

Oleh: Nur Azshieldha Sahran
Pengenalan
Istilah penulis muda tidak pernah menemui titik lengkap dan polemik tersebut masih berlanjutan sehingga sekarang. Seperti yang kita ketahui, ramai penulis muda tidak muda tetapi memulakan dunia kepengarangannya di usia yang lewat, maka dunia kepengarangannya yang dianggap muda. Ada juga penulis muda yang memang masih muda usianya tetapi pemikirannya yang unik segera mendapat tempat dalam ranah sastera. Sama ada penulis muda diukur daripada pengalaman menulis atau usia, kemunculan penulis muda pasti ada setiap tahun. Tulisan Dr. Dilah Tuah dalam ruangan Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo yang bertajuk “Gagasan dan Harapan Penulis Muda Sarawak” pada 19 September 2016, isu pengembangan bakat penulis muda dikatakan menjadi sebab kenapa penulis muda sukar untuk memajukan diri. Segelintir penulis muda merasakan mereka sukar untuk mendapat peluang berkarya kerana persaingan tinggi, tidak tahu medium untuk berkarya, tidak berani mencuba untuk sertai pertandingan atau terlalu bergantung pada bengkel serta kursus sehingga terbiasa lalu menjadi penulis subsidi tanpa sedar.
Menurut artikel Mana Sikana dalam akhbar Sinar Harian yang bertajuk “Penulis Muda Akan Dewasa” pada 18 Julai 2021, idealisme sastera tertumpu kepada fungsi sastera sebelum 1960an dan ia berubah mengikut keperluan sosial. Golongan penulis muda pada zaman itu telah mengimbangi signifikasi konteks dan tekstual, sekali gus meletakkan sastera di tempat asalnya. Oleh yang demikian, jawapan untuk penulis muda mendapat tempat ialah melahirkan karya yang bermutu, mendewasa bersama-sama hasil karya melalui pembacaan yang luas, kreatif, dinamik dan sedar diri.
Sastera merupakan wadah bagi penulis muda untuk mengungkap kehidupan dan menampilkan kekuatan budaya bangsa, sekali gus menjadi contoh dalam menggunakan bahasa indah. Diskusi isu sastera dalam kalangan penulis muda akan membuka fikiran terhadap hal-hal sekeliling dan bagaimana mereka memperoleh kematangan dari kepelbagaian perspektif, pengalaman dan kepekaan menerusi pemerhatian. Secara tidak langsung, usaha penulis untuk mendidik generasi melalui karyanya turut mendewasakan penulis itu sendiri. Menurut tulisan Nur Izzati Mohamad dalam ruangan sastera Berita Harian yang bertajuk “Karya Sastera Didik Generasi Kurang Adab” pada 25 Julai 2019, seni tertua yang mempunyai kehalusan ialah penceritaan (naratif) dan penulisan kerana mengandungi pelbagai ilmu seperti sejarah, salasilah, sains dan ilmu perubatan serta seni bina. Maka, penulis bertanggungjawab menghasilkan karya yang baik untuk tatapan generasi akan datang, dan melalui karya itu jugalah penulis harus belajar untuk dewasa agar ilmu yang disampaikan itu memberi manfaat kepada pembaca.
Malah, kritikan sastera juga salah satu cara yang baik untuk mendewasakan penulis muda. Memahami alur sastera, bagaimana menggagaskan definisi, konsep, prinsip, serta menyelesaikan persoalan menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Menurut Mana Sikana dalam makalah berjudul “Arah Perjalanan Teori dan Kritikan Sastera Malaysia dalam Era Globalisasi” pada Januari 2013, kebernyawaan karya bererti mampu menghidupkan khalayak, budayanya juga akan hidup sepanjang zaman. Hal ini bermakna kemampuan menghidupkan karya menjadikan penulis muda memahami, berempati sekali gus berkembang menjadi lebih baik.
Pengalaman Estetik bagi Penulis Muda
Kerja-kerja penulisan boleh dilihat daripada dua kategori, iaitu teknikal dan esensi. Teknikal ialah gaya penulisan yang boleh dipelajari dan bagaimana untuk mengembangkan idea. Biasanya penulis pemula akan memperoleh ilmu teknikal melalui bengkel, bimbingan dan kelas-kelas penulisan. Seterusnya ialah esensi, iaitu pengalaman, pengamatan, pembacaan dan rutin kehidupan penulis itu sehari-hari. Penulis yang sedar diri mampu melihat kesenjangan sosial sekali gus mewujudkan rasa tanda tanya atau mod gelisah untuk mencari kewajaran. Menurut artikel Hani Salwa Yakup dalam JendelaDBP yang bertajuk “Komunikasi Kebiasaan Baharu dalam Kalangan Penulis Muda” pada 28 Ogos 2021, menulis adalah pekerjaan yang sunyi dan kesendirian itu sesuatu yang lumrah. Tapi pada masa yang sama penulis juga harus bersosial untuk diskusi kerana hasil diskusi itu melahirkan isu yang boleh direkonstruksi, yakni menghancurkan apa yang diketahui untuk menemukan idea baharu.
