Anda di sini

Topeng dan Penyamaran

Advertisement
 
 

Oleh: Abang Median Abang Said

Premis pertama: Ayahku tidak meninggalkan harta pusaka berbentuk material kepada kami adik-beradik. Dia hanya meninggalkan buku dan ilmu tentang cara pembuatan topeng sehingga terlukis dan terukir tembus perasaan sebal dan kesal. Tiada tanah pusaka yang diwasiatkan. Kekesalan itu mengepal perasaan geram yang aku lampiaskan dengan contengan di atas dinding dalam bilik tidurku yang suram. Di atas cermin dalam bilik mandi juga aku tulis dengan gincu merah – yah, catatan ringkas tentang ketidakpuasan rasa!

     Fakta yang aku ketahui: Ayah mengukir topeng daripada kayu-kayu dengan ukiran yang membentuk wajah-wajah mitos kepercayaan Iban.

     Ya, mitos yang magis! Kata ayah, ramai yang sudah dirasuk semangat roh-roh orang terdahulu dengan upacara ritual sebagai media pemujaan sewaktu penghasilan topeng berkenaan. Topeng-topeng kayu itu dikatakan boleh bersuara dan berinteraksi antara satu sama lain terutama pada waktu malam. Catatan ini juga aku temukan di Muzium Etnologi Sarawak yang mengikut sejarahnya telah ditubuhkan oleh Charles Brooke pada tahun 1860 dan Alfred Rusell Wallace sebelum dipindahkan ke muzium sementara pada 30 Oktober 1886 di Market Place di sepanjang Gambier Street, Kuching. Menurut ayah, semua ilmu dan kemahiran itu dikuasai sejak turun-temurun.

     Bebelan isteriku ternyata lebih konkrit daripada fakta dan premis yang aku susun tentang ayah: Pusaka yang ayah turunkan itu tidak mampu menyelesaikan masalah kewangan keluargaku. Ilmu tentang pembuatan topeng tidak mampu menyelamatkan aku daripada kepungan along – lintah darat yang menjerat dan menghisap darah ketenangan menjadi sakarat. Pembuatan topeng tidak menjanjikan pulangan lumayan malah ramai yang tidak menghargai budaya berkenaan.

     Namun ada rahsia yang ayah simpan menyebabkan aku menjadi teruja (sehingga turut mengurangkan sedikit perasaan kecewaku) – rahsia itu aku susun menjadi premis ketiga: Ayah mempunyai kepakaran menghasilkan topeng kayu yang telah dikembangkannya menjadi topeng silikon realistik untuk penyamaran yang juga dikenali sebagai fotografi stereo.

     Pada mulanya, semua itu dibangunkannya daripada kepercayaan masyarakat Afrika Barat sebelum dibuat pengubahsuaian. Ayah juga masih mengaitkan semua itu dengan Petara – ya, tujuan pengukiran topeng itu adalah atas utusan Tuhan untuk pemujaan.

     – Apakah yang dipuja?

     – Roh? Semangat orang yang meninggal dunia?

     – Harta? Pangkat? Jawatan atau kemewahan?

     Bisikan-bisikan halus terus bergumam dan bersipongang dari dalam.

     – Yah, aku hanya mahu melepaskan diri daripada kepungan along! Manusia moden sering bertuhankan duit.

     Kisah tentang ayah tidak sengaja aku temukan pada catatan kaki sebuah buku seni ukiran berbahasa Inggeris – aku sudah lupa judulnya – diterbitkan pada tahun 2001 lalu di London. Aku cuba membeli buku tersebut di media sosial tetapi ada yang membida buku tersebut lebih tinggi daripadaku.

     Isteriku dengan leteran tipikalnya mengemukakan pandangan: Membazir sahaja membeli buku lama itu dengan harga yang tinggi sedangkan buku itu tidak mendatangkan pulangan dari aspek material. Hutang pun belum mampu dibayar sehingga kehidupan terjajah dan terkepung oleh rasa gusar.

     Perbualan dengan isteriku melalui teks WhatsApp yang turut disertai dengan foto telah kujadikan catatan peribadi: Pintu dan lantai di depan rumah kami telah disimbah dengan cat berwarna merah sebagai amaran dan ugutan. Permintaan cerai turut menjadikan jiwaku kalut dan berserabut. Akhirnya perhubungan kami tergantung tanpa tali apabila isteriku berpindah ke rumah keluarganya di kampung. Tinggallah aku sendirian di rumah.

     Akhirnya kutemukan fakta ini, fakta yang tersimpan sekian lama, khabar baik mengenai pekerjaan besar yang pernah ayah lakukan termasuk sewaktu kehilangannya dalam beberapa tahun terakhir sebelum dia kemalangan – rupanya dia berhijrah ke London selepas bercerai dengan ibu, menjadikan sarak manis sebagai alasan. Adakah isteriku juga ingin menggunakan alasan yang sama? Kutahu, setiap pekerjaan besar kadangkala bermula dengan sebab-sebab yang kecil – kecilkah alasan ayah membawa jiwa lara ke Indonesia sebelum pertemuan tidak sengaja dengan seorang penerbit filem? Dia ditawarkan pekerjaan dengan membuat topeng silikon untuk sebuah syarikat perfileman – bermula dengan filem Indonesia. Kemudian, dia beralih ke filem antarabangsa. Tetapi mengapa ayah tidak meninggalkan harta dengan pendapatannya yang dikatakan mencecah lima angka dengan mata wang pound sterling? Ke manakah harta-harta itu dihabiskan atau disembunyikan?

     Lupakan persoalan tersebut dan fokus dengan ilmu dan teknik penghasilan topeng silikon melalui catatan yang ayah tinggalkan. Ada beberapa perbezaan antara teknik yang ayah gunakan dengan teknik yang dibangunkan oleh syarikat di Jepun yang menggunakan printer 3D – wajah yang ingin dihasilkan akan diambil foto dari pelbagai sudut dan foto itu akan dicetak ke bahan vinyl chloride resin. Aku persis menyalin kebolehan ayah biarpun ayah tidak mengajarku secara langsung semasa hayatnya. Ayah mempunyai pandangan visual yang mampu memeta setiap titik penting pada wajah (tanpa perlu mengambil foto) dan memindahkan titik tersebut dalam bentuk garisan. Aku memerlukan masa selama dua tahun untuk memahirkan diri dalam penghasilan topeng silikon tersebut. Kesilapan dan kesalahan telah mengajar aku memahami tentang ketelitian untuk menemui kesempurnaan. Namun fakta ini masih gagal menidakkan fakta kedua: Topeng-topeng yang aku hasilkan masih tidak mendapat sambutan. Syarikat yang menghasilkan topeng silikon berteraskan teknologi lebih menguasai pasaran. Perbezaan kualiti antara hasil tangan dan mesin tidak begitu ketara. Mesin berteraskan teknologi boleh mencetak topeng silikon dalam jumlah yang banyak dan dalam jangka masa yang singkat.

     Kesimpulan awal daripada dapatan tersebut: Topeng-topeng yang aku hasilkan tidak mendatangkan nilai ekonomi sehingga aku terus dikejar gusar oleh along yang menyebabkan jiwaku terus melolong. Permintaan terhadap penghasilan topeng yang aku usahakan kurang mendapat pulangan biarpun aku sedaya upaya membuat topeng mengikut kehendak pelanggan. Beritahu sahaja. Mereka boleh memesan topeng dengan wajah berwibawa, wajah tampan atau wajah orang bijaksana. Abaikan otak mereka yang seperti lembu. Tidak perlu terasa kerana semua itu lumrah dunia. Tidak perlu dituding pada sesiapa kerana ada jari lain yang akan menuding diri sendiri.

     Sesuatu yang berubah pada diriku setelah kematian ayah: Aku gemar menghabiskan masaku dengan buku dan perpustakaan selain mengaplikasi kemahiranku dalam penghasilan topeng – tidak kira topeng kayu atau silikon. Aku telah mencatat beberapa pandangan ahli falsafah tentang topeng. Antaranya tentang pandangan Ellias Canetti – filsuf yang berasal dari Bulgaria – yang kukutip daripada bukunya yang berjudul Crowds and Power: “Manusia itu seperti juga ulat dan kupu-kupu adalah makhluk yang bermetamorfosis. Manusia adalah makhluk yang sentiasa berubah, tidak konsisten pada satu identiti tetapi turut terfragmentasi dalam lapisan-lapisan dirinya. Kemampuan bermetamorfosis menempel erat di dalam lapisan subkemanusiaan sehingga mereka tidak jauh bezanya dengan binatang dalam kemampuannya ‘menipu’ musuh”.

     Dari sanalah timbulnya ideaku untuk mengaburi mata dan persepsi along untuk aku melarikan diri daripada masalah. Aku tidak perlu menjual topeng. Aku akan menghasilkan topeng untuk menjadi sesiapa sahaja. Dalam buku catatan ayah ada tertulis catatan Ajidarma (1997) yang tegas mengatakan: “Seringkali kita tidak boleh menjadi diri kita sendiri kerana kita akan dianggap mengganggu kepentingan masyarakat”. Benar, kehadiranku sebagai diriku sendiri menyebabkan jiran-jiranku juga tidak berasa tenteram. Kehadiran along tetap menjadi satu bentuk ancaman. Fakta yang ingin aku tulis: Kita telah salah pertimbangan dengan menjadikan satu topeng yang kita pakai dengan wajah kita sendiri.

     Minggu ini aku tertarik sekali pada berita-berita sensasi artis dan menemukan dapatan-dapatan yang mengejutkan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan pembacaan mereka kepada dua perkara: Pertama, kisah nikah kahwin dan yang kedua, skandal kehidupan artis. Setiap kontroversi adalah sesuatu yang sensasi yang menghangatkan perbualan di meja kantin pejabat dan di kedai kopi. Artis boleh menjadi peniaga yang berjaya kerana mempunyai banyak pengikut. Live mereka melalui aplikasi TikTok sentiasa ditunggu dan mendapat tontonan berpuluh ribu orang. Mereka akan diambil menjadi jurucakap produksi biarpun hanya menjadi burung kakak tua yang hanya mengulangi ayat atau teks yang disediakan oleh produksi iklan. Bukankah ini juga merupakan salah satu proses penipuan? Dunia penipuan dan pemanipulasian sudah kian mencengkam minda masyarakat Malaysia.

     Dunia artis dengan dunia politik kini seperti tidak berjarak – terlalu banyak pengikut dua golongan berkenaan. Mereka ada pengikut tegar yang akan menyokong mereka dalam pelbagai situasi. Pedulikan tentang penipuan atau pembohongan. Pedulikan. Semuanya akan dineutralkan menjadi kebenaran. Bagi penyokong dan peminat golongan berkenaan: Membenci orang yang sangat diminati adalah keruwetan. Mereka sanggup bersekongkol dengan pembohongan. Mereka sanggup bersahabat dengan kemunafikan.

     Aku perlu menjadi siapa? Sasterawan?

     Apa yang boleh aku harapkan dengan menjadi sasterawan? Buku tidak terjual dengan minat membaca masyarakat yang kian hilang. Hadiah untuk sayembara penulisan pun kian berkurangan. Aku membaca keluhan-keluhan tersebut di akhbar dan media sosial. Tidak ada sesiapa yang peduli dengan keluhan tersebut. Aku tersengih. Aku tidak boleh menjadi cerpenis, novelis atau penyair.

     Ahli politik? Atau menjadi artis yang hidup dalam dunia glamor? Pertimbangan berpancakara. Kewajaran bersimpang-siur.

     Tapi, ahli politik juga hidup dalam dunia glamor. Sama sahaja. Malah ramai artis yang berkahwin dengan ahli politik. Perbezaan usia bukan ukuran. Ketampanan tidak ada kaitan dengan kedutan dan uban di kepala.

     Inikah yang dikatakan cinta? Adakah cinta itu wujud jikalau tidak dijanjikan dengan kemewahan? Seperti diriku yang hampir ditinggalkan isteri kerana masalah keberhutanganku dengan along. Tidakkah hutang-hutang itu turut digunakan untuk memenuhi nafsu berbelanjanya? Dia juga turut terlibat – biarpun secara tidak langsung.

     Kepalaku terasa begitu berat – seperti dibebani batu. Fikiran buntu.

     Argh, lemparkan sahaja batu itu! Kemudian, sembunyikan tangan. Aku akan terbebas daripada sebarang bebanan. Bukankah itu sudah menjadi lumrah kehidupan? Pedulikan kemudaratan daripada fitnah. Semua itu boleh diselesaikan dengan mudah. Semuanya boleh diselesaikan di luar mahkamah – ya, dengan mengenakan topeng penyesalan dengan meminta maaf untuk menghalalkan semua salah!

     Aku membuat ketetapan awal untuk memakai topeng dengan wajah pemimpin. Pada mulanya aku ragu-ragu – kekhuatiran yang mengasak, melonjak dan menyesak minda. Bagaimana jikalau penyamaranku diketahui umum? Semuanya terasa tidak kena. Aku melihat diriku di hadapan cermin. Penampilanku memang sama dengan wajah pemimpin berkenaan. Aku membaca kata-kata Seno Gumira Ajidarma yang kutulis semula di atas cermin: “Kalau anda bercermin, yakinkanlah diri anda sendiri, bahawa anda tidak sedang mengenakan topeng”.

     Aku tersenyum puas. Apa-apa yang aku lakukan menjadi tular di media sosial. Aku dikatakan pemimpin berjiwa rakyat apabila makan nasi putih hanya berlaukkan sayur sawi. Sedangkan itu sahaja kemampuan kewanganku. Pemimpin berkenaan perlu berterima kasih kepadaku. Dia yang mendapat pujian.

     Namun tidak semua perjalanan itu indah. Sedang aku makan di warung, seorang pemuda telah berteriak kepadaku, “Kau jangan berlakon. Pemimpin semuanya mengenakan topeng. Jangan nak meraih simpati. Kami tidak akan tertipu. Hentikan lakonan kau tu.”

     Pemuda itu dan kawan-kawannya telah membaling aku dengan telur. Melekit tubuhku. Tubuhku berasa sengal hingga membengkak perasaan kesal. Aku tidak sepatutnya memilih wajah pemimpin. Selain daripada penyokong, pasti juga ramai yang membenci mereka. Ada sahaja yang tidak betul di mata masyarakat. Antara mata lebah dan lalat pasti tidak sama fokusnya – antara bangkai dan bunga.

     Lama aku termenung. Menjadi diri sendiri atau pemimpin – aku masih dibeliti masalah yang menjerut serabut. Dunia penuh dengan tuntutan. Janji lama – relevan atau tidak – masih lagi disebut dan dituntut. Along menuntut hutang. Rakyat pula menuntut janji. Benarkah ada persamaan?

     Beberapa hari berikutnya aku membuat topeng pelakon yang tengah hangat dengan filem lakonannya yang diramal akan menjadi filem box-office. Kebetulan, bangun tubuhku tidak jauh berbeza dengan pelakon tersebut; dengan ketinggian 178 sentimeter dan beratku yang mencecah 72 kilogram. Aku bangga dengan ketampanan wajahku – biarpun hanya tempelan di luar. Ada pandangan yang mengatakan bahawa kecantikan itu menyeruak dari dalam.

     Aku berasa kekok – terasa canggung lebih-lebih lagi dengan mata orang sekeliling yang sentiasa mengejarku. Aku tidak biasa tatkala mendapat perhatian ramai. Semua ingin mengambil foto denganku.

     Klik!

     Dunia akhir zaman penuh dengan penipuan.

     Klik!

     Kebenaran dibuktikan dengan belitan kata yang menjerut.

     Klik! Klik! Klik!

     Argh, sekurang-kurangnya aku tidak menipu masyarakat menggunakan ketampanan dan kepopularanku! Aku tidak mempopularkan skim cepat kaya seperti sesetengah artis – persis along yang telah menjerat dan menjerutku dalam lingkaran keberhutangan dengan kadar bunga yang tidak masuk akal. Yang pasti, topeng yang aku pakai telah melepaskan aku daripada kepungan along. Mereka tidak dapat mengenali aku. Aku teringat dengan pandangan Ellias Canetti yang mengaitkan topeng dengan metamorfosis yang berlangsung tanpa batas. Batas-batas dari metamorfosis adalah batas-batas imaginasi manusia itu sendiri.

     Namun aku rimas tatkala seringkali dikejar oleh wartawan. Aku lemas dengan pelbagai soalan. Aku juga cemas jikalau penyamaranku terbongkar. Mengapa aku memilih wajah pelakon berkenaan? Aku tertipu tatkala menganggap bahawa dunia mereka hanya dipenuhi dengan keindahan. Setiap manusia akan dibebani dengan masalah. Tidak boleh tidak.

     Tatkala aku melintas jalan, beberapa orang wartawan mengajukan soalan kepadaku tentang masalah rumah tangga pelakon berkenaan. Aku terkesima – tentunya menampakkan kecanggunganku.

     – Masalah rumah tangga saya disebabkan oleh beban hutang yang tak tertanggung. Gaji yang ditawarkan terlalu kecil. Saya akan kehilangan pekerjaan jikalau terlalu cerewet tentang tangga gaji.

     Mengapa aku terbawa-bawa dengan masalah rumah tanggaku sendiri? Aku keliru. Aku celaru. Aku tersepit. Jawapanku berbelit. Aku berjaya meloloskan diri daripada wartawan. Seperti pencuri, aku menyelinap masuk ke rumahku sendiri. Barang-barang di dalam rumah bergelimpangan.

     Aku melongo tatkala melihat along dan konco-konconya berada di rumahku. Tanganku terketar. Tapi aku cuba meyakini diri – aku sebenarnya pelakon popular.

     Pelik – along yang berada di rumahku juga melongo memandangku. Mata terkebil-kebil.

     “Mengapa bos berada di rumah ini? Takkan bos tak percaya kepada kami untuk mengutip hutang?”

     Aku menjadi keliru. Mengapa aku dipanggil bos?

     Semuanya berlaku dengan pantas. Tidak sempat aku berfikir dan bertindak, ada serbuan daripada pihak berkuasa. Mungkinkah jiranku yang membuat laporan atas ancaman yang sering dilakukan? Sepatutnya aku berasa lega. Tatkala aku cuba membuka topengku, aku tidak dapat melakukannya. Topeng itu benar-benar melekat di wajahku. Silikon itu telah bercantum dengan kulit. Sekali lagi aku keliru. Berkali-kali aku menerangkan kepada pihak berkuasa bahawa aku bukannya pelakon berkenaan. Aku membuka dompet dan cuba menunjukkan kad pengenalanku. Mana perginya kad pengenalanku? Mereka tersenyum – kesinisan menancap dan mataku menangkap kesinisan itu.

     Tiba-tiba aku teringat kembali kata-kata Seno Gumira Ajidarma: “Yakinkanlah pada diri anda sendiri, bahawa anda tidak sedang mengenakan topeng.”

     Aku memejamkan mata – mengharapkan semua ini hanya mimpi. Tanganku digari. Jikalau aku diberikan pen, aku akan menulis kesimpulan daripada premis-premis yang telah kucatat dahulu: Harga diri adalah jambatan kuasa kepada diri kita sendiri malahan juga pintu gerbang untuk memahami yang lain.

 
 
Advertisement