
KUCHING: Pencapaian Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sejak 15 tahun lalu terbukti memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negeri ini, sekali gus disifatkan sebagai model pembangunan mampan di Sarawak.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SCORE telah menarik pelaburan strategik dari sektor swasta dan awam dalam pelbagai industri, terutama pada bidang tenaga boleh diperbaharui.
Pada masa sama menurutnya, SCORE juga berjaya menciptakan peluang pekerjaan dan perniagaan baru, terutama untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"SCORE telah membangunkan kawasan-kawasan di Sarawak yang sebelum ini terpinggir, melalui peningkatan infrastruktur dan pembangunan pusat-pusat seperti Taman Perindustrian Samalaju.
"Hab tenaga ini telah menerima lebih separuh daripada semua pelaburan yang diperuntukkan kepada SCORE, yang membuktikan minat global terhadap bekalan tenaga boleh diperbaharui yang banyak ditawarkan oleh SCORE kepada pelbagai industri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun SCORE yang Ke-15, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Jumaat.
Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) turut menekankan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak lain yang berkepentingan, dalam usaha mempercepatkan pembangunan SCORE.
Justeru, beliau meletakkan harapan agar SCORE terus menjadi lokomotif pembangunan Sarawak, menjana pertumbuhan ekonomi yang mantap, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat Sarawak secara keseluruhan.