
SIBU: Seorang gadis berusia 22 tahun didenda RM1,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat dalam perjudian dalam talian di tempat awam menggunakan telefon bimbit.
Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman itu terhadap Angelie Juan dari Jalan Sentosa Barat di sini selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Barangan yang disita di bawah seksyen itu juga akan dilucuthakkan kepada kerajaan untuk diuruskan dengan sewajarnya.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan ketika polis melakukan serbuan di sebuah kedai serbaneka di Lorong Ulu Oya 11B di sini pada 29 September, 2023 kira-kira jam 1 petang.
Dalam pemeriksaan, polis menemui dan merampas telefon bimbit yang disyaki digunakan bagi tujuan menambah nilai kredit dalam talian bagi aktiviti perjudian haram.
Tertuduh membayar denda itu.
Pendakwaan dijalankan oleh ASP Linggi Tawi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.