Anda di sini

Wakil syarikat dan pengarah Sentoria Borneo Land mengaku tidak bersalah atas beberapa pertuduhan

Advertisement
Kedua-dua wakil syarikat dan pengarah Sentoria Borneo Land Sdn Bhd bersama peguam mereka Wong (kanan) semasa berada di hadapan kamar Mahkamah Majistret pada Khamis.
Kedua-dua wakil syarikat dan pengarah Sentoria Borneo Land Sdn Bhd bersama peguam mereka Wong (kanan) semasa berada di hadapan kamar Mahkamah Majistret pada Khamis.

KUCHING: Mahkamah Majistret pada Khamis membenarkan wakil syarikat dan pengarah Sentoria Borneo Land Sdn Bhd dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM14,000 selepas mereka mengaku tidak bersalah atas beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 53(1) Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013 (Cap.69).

Majistret Zubaidah Sharkawi membebaskan Dato' Gan Kim Leong, 61, dan Dato' Chan Kong San, 62, dengan jaminan tunai RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan manakala Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan ikat jamin RM500 berserta seorang penjamin tempatan.

Kedua-dua mahkamah juga menetapkan 5 Januari 2024 untuk pengurusan kes. 

Mengikut pertuduhan, Gan dan Chan didakwa secara bersama gagal mematuhi awards yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak dari 2020 hingga 2022.

Mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal membayar pampasan anugerah dalam tempoh 45 hari dari tarikh awards tersebut dikeluarkan.

Anugerah tersebut adalah untuk projek kediaman di Borneo Samariang Resort City (BSRC) dan Ataria Resort Condominium dan dalam hal ini, hartanah lewat disiapkan. 

Semasa prosiding, peguam pemaju iaitu Wong King Wei dan Teng Lee Kai memaklumkan mahkamah bahawa kes itu adalah urusan hutang sivil semata-mata antara pemaju hartanah dan pembeli hartanah masing-masing, tanpa membabitkan Seksyen 53 Ordinan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin dan Pegawai Pendakwa Johny Ikau bagaimanapun menegaskan bahawa seksyen tersebut merupakan satu kesalahan kerana gagal mematuhi anugerah yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak.

Prosiding itu turut dihadiri beberapa pegawai dari Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak.

Seksyen 53 Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2013 (Cap.69) menyatakan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang gagal mematuhi anugerah yang dibuat oleh Tribunal.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi RM5,000 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kes membabitkan kesalahan berterusan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM1,000 untuk setiap hari atau sebahagian daripada hari kesalahan itu dilakukan secara berterusan selepas sabitan.

Sementara itu untuk Seksyen 58 Ordinan, ia membabitkan pemaju perumahan yang melakukan suatu kesalahan meninggalkan atau menyebabkan pembangunan perumahan terbengkalai atau mana-mana fasa pembangunan perumahan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 
 

  • oleh
  • Advertisement