Anda di sini

DUN lulus RUU Ordinan Ombudsman Sarawak

Advertisement

Dilulus selepas dibentang Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada bacaan kali ketiga

Awang Tengah (empat kanan) bersama Juanda (tiga kiri) merakam kenangan bersama peguam yang terlibat dalam penggubalan RUU Ombudsman semasa Persidangan DUN hari ini.
Awang Tengah (empat kanan) bersama Juanda (tiga kiri) merakam kenangan bersama peguam yang terlibat dalam penggubalan RUU Ombudsman semasa Persidangan DUN hari ini.

"Oleh itu, undang-undang ini akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam agensi kerajaan dengan membenarkan orang ramai melaporkan penyelewengan kepada ombudsman.” 

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

Timbalan Premier Sarawak 

Oleh Hamkar Sarbinee

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Ombudsman Sarawak pada Persidangan DUN di sini hari ini.

RUU itu diluluskan selepas dibentang oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada bacaan kali ketiga.

Awang Tengah ketika membentangkan RUU itu berkata, ia dibangun bagi menentang penyelewengan oleh agensi perkhidmatan awam negeri dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

"Oleh itu, undang-undang ini akan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam agensi kerajaan dengan membenarkan orang ramai melaporkan penyelewengan kepada ombudsman. 

"Ombudsman ini memastikan akan ada elemen semak dan imbang selain membolehkan kerajaan menambah baik sistem dan prosedur penyampaian perkhidmatan," katanya.

Jelasnya lagi, ombudsman itu akan memastikan keadilan, ketelusan dan akauntabiliti dalam penyampaian perkhidmatan mereka yang penting untuk Sarawak maju ke arah menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030. 

Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, kerajaan diberi kuasa ke atas hal-hal yang berkaitan perkhidmatan negeri.

"Menurut perkara 7 Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, negeri diberi kuasa untuk menggubal hal-hal yang berkaitan dengan jentera kerajaan negeri yang khusus untuk perkhidmatan negeri.

"Sehubungan itu, kami menggunakan kuasa perlembagaan kami untuk menubuhkan Ombudsman Sarawak.

"Ini di mana objektif utama penubuhannya untuk meningkatkan standard akauntabiliti dalam pentadbiran awam selain menyediakan langkah-langkah menentang penyelewengan oleh agensi perkhidmatan awam negeri," tegasnya.

Katanya, ombudsman ialah konsep yang diiktiraf yang diterima pakai oleh kebanyakan negara demokrasi di seluruh dunia, dengan 115 daripada 195 negara mempunyai institusi ombudsman.

"Ombudsman memainkan peranan penting dalam memastikan suara rakyat didengari, dan kerajaan beroperasi demi kepentingan terbaik rakyatnya.

"Ia sebagai usaha dalam menghasilkan undang-undang yang praktikal dan boleh dilaksanakan untuk negeri Sarawak dan mempelajari amalan terbaik, di negeri ini," katanya.

Awang Tengah menambah, Sweden berfungsi sebagai model teladan bagi negara-negara di seluruh dunia kerana peranan dalam mewujudkan sistem ombudsman sejak 214 tahun lalu.

Katanya, ombudsman pertama di dunia telah dilantik di Sweden pada tahun 1809 oleh Raja Charles XII di mana pegawai yang menyalahgunakan kuasa akan diminta bertanggunjawab. 

"Justeru, keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara bertambah baik dengan menjunjung prinsip akauntabiliti awam dan tadbir urus yang baik.

"Terbukti bahawa pengalaman Sweden dengan sistem ombudsman boleh memberikan pandangan yang berharga untuk dicontohi oleh negara lain apabila mewujudkan sistem ombudsman," katanya sambil menambah, atas sebab itu, Sweden telah dipilih untuk menjadi model bagi penubuhan ombudsman Sarawak.

Dalam pada itu, mengenai pelantikan Ombudsman oleh Yang di-Pertua Negeri, ia bertujuan bagi memastikan kesaksamaan dan kebebasan ombudsman.

"Ingin ditegaskan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau seorang ahlinya yang bertindak di bawah kuasa am Majlis," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) yang juga ADUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, ia ditubuhkan bagi melaksanakan siasatan menyeluruh dalam apa jua bentuk aduan yang diterima.

"Kita mengetahui ada aduan sebelum ini tidak dilayan, membuat keputusan tetapi tiada jalan penyelesaian atau ada jalan penyelesaian tetapi pengadu rasa tidak berpuas hati.

"Ini antara bentuk aduan yang akan diselesaikan oleh ombudsman yang dilaporkan oleh orang awam," ujarnya.

RUU itu diluluskan selepas disokong oleh ADUN Batu Kawa yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan dibahas oleh 21 ahli dewan.

Seramai 21 ahli dewan tersebut ialah Royston Valentine (GPS-Tellian), Joseph Chieng (GPS-Bukit Assek), Razaili Gapor (GPS-Beting Maro), Nicholas Kudi (GPS-Baleh), Chong Chieng Jen (DAP-Padungan), Lidam Assan (GPS-Katibas), Johny Pang (GPS-Tanjong Batu) dan Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong).

Turut terlibat ialah Baru Bian (PSB-Ba'Kelalan), Billy Sujang (GPS-Opar), Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga), Safiee Ahmad (GPS-Daro), Chrishtoper Gira Sambang (GPS-Tamin), Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum), Datuk Ding Kuong Hiing (GPS-Meradong), Dato Sri Huang Tiong Sii (GPS-Repok) dan Wilfred Yap Yau Sin (GPS-Kota Sentosa).

Selain itu ialah Dato Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang), Fazzrudin Abdul Rahman (GPS-Tupong), Datuk Mong Dagang (GPS-Bukit Begunan), Datuk Ibrahim Baki (GPS-Satok) dan Dr Johnichal Rayong Ngipa (PSB-Engkilili).

Advertisement