
SIBU: Seramai 900 atlet daripada 49 pasukan mengambil bahagian pada Kejohanan Balapan dan Padang Terbuka Sibu 2023 yang bermula semalam di Pusat Sukan Azman Hashim, Sibu Jaya.
Kejohanan dua hari itu yang tamat semalam telah dirasmikan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu.
Bercakap kepada media, Gerald berkata, penganjuran kejohanan tersebut adalah untuk mencari bakat baharu bagi Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.
“Penyertaan kali ini sangat menarik di mana ia turut disertai atlet dari luar negara iaitu Brunei.
"Pada kejohanan ini, kami juga menghantar wakil dari sekolah sukan di Tabuan Jaya.
"Ini adalah salah satu pendedahan kepada atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini di mana kita boleh menggali bakat atlet yang berpotensi untuk mengambil bahagian dalam SUKMA kelak," katanya.
Rentap juga menambah bahawa kejohanan ini adalah untuk menguji sistem penanda masa bagi persediaan SUKMA kelak.
Sementara itu, pasukan lelaki dan perempuan SUKMA Shadow Team Sarawak muncul juara kategori terbuka sementara pasukan Olahraga Lugoss (lelaki), Axis Track and Field (perempuan), dan Olahraga Brunei (lelaki), Sarikei Selected (perempuan) berada di tempat kedua dan ketiga untuk kategori terbuka.
Sementara itu, SMK Sedaya (lelaki) dan SMK Julau No.2 (perempuan) muncul sebagai pemenang untuk kategori Bawah-14 manakala Kelab Olahraga Speed Force Miri (lelaki), pasukan Olahraga Awa Betong (perempuan) dan SMK Julau (lelaki), SMK Chung Hua Miri (Perempuan) di tempat kedua dan ketiga.
Pasukan lelaki dan perempuan SK Merbau, Miri muncul sebagai pemenang untuk kategori Bawah 11 manakala SJK Yee Ting Kanowit (lelaki), SK Kampung Senau Dalat (perempuan) dan SK SEDC Sibu (lelaki), SJK Thian Chin Sibu (perempuan) di tempat kedua dan ketiga untuk kategori Bawah 11.
Kejohanan Trek dan Padang Sibu Terbuka 2023 dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Amatur Sibu (SAAA) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Turut hadir Presiden SAAA Dr Gregory Hii dan Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming.