Anda di sini

Tindakan berat premis kotor, sambung paip haram: Christina

Advertisement
 Christina ketika melawat kerja-kerja pembaikan di kawasan Sinsuran 1.
LAWAT: Christina ketika melawat kerja-kerja pembaikan di kawasan Sinsuran 1.

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diminta supaya mengambil tindakan berat terhadap premis yang membuat penyambungan paip haram dan mengotorkan persekitaran kawasan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api Datuk Christina Liew berkata, pihaknya mencadangkan supaya DBKK perlu mengambil tindakan tegas sekiranya perkara itu berlaku di kawasan bandaraya.

Katanya, cadangan itu dibuat selepas melihat kerja-kerja pembaikan di kompleks beli-belah Sinsuran dan kawasan Bandaran Berjaya di sini, pada Selasa.

“Kita melihat ramai pemilik atau penyewa premis di kawasan bandaraya yang melanggar undang-undang walaupun sudah diberi amaran berulang kali.

“Saya juga melihat masih ada paip bocor dan persekitaran yang kotor, malah banyak tikus mati di belakang premis-premis di kawasan bandaraya,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, keadaan itu memberi kesan terhadap presepsi pelancong dan pengunjung yang datang ke daerah ini terutamanya di Bandaran Berjaya.

“Justeru, DBKK perlu mengambil tindakan tegas termasuklah mempertimbangkan denda sebanyak RM5,000 ke atas pemilik premis yang didapati bersalah.

“Hal ini kerana, perbuatan tidak bertanggungjawab itu akan menggagalkan usaha untuk mengindahkan kawasan bandaraya di sini,” katanya.

Christina berkata, kerajaan telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan di lima kawasan Sinsuran, tiga di Bandaran Berjaya dan dua di Jalan Gaya.

“Kerja-kerja pembaikan dan penurapan di kawasan belakang Sinsuran telah siap 80 peratus dan hanya menunggu penutup parit baharu sahaja.

“Manakala, kerja-kerja pembaikan di kawasan Bandaran Berjaya dan Jalan Gaya pula, dijangka akan siap pada akhir tahun ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement