
KAPIT: Bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit yang baharu bakal dibina dengan kos kira-kira RM150 juta.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, IPD baharu itu dicadang akan dibina kira-kira empat kilometer dari IPD sedia ada.
“Manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah membawa permohonan kepada kerajaan negeri dan berharap beberapa urusan berkaitan tanah dapat diselesaikan dengan segera agar IPD baharu dapat dibina mengikut jadual yang telah dirancang,” jelasnya.
Saifuddin berkata demikian semasa meninjau pelaksanaan Program Pengoperasian Pasukan Petugas Khas (PPK) di Rumah Rantai, Nanga Semunte, hari ini.
Beliau turut berkesempatan menyerahkan kad pengenalan dan sijil kelahiran kepada lima penerima yang berasal dari sekitar Kapit.
Mengenai PPK, Saifuddin memberitahu ia adalah cetusan idea semasa pertemuannya bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekitar bulan Julai tahun ini.
Mengenai permohonan kewarganegaraan yang dilakukan dalam PPK, beliau memberitahu bahawa isu pemohon boleh terus mendapat kewarganegaraan dengan mudah adalah tidak tepat memandangkan ia melibatkan proses tapisan yang ketat dan mengikut undang-undang sedia ada.
Saifuddin turut berharap orang ramai menyedari kepentingan mendaftarkan kelahiran anak mereka dengan segera bagi mengelakkan masalah semasa urusan memasuki persekolahan, mendapatkan rawatan hospital dan bebeberapa kemudahan lain seperti program subsidi bersasar yang diberikan kerajaan kelak.
Sebelum itu, Saifuddin turut mengadakan lawatan kerja ke IPD Kapit dan akan menghadiri program PPK yang turut diadakan di Rumah Garing, Song.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Jefferson Jamit Unyat, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.