
KUCHING: Persatuan Anak Seni Sarawak (Anak Seni) bakal mengadakan Program Malam Anak Seni sebagai kemuncak bagi sesi pembelajaran tahun 2023.
Pada malam tersebut, persatuan akan menyampaikan Sijil Asas Lakon, Anugerah Pelajar Paling Aktif dalam Persatuan, Anugerah Pelajar Paling Aktif di Luar Persatuan dan persembahan kemuncak Teater Lensa ‘Diari Seorang Ibu.’
Karya tersebut akan dipentaskan pada 25 November di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada jam 8.15 malam dan masuk adalah percuma.
Teater ini mengisahkan pengorbanan seorang ibu menjaga kedua-dua anaknya setelah kematian suami yang tercinta.
Penonton yang hadir juga berpeluang untuk membawa hadiah-hadiah menarik daripada cabutan tiket bertuah.
Dalam pada itu, Anak Seni merupakan sebuah persatuan seni bagi mengangkat penggiat-penggiat seni negeri Sarawak.
Bukan hanya menumpukan kepada satu bidang sahaja (drama dan teater), malahan membabitkan semua aspek seni lain seperti tarian, muzik, nyanyian dan lakonan skrin.
Sehingga kini, Anak Seni bukan sahaja melahirkan banyak pelakon berbakat dan berkualiti malah Anak Seni juga berjaya mengeluarkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang produksi (belakang tabir) yang aktif dan profesional di Sarawak.