbagai agensi di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir memberitahu, ia antara perkara yang mampu meningkatkan kualiti penyiasatan sekali gus menyediakan perkhidmatan yang baik.
"Ombudsman boleh bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk mengumpul maklumat, menjalankan siasatan dan melaksanakan langkah pembetulan.
"Kerjasama ini memupuk semangat kerjasama dan memastikan bahawa ombudsman mempunyai akses kepada sumber yang diperlukan untuk memenuhi mandatnya dengan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahas Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau berkata, pejabat ombudsman komited untuk mempertahankan standard kualiti dan kecekapan tertinggi sambil menjalankan tugasnya dengan integriti dan kecemerlangan untuk kepentingan rakyat.
"Komitmen ini ditunjukkan oleh kerajaan menerusi penambahbaikan berterusan sistem pengurusan kualiti untuk memastikan pematuhan dengan piawaian global dan melebihi jangkaan rakyat," katanya.
Beliau menambah, kuasa di bawah ombudsman ini meliputi perbuatan pegawai awam, pekerja, pejabat atau agensi yang menyalahi undang-undang.
"Ombudsman diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan untuk memaksa pematuhan dan mempercepatkan pemenuhan kewajipan undang-undang oleh pegawai dan agensi kerajaan dan instrumen.
"Ini juga memastikan mereka yang menyalahi undang-undang bertanggungjawab atas tindakan mereka dan rakyat menerima perkhidmatan yang sepatutnya dengan segera," ujarnya.