KUCHING: Seramai 5,000 pelajar Sarawak daripada golongan berpendapatan rendah yang berjaya mendaftar ke institusi pengajian tinggi (IPT) akan menerima komputer riba percuma daripada Kerajaan Sarawak tahun depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan bagi tujuan itu di bawah Belanjawan Negeri 2024.
“Komputer riba percuma ini akan diberikan kepada pelajar Sarawak yang telah berjaya mendaftar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi isi rumah berpendapatan perkapita RM1,500 sebulan dan ke bawah.
“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar dengan peruntukan RM15 juta dalam bajet kali ini.
“Inisiatif ini diberikan bagi memperkasakan pelajar kita dengan teknologi yang mereka perlukan untuk cemerlang dalam bidang akademik masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Selain itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak turut akan memberi baucar buku RM500 kepada 35,000 pelajar universiti dan kolej Sarawak daripada isi rumah berpendapatan perkapita RM1,500 sebulan dan ke bawah.
“Sejumlah RM17.5 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini tahun depan, yang akan diuruskan oleh Yayasan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, cadangan dua inisiatif di bawah Program Bantuan Pendidikan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak bagi meringankan beban kewangan keluarga selain membolehkan spektrum pelajar yang lebih luas mengakses institusi pengajian tinggi.
“Kita menyedari keperluan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, terutama apabila ia melibatkan kos pendidikan anak-anak kita,” ujarnya