
Oleh Harshini Anantha Rao
KUALA LUMPUR: Taylor's College bekerjasama dengan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Merbok dalam usaha kolaboratif untuk meningkatkan pembelajaran bermatlamat dan membantu inisiatif pendidikan praktikal.
Usahasama ini bertujuan untuk memperkasakan pelajar berkeperluan khas dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran penting untuk peralihan yang berjaya ke dalam tenaga kerja, membolehkan mereka berkembang maju selepas menamatkan pengajian.
Pengarah Kampus Taylor's College Josephine Tan mengetuai institusi tersebut dalam komitmennya untuk menerapkan tujuan dan kepentingan ke dalam kurikulum, penyelidikan dan usaha advokasinya.
Tan sangat percaya bahawa pendidikan mempunyai kuasa untuk membawa perubahan masyarakat yang positif.
“Visi ini turut menawarkan bantuan kepada pendidik dan pelajar di peringkat rendah dan menengah, dengan matlamat untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran, pengetahuan, dan tujuan yang diperlukan untuk peralihan yang lancar kepada pendidikan tinggi dan kerjaya yang berjaya,” katanya.
Cikgu Kumaresan Muniandy, seorang guru berkeperluan khas di SMPK Vokasional Merbok dan penerima anugerah Pendidik RISE Tahun 2023 telah memulakan projek penting yang dikenali sebagai Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU dan Pusat Latihan Rumah Mock.
Taylor's College menyediakan sokongan kewangan dan bantuan untuk inisiatif tersebut, bertujuan menyediakan peluang pekerjaan yang sama dan memperkasakan pelajar berkeperluan khas.
Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU dan Pusat Latihan Rumah Mock ditujukan khusus kepada pelajar rendah fungsi yang telah tamat persekolahan, pekerja berkeperluan khas dari Bengkel Daya Sungai Petani dan pelajar Pemulihan Berasaskan Komuniti.
Program latihan berlangsung selama tiga hingga enam bulan dan melengkapkan peserta dengan kemahiran yang diperlukan untuk latihan percubaan industri dalam industri perhotelan.
Cikgu Kumaresan berkata, objektif latihan itu adalah memberi pelajar pengalaman praktikal dan memupuk keyakinan diri, sambil menekankan setiap pelajar berhak mendapat peluang melebihi tahun pendidikan mereka.
“Latihan itu meliputi kemahiran komputer untuk membuat resume dan surat, serta menjalankan temu duga olok-olok bagi meningkatkan kesediaan permohonan kerja,” jelasnya.
Menurutnya, Pusat Latihan Rumah Mock mendapat bantuan barangan keperluan dan peralatan gred industri, hasil tajaan RM10,000 daripada Taylor's College
“Selain itu, penajaan tersebut membantu mengembangkan kapasiti Projek School Enterprise Kedai Dobi OKU sekali gus membolehkannya memberi impak yang lebih besar,” tambahnya.
Selain menyediakan sokongan kewangan, Taylor's College mempertingkatkan sumber pendidikan SMPK Vokasional Merbok dengan menyumbang lima set komputer lengkap kepada perpustakaan sekolah.
Guru Besar SMPK Vokasional Merbok Rabthah Abd Rahim merakamkan penghargaan atas sokongan dan tajaan Taylor's College yang menyedari perubahan positif ketara yang dibawa oleh usaha Cikgu Kumaresan.
Justeru, Tan memuji Cikgu Kumaresan atas dedikasinya terhadap keterangkuman dan pendidikan untuk semua serta menekankan pengaruh penting inisiatif itu ke atas kehidupan pelajar, sejajar dengan komitmen kolej terhadap pendidikan inklusif.
Taylor's College telah mengiktiraf pendidik luar biasa di Malaysia untuk tahun ketiga berturut-turut melalui Anugerah Pendidik RISE yang menonjolkan dedikasi institusi untuk mempromosikan sumbangan pendidikan yang luar biasa.