Kesedaran penulis biasanya dimatangkan oleh masa, pengalaman serta pembelajaran secara berterusan. Bagi penulis pemula, karya yang dihasilkan mungkin kurang berkualiti dan lebih ke arah mengaktifkan keinginan untuk mencatat ataupun meluahkan perasaan. Tapi bagi penulis muda yang sudah memiliki kemampuan intuitif dan imaginasi, mereka akan mengeksploitasi ruang kreativiti yang ada untuk menghasilkan karya berkualiti serta membijaksanakan pembaca dengan wawasan dan visi penulis itu sendiri. Seperti yang disebut oleh Wardah Munirah menerusi artikel bertajuk “Aplikasi Teori dalam Penulisan Kreatif: Satu Tinjauan Kewajaran”, penulis akan menggunakan pancaindera sedia ada untuk mematangkan idea, memastikan jalan ceritanya bermatlamat dan luar biasa serta gagasan pemikiran mampu memimpin pembaca untuk berfikir lebih mendalam. Dengan kata lain, penulis muda yang mendewasakan tidak seharusnya membiarkan karyanya terumbang-ambing tanpa nilai intelektual yang memberi manfaat kepada pembaca.
Apabila penulis mula mengambil kira bentuk pengaplikasian teori dan konsep untuk mewujudkan rasa dalam pembacaan, penulis memahami proses berfikir secara rasional dan sentuhan perasaan. Secara tidak langsung akan mencetuskan nilai sensitiviti penulis yang penuh dengan rona-rona estetika dan mencambahkan idea dan tulisan yang dekat dengan masyarakat. Ilmu estetika bukan sahaja menjadikan penulis muda itu peka, malah sastera itu melatih penulis menjadi mahir mencari celah permasalahan dan bertanyakan kembali dalam bentuk yang lebih dimurnikan. Menurut S. Ismail dalam artikel “Konsep dan Keindahan Estetika” dalam Universiti Malaya Repository pada tahun 2003:
“Estetika merupakan salah satu bidang falsafah yang melihat, menikmati, menganalisis … hanya keindahan sahaja yang dapat meluahkan perasaan yang tersembunyi yang tidak dapat dilakukan dengan cara yang lain.”
Pendekatan Rasa-Fenomenologi dalam Penulisan
Apabila penulis menulis karya, penulis tidak dapat lari daripada apa-apa yang dirasainya. Karya penulis yang masih muda dalam kerja kepengarangan biasanya cenderung ke arah curahan hati. Menulis dilihat sebagai terapi, iaitu menumpahkan apa yang difikirkan. Apabila menyebut tentang terapi dan luahan perasaan, ia menggunakan instrumen bersifat pancaindera, ada aspek kesedaran dan rasa.
Fenomenologi merupakan kajian mengenai bagaimana manusia mengalami kehidupan di dunia melalui perspektif orang yang mengalaminya. Manakala pengalaman estetik merupakan keindahan yang dirasai oleh pancaindera, jiwa dan akal. Falsafah keindahan dan hubungannya dengan karya sastera tidak dapat dipisahkan kerana keindahan itu diterima sebagai kualiti yang dirasai. Malah, keindahan itu dikatakan tidak lagi dimiliki oleh karya sastera tetapi sebaliknya berpindah kepada pembaca.
Penulis yang menguasai rasa-fenomenologi mampu memberikan pengalaman estetik yang terdiri daripada tiga proses serentak dalam fikiran pembaca, iaitu:
i. Emosi tetap pembaca mengalami transformasi menjadi Emosi Estetik;
ii. Karya sastera mengalami transformasi menjadi Objek Estetik; dan
iii. Kesedaran biasa mengalami transformasi menjadi Kesedaran Estetik.
Keberkesanan pengalaman estetik disebabkan oleh dua faktor, iaitu penulis dan pembaca. Ekspresi sastera yang dibangunkan oleh penulis/pengarang boleh dirasai oleh pembaca yang mahir merasai sensitiviti, imaginatif dan emosi. Kemahiran tersebut didorong oleh kemampuan dan keupayaan penulis untuk menghasilkan pengalaman estetik yang berkesan. Nilai artistik penulis boleh dilihat menerusi teknik penulisan yang digunakan dan kemahiran tersebut tidak muncul dalam sekelip mata. Teknik penulisan seperti diksi, deskripsi, gaya bahasa, unsur bunyi atau ciri kerohanian biasanya mengambil masa untuk dibentuk dan diperhalusi.
