Anda di sini

Borneo Rock Festival 2023 bawakan Search, Wings, ACAB, Butterfingers, Hujan 30 Disember depan

Advertisement
 Borneo Rock Festival 2023 mengangkat tema Budaya Popular dan Kontemporari selain membawakan banyak perkara mengujakan 30 Disember depan.
MERIAH: Borneo Rock Festival 2023 mengangkat tema Budaya Popular dan Kontemporari selain membawakan banyak perkara mengujakan 30 Disember depan.

KOTA KINABALU: Penganjuran Borneo Rock Festival 2023 mengangkat tema Budaya Popular dan Kontemporari selain membawakan banyak perkara mengujakan.

Borneo Rock Festival 2023 ini juga bukan hiburan semata-mata dan bukan hanya menjadi medan pengunjung hadir untuk berhibur dengan ‘bingit’ dan pulang tanpa meninggalkan impak dan momen terbaik.

Begitu harapan besar daripada penganjur, Imika_culture Datuk Abdul Rahim di Borneo Rock Festival 2023 yang dirancang berlangsung pada 30 Disember depan di Stadium Likas, di sini.

Katanya pengunjung akan mendapat pengalaman dan ilmu baharu yang tidak pernah diperoleh dalam penganjuran konsert lain.

“Di Borneo Rock Festival 2023, penganjur mewarnainya dengan gabungan pelbagai jenis seni sekaligus mengangkat budaya unik Sabah yang mungkin kurang diberi perhatian sebelum ini.

“Selaku penganjur, kami sangat berbesar hati untuk merangkumkan antara seni dan budaya lalu membawa tema Budaya Popular Dan Kontemporari dalam Borneo Rock Festival 2023.

“Kami mahu Borneo Rock Festival bukan hanya menjadi pesta yang dianjurkan dan mudah dilupakan tetapi mahu menjadi tanda aras terhadap penganjuran festival yang bukan hanya meletakkan hiburan semata-mata tapi perlu memberi ilmu juga tentang seni dan budaya masyarakat setempat,” katanya.

Tambahnya mereka juga berharap agar Borneo Rock Festival 2023 mencapai matlamat sekaligus boleh diteruskan penganjurannya pada masa akan datang sebagai medium buat generasi masa kini menikmati hiburan berkelas.

“Borneo Rock Festival 2023 menampilkan 30 band terkenal yang akan membuat objektif penganjuran festival ini mencapai matlamat termasuklah Search, Wings, A.C.A.B, Hujan, Butterfingers yang juga menjadi tarikan utama konsert ini.

“Sesuai konsep Borneo Rock Festival 2023, kami bawakan band-band ikonik bagi mewakili generasi muzik penggemar, Search dan Wings adalah dua kugiran gergasi yang rasanya ‘berdosa’ untuk tidak dijadikan line up utama Borneo Rock Festival.

“Kami juga membawakan the one and only Butterfingers dan the legendary A.C.A.B khusus buat fanatik mereka di Borneo.

“Hujan pula sudah punya berlapis generasi peminat dan tentu saja nama mereka juga besar di sini,” katanya.

Sementara itu, Vokalis Search, Amy, menyifatkan penganjuran Borneo Rock Festival 2023 sebagai inisiatif yang cukup baik daripada anak tempatan dalam menyatukan seni serta budaya untuk dihayati oleh pengunjung.

“Search sangat tertarik dengan konsep Borneo Rock Festival 2023 yang bukan hanya mengangkat muzik rock sebagai ‘jualan utama’ tapi juga memberi peluang kepada band lokal dan komuniti seni serta budaya yang ada.

“Apa lagi melihat geng line up seperti Wings, A.C.A.B, Butterfinger dan Hujan, tentu Search berasa terhormat untuk menghiburkan terutama buat peminat di Borneo,” katanya.

Abdul Rahim berkata, bersama dengan enam band tersohor ini, Borneo Rock Festival 2023 tidak akan lengkap tanpa persembahan anak-anak lokal.

“Maka Amef, Mahkluk, Silversun, Suka Suki, Markaz79, Beyond My Rage, Dita Darcia, Gutaeters, Measmata dan Melodychain akan menambah kehangatan Borneo Rock Festival 2023.

“Juga seperti dijanjikan, Borneo Rock Festival 2023 bukan hanya kerana hiburan sebaliknya di festival ini pengunjung boleh menikmati pelbagai keseronokan lain termasuk pameran permotoran, pengalaman menonton wayang pacak, menyertai pertandingan memasak serta menikmati kraf tempatan.

“Untuk merasai sendiri pengalaman ini di depan mata, jangan lepaskan peluang menikmati Borneo Rock Festival 2023 yang akan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 30 Disember 2023,” katanya.

Tambahnya peminat serta orang ramai yang ingin menempah tiket bolehlah mendapatkannya melalui www.ilassotickets.com atau hubungi talian hotline +6011 1329 7822 bermula General (Early Bird – RM79), (Normal – RM99), Rock Zone (Early Bird – RM99), (Normal – RM129) serta RM300 untuk Grandstand.

  • oleh
  • Advertisement