Anda di sini

Tentera Israel temui mayat tebusan dekat hospital di Gaza

Advertisement
 

BAITULMUQADDIS: Anggota tentera Israel berhampiran hospital terbesar di Gaza telah menemui mayat seorang tebusan yang diculik oleh militan Hamas ketika dalam serangan mereka di selatan Israel pada 7 Oktober, menurut pihak tentera kelmarin.

Seorang jurucakap tentera mengenal pasti wanita yang terkorban sebagai Yehudit Weiss, menyatakan dia telah “dibunuh” oleh militan di wilayah Palestin yang terjejas akibat peperangan.

"Yehudit telah dibunuh oleh pengganas di Semenanjung Gaza dan kami tidak mampu  untuk menyelamatnya tepat pada masanya,” jurucakap Daniel Hagari memberitahu satu taklimat yang disiarkan di televisyen.

Hamas telah beberapa kali menuduh Israel sebagai bertanggungjawab bagi kematian tebusan termasuk rakyat Israel melalui pengeboman sengitnya ke atas Semenanjung  Gaza.

Pihak berkuasa Israel menyatakan kira-kira 240 orang telah dijadikan sebagai tebusan ketika serangan Hamas yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, kebanyakan warga awam.

Sejak itu, pegawai kerajaan Hamas menyatakan pengeboman dan serangan darat Israel telah membunuh lebih dari 11,500 orang, juga kebanyakan warga awam dan termasuk ribuan kanak-kanak.

Menurut kepada Forum Keluarga Tebusan dan Hilang, Weiss, 65, telah diculik dari rumahnya ketika komuniti kibbutz Beeri di sempadan Gaza telah diserbu oleh militan Hamas pada 7 Oktober. 

Suaminya telah terkorban dalam serangan, menurut kumpulan Israel, sambil menambah pasangan itu mempunyai lima orang anak, empat orang dari mereka juga berada di Beeri pada masa serangan dan terselamat.

Pasukan tentera khas Israel mula menyerbu hospital Al-Shifa pada awal Rabu, dengan seorang pegawai menyatakan mereka telah menemui rakaman berkaitan dengan tebusan dalam komputer di fasiliti tersebut.

Hamas menyatakan operasi itu telah menyebabkan kerosakan teruk pada hospital, satu bahagian penting dalam perang Israel terhadap Hamas.

Israel mendakwa Hamas menjalankan sebuah pangkalan di bawah Al-Shifa, satu tuduhan yang dinafikan oleh pergerakan Islamis itu.

Menurut kepada kenyataan tentera, “peralatan tentera termasuk raifal Kalashnikov dan RPG" telah ditemui di lokasi yang sama dengan Weiss.

Sebelum itu, seorang pegawai Israel menyatakan pasukan tentera telah beroperasi di dalam fasiliti yang luas itu, “mengepung sebuah bangunan pada satu masa, menggeledah  setiap tingkat, semuanya ketika beratus-ratus pesakit dan kakitangan perubatan masih berada di dalam kompleks itu.”

Bahan-bahan perisikan termasuk  peralatan “milik Hamas” telah ditemui di Al-Shifa, menurut pihak berkuasa, sambil menambah bahawa  barang-barang yang dirampas telah diambil bagi “pemeriksaan dan siasatan lanjut”.

Seorang wartawan AFP di hospital menyatakan beratus-ratus orang anggota tenteera telah terlibat dalam operasi, mengepung bangunan dan menggunakan jentolak berperisai untuk memecahkan tembok. – AFP
 

Advertisement