Anda di sini

Penganggur ceroboh kilang untuk mencuri dipenjara enam bulan 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh masuk ke dalam kawasan kilang pengeluar minyak masak untuk mencuri.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Muhammad Akmal Junaidi, 29, untuk dikuatkuasakan mulai dari tarikh tangkap.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan itu dituduh melakukan kesalahan terbabit sekitar jam 4.53 pagi pada 20 Oktober 2023 di kawasan sebuah kilang pengeluar minyak masak di Taman Perindustrian Demak Laut di sini.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengurus kanan kewangan (pengadu) di kilang itu dimaklumkan pekerjanya bahawa barangan yang sepatutnya dihantar ke sebuah pasar raya berkurangan.

Antara barangan tersebut adalah dua kotak syampu mandian, sekotar cecair pencuci baju serta dua kotak minyak masak masing-masing dengan berat lima dan dua kilogram (kg). 

Pengadu seterusnya mengarahkan pekerja untuk membuat semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kilang itu. 

Hasil semakan mendapati seorang pekerja sambilan syarikat (tertuduh) masuk ke kawasan kilang pada waktu kejadian untuk mencuri barangan yang disimpan di dalam lori diletakkan di situ.

Berikutan itu, laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada hari sama (20 Oktober 2023) sekitar jam 7.30 malam.

Tertuduh tidak diwakili peguam sementara pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
 

  • oleh
  • Advertisement