
KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun untuk menjalani bon menjaga keamanan akibat ingkar perjanjian memberi nafkah kepada seorang wanita yang mengandung dan melahirkan bayi lelaki mereka.
Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan Tan Soon Lin dari Kota Samarahan di sini, untuk menjalani bon menjaga keamanan selama enam bulan selepas dia mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.
Berdasarkan keterangan kes, seorang wanita berusia 32 tahun (mangsa) menjalankan hubungan intim dengan kerelaan bersama Tan pada Februari 2023.
Empat bulan kemudian, mangsa menyedari dirinya hamil selepas membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta di sini.
Susulan itu, mangsa dan Tan membuat satu surat perjanjian akujanji pada 4 Jun 2023.
Dalam surat perjanjian tersebut, Tan mengaku telah menyebabkan mangsa hamil dan seterusnya dikatakan bersetuju untuk bertanggungjawab atas semua perbuatannya, bermula dari awal kehamilan mangsa (antara penghujung bulan Februari atau awal bulan Mac).
Bagaimanapun, Tan didapati tidak memberi sebarang kerjasama dalam mematuhi perjanjian dan kerap memberi alasan tiada wang untuk diberikan kepada mangsa sebagai perbelanjaan.
Tan juga meminta penangguhan bayaran sehingga penghujung bulan Jun 2023 untuk membayar perbelanjaan seperti yang dinyatakan dalam perjanjian.
Setelah akujanji tersebut dimeterai pada Jun sehinggalah pada 2 November 2023 iaitu selepas mangsa melahirkan anak, Tan hanya membayar sejumlah RM6,750 kepada pengadu secara berperingkat.
Pembayaran ini disahkan oleh pengadu sendiri namun tiada keterangan mahupun rekod hitam putih mengenai bayaran tersebut.
Justeru, ibu mangsa membuat laporan polis agar tindakan undang-undang diambil terhadap Tan, selain untuk melindungi mangsa daripada Tan.
Difahamkan, untuk mengelak kejadian sebegini berulang, Tan diperintahkan untuk menyempurnakan bon bagi menjaga keamanan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin sementara Tan tidak diwakili peguam.