Pendekatan rasa-fenomenologi dalam karya penulis akan dapat menghasilkan pengalaman estetik yang lebih kemas kepada pembaca, bermula pada peringkat deria, iaitu pemahaman kepada imaginasi, empati dan identifikasi. Pengalaman estetik yang bersifat esoterik juga turut mendorong lahirnya kesedaran fenomenologi spiritual, yakni di sebalik keindahan bersastera itu adanya Maha Indah yang menjadikan penulis sedar bahawa ilham menulisnya itu datangnya daripada Tuhan.
Secara ringkasnya, keberkesanan pendekatan ini hanyalah boleh dicapai oleh penulis muda yang konsisten, menemukan keperibadian dan membina jenama diri sendiri. Justifikasinya, penulis muda yang didewasakan oleh sastera ialah penulis yang mahir merasai, berekspresi dan matang dalam berfikir.
Penutup
Setiap penulis muda yang datang dalam ranah sastera akan dewasa dalam kepengarangan mereka. Yang membezakan mereka ialah proses kejayaan mereka bergantung pada sumbangan yang bermakna dan bagaimana sastera membantu mereka bertumbuh untuk menjadi penulis yang mahir membudayakan ilmu. Penulis juga disebut sebagai golongan bermasalah kerana peka dalam permasalahan dan mereka harus menulis untuk menghilangkan kegelisahan yang berpunca daripada permasalahan tersebut. Perubahan teknologi juga turut menyumbang kepada transformasi penulis muda untuk terus bertahan dalam ranah sastera, serta kesediaan untuk dikritik kerana karya perlu dikritik untuk terus hidup dan penulis akan bertahan selagi karyanya hidup di mata pembaca.
Kesimpulannya, masalah dan kritikan yang dihadapi penulis muda bukanlah penghalang untuk berkarya sebaliknya ia merupakan proses kedewasaan dalam kepengarangan.
Rujukan
Dilah Tuah. “Gagasan dan Harapan Penulis Muda Sarawak” dlm. Utusan Borneo, 19 September 2016.
Hani Salwah Yakup. “Komunikasi Kebiasaan Baharu Penulis Baharu” dlm.
https://tunascipta.jendeladbp.my/2021/08/28/1330/.
Mana Sikana, “Arah Perjalanan Teori dan Kritikan Sastera Malaysia
dalam Era Globalisasi” dlm. Rumpun Jurnal Persuratan Melayu, Jild. 1 hlm. 143-168, 2013.
https://rumpunjurnal.com/jurnal/index.php/rumpun/article/download/102/71
Mana Sikana. “Penulis Muda Akan Dewasa” dlm. Sinar Harian, 18 Julai 2021.
Norfadhilah Fauzan. “Realiti Karya Penulis Muda” dlm.
https://tunascipta.jendeladbp.my/2023/08/15/5554/.
Norshah Aizat Shuaib & Juliana Ahmad, 2020. “Proses Kreatif Penulisan
Cerpen: Satu Tinjauan Merentas Generasi”. Kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Susastera, Bahasa dan Budaya Nusantara, Pusat Penyelidikan Langkawi, UKM, Kedah, 1-2 Ogos 2019.
Nur Izzati Mohamad. “Karya Sastera Didik Generasi Kurang Adab” dlm. Berita Harian, 25 Julai 2019.
Nurull Ain’am. “Kealpaan Penulis dalam Berkarya” dlm.
https://tunascipta.jendeladbp.my/2022/12/19/3954/.
S. Ismail, 2003. “Konsep dan Kerangka Teori”. Muat turun daripada
http://studentsrepo.um.edu.my/2256/5/BAB_2.pdf
Sohaimi Abdul Aziz, 1995. “Rasa-Fenomenologi sebagai Satu Teori Pengalaman Estetik: Satu Kajian Karya-karya A. Samad Said”. Kajian ilmiah Doktor Falsafah. Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. (http://eprints.usm.my/29848/1/Sohaimi_Abdul_Aziz.pdf)
Teori Fenonemologi Alfred Schutz, 2014. Muat turun daripada
https://www.academia.edu/39642937/TEORI_FENOMENOLOGI_ALFRED_SCHUTZ
Warda Munirah (n.d.). “Aplikasi dalam Penulisan Kreatif: Satu Tinjauan
Kewajaran”. Muat turun daripada
https://www.academia.edu/12949389/APLIKASI_TEORI_DALAM_PENULISAN_KREATIF

