Anda di sini

Lima RUU dibentang pada sidang DUN bermula Isnin: Asfia

Advertisement
Asfia (tengah) menunjukkan dokumen mengenai RUU kerajaan yang akan dibentangkan pada Persidangan DUN, Isnin ini. -Gambar Chimon Upon
Asfia (tengah) menunjukkan dokumen mengenai RUU kerajaan yang akan dibentangkan pada Persidangan DUN, Isnin ini. -Gambar Chimon Upon

KUCHING: Lima Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Isnin ini hingga 29 November. 

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, lima RUU tersebut ialah RUU Perbekalan (2024), 2023; RUU Ombudsman Sarawak, 2023; RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau), 2023; RUU Pengagihan Gas (Pindaan), 2023 dan RUU Elektrik (Pindaan), 2023. 

"Bacaan kali pertama bagi kesemua RUU tersebut akan dilakukan pada hari pertama persidangan iaitu 20 November. 

"Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membentangkan RUU Perbekalan (2024), 2023 dengan bacaan kali pertama dan kedua pada 20 November dan bacaan kali ketiga pada 29 November. 

"Bagi RUU Ombudsman Sarawak, 2023 dan RUU berkaitan alam sekitar, kedua-dua bacaan kali kedua dan ketiga akan dilakukan pada 20 November. 

"Manakala RUU berkaitan pengagihan gas dan elektrik, bacaan kedua dan ketiga masing-masing akan dilakukan pada 21 November," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pra-Persidangan DUN dipengerusikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini. 

Asfia berkata, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan membentangkan RUU Ombudsman Sarawak, 2023 manakala Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan akan membentangkan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau), 2023. 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi pula akan membentangkan RUU Pengagihan Gas (Pindaan), 2023 dan RUU Elektrik (Pindaan), 2023, tambahnya.

Selain lima RUU katanya, satu usul mengenai pelaburan iaitu Ordinan Sarawak Sovereign Wealth Future Fund Board, 2022 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 21 November. 

Menurutnya, butiran mengenai usul tersebut akan diumumkan pada hari pembentangan nanti disokong oleh Hasidah. 

"Kita juga ada menerima satu usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How namun ditarik balik oleh beliau sendiri kerana menyerupai dua RUU berkaitan elektrik dan alam sekitar," katanya. 

Asfia juga memaklumkan akan ada usul bagi pemilihan senator yang baharu pada 21 November. 

Pemilihan senator baharu katanya, adalah bagi menggantikan Senator Datuk Nuing Jeluing yang akan tamat penggal pada 10 Disember ini. 

Dalam pada itu katanya, ADUN Jepak yang baru dipilih, Iskandar Turkee akan mengangkat sumpah pada 20 November ini jam 9 pagi sebelum sesi persidangan DUN bermula. 

Katanya, sebanyak 322 soalan lisan dan bertulis diterima daripada 41 ahli dewan dengan 222 daripadanya adalah soalan bagi jawapan lisan daripada 39 ahli-ahli dewan dan 100 jawapan bertulis daripada 27 ahli dewan.

Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerima soalan paling banyak iaitu 54 soalan, manakala sesi penggulungan bagi kesemua kementerian akan diadakan pada 27 hingga 29 November, katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement