KUCHING: Cikgu Muhammad Nazmi Rosli dari Sekolah Kebangsaan Long Sebangang, Lawas dinobatkan sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2023 semalam, sekali gus membawa pulang hadiah utama wang tunai RM50,000.
Menurut laporan BERNAMA, Muhammad Nazmi yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris dipilih sebagai pemenang kerana ikhtiarnya mendidik murid-murid di sekolah dengan membuat latihan simulasi bilik darjah.
Beliau mendedahkan anak muridnya dengan pengalaman kehidupan lazim seperti memasuki kedai dobi atau menaiki kapal terbang dengan hanya menggunakan bahan kitar semula.
Muhammad Nazmi yang sebagai pelopor Kelab Filpen (filem pendek) berkata beliau juga memberi ruang kepada muridnya untuk mengekspresikan diri mereka melalui pembikinan filem pendek yang antaranya filem ‘Teether’ yang berjaya diterima ke festival filem Horror Unleashed di Portugal.
Mengulas mengenai kemenangannya, Muhammad Nazmi berkata beliau sangat bersyukur kerana kegigihannya membuahkan hasil.
“Bagi saya, platform ini adalah peluang untuk bukan sahaja berkongsi kisah kehidupan seharian kita sebagai pendidik, tetapi juga untuk menyerlahkan akar umbi matlamat hidup kita, baik di dalam mahupun di luar bilik darjah,” katanya dipetik sebagai berkata.
Hadiah itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Majlis Anugerah Malaysia Teacher Prize 2023 di Kuala Lumpur, semalam.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Pemimpin Global School Leaders (GSL), sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kepimpinan di sekolah.
Untuk maklumat lanjut, layari https://malaysiateacherprize.org/.