Anda di sini

Mayat bayi lelaki baru lahir ditemukan di tandas bilik homestay di Jalan Kepayan

Advertisement
 Mayat bayi cukup sifat ditemukan di dalam bungkusan plastik di ruang bahagian belakang tangki tandas berkenaan.
BUSUK: Mayat bayi cukup sifat ditemukan di dalam bungkusan plastik di ruang bahagian belakang tangki tandas berkenaan.

KOTA KINABALU: Mayat bayi lelaki baru dilahirkan ditemukan di tandas sebuah bilik dipercayai ditinggalkan seorang wanita yang sebelum ini menginap di rumah yang dijadikan homestay di bangunan Jalan Kepayan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata mayat terbabit ditemukan selepas pekerja homestay terhidu bau busuk dari tandas berkenaan.

Katanya mayat bayi cukup sifat itu ditemukan di bahagian belakang tangki tandas kira-kira jam 2.30 petang semalam.

“Sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik di ruang bahagian belakang tangki tandas berkenaan.

“Dalam plastik itu ditemukan satu mayat bayi lelaki yang sempurna sifatnya dipercayai baru dilahirkan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata mayat bayi terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE) untuk menjalani bedah siasat.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya sedang mengesan seorang wanita berumur 20 tahun yang mendaftar masuk ke homestay berkenaan.

“Wanita itu dipercayai mendaftar masuk ke homestay berkenaan tiga hari sebelum penemuan mayat bayi terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini agar menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Inspektor Nur Hatin Amera Mohd Khir di talian 0111-2939436.

Sebelum ini, Utusan Borneo turut melaporkan berkenaan penemuan seorang bayi perempuan oleh imam sebuah masjid di Taman Seri Gaya Jalan Maktab Gaya Luyang di sini.

Turut ditemukan bersama bayi cukup sifat yang dipercayai dilahirkan pada 31 Oktober lalu di dalam sebuah kotak di hadapan masjid terbabit ialah satu nota permohonan maaf daripada ibunya kerana tidak dapat menjaga bayi terbabit disebabkan faktor ketidakmampuan.

Nota itu juga meminta supaya bayi berkenaan dihantar ke rumah anak yatim.

  • oleh
  • Advertisement