Anda di sini

Festival Filem Eropah: 11 filem ditayangkan di GSC CityONE hingga Ahad

Advertisement
(Dari kanan) Martinussen, Abdul Karim dan David merakamkan gambar kenangan sebelum disajikan dengan filem Norway berjudul ‘Operation Arctic’ di GSC CityONE Megamall di sini, malam Rabu. 
(Dari kanan) Martinussen, Abdul Karim dan David merakamkan gambar kenangan sebelum disajikan dengan filem Norway berjudul ‘Operation Arctic’ di GSC CityONE Megamall di sini, malam Rabu. 

KUCHING: Festival Filem Eropah (EUFF) ke-24 di Sarawak pada tahun ini dibuka dengan tayangan filem Norway berjudul 'Operation Arctic' di GSC CityONE Megamall di sini, malam Rabu.

Filem tahun 2014 itu berkisar tentang kisah pengembaraan kanak-kanak yang inovatif, ingin tahu dan berani, secara tidak sengaja tertinggal di persekitaran sejuk, gelap serta berbahaya di Kepulauan Savalbard di utara Lautan Artik.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau percaya filem memaparkan kisah tiga kanak-kanak kecil yang berjuang untuk kelangsungan hidup dalam iklim sejuk dan Arktik Svalbard itu akan menarik dan mengujakan penonton. 

Rakyat Norway katanya, mungkin akan berasa iri hati sedikit dengan cuaca cerah dan panas di Sarawak dan Malaysia, secara amnya.

"Berikutan (faktor cuaca) itu juga, Sarawak dan Malaysia sentiasa menarik perhatian pelancong dan pelawat dari negara Eropah. Kita juga bersyukur kerana mereka datang bercuti di sini dari dulu lagi bahkan hingga sekarang.

"Ini juga sebab kita akan terus mengalu-alukan pelawat dari negara Eropah supaya mereka dapat menikmati sedikit keseronokan hidup di Sarawak yang lebih dikenali sebagai 'The Land of The Hornbills'," ujar beliau ketika berucap merasmikan EUFF 24 di GSC CityONE Megamall di sini, malam Rabu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Diraja Norway Tom Jorgen Martinussen berkata, filem bertema Artik dipilih untuk tayangan di EUFF 24 susulan Norway mempengerusikan Majlis Artik tahun ini, forum pelbagai hala yang paling penting untuk isu-isu Artik.

Menurutnya, sejak penubuhan Majlis itu pada tahun 1996, ia telah menjadi arena utama untuk kerjasama dalam hal-hal kepentingan bersama bagi negara-negara Artik dengan tumpuan khusus pada alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan ekonomi mampan. 

Selain itu katanya, filem bertema Artik dipilih berikutan bandar Bodø di rantau Artik di Norway akan menjadi Ibu Kota Kebudayaan Eropah pada 2024. 

"Sebab ketiga kita berada di sini malam ini adalah kerana Norway dan Sarawak menikmati kerjasama yang sangat baik dalam banyak bidang dan kita berharap untuk mengembangkannya lagi. Acara seperti EUFF 24 mungkin membuka pintu untuk menambahkan usaha kerjasama berkaitan.

"Ini juga selari dengan usaha Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengetuai delegasi melawat Norway baru-baru ini, untuk mengetahui cara Norway membangunkan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon bagi membantu mengurangkan pelepasannya, sekali gus mencapai matlamat dalam Perjanjian Paris," katanya.

EUFF yang diadakan secara tahunan di Malaysia itu kini kembali di Kuching selepas empat tahun menyepi, dengan sejumlah 11 filem ditayangkan di GSC CityONE Megamall mulai hari ini hingga Ahad ini.

Tiket untuk Festival Filem Eropah 2023 untuk filem 'Rising Hawk' (Ukraine) dan 'Last Dance' (Switzerland) berharga RM10 setiap satu.

Sembilan filem iaitu 'Brothers' (Belanda); 'Goya in Bordeaux' (Sepanyol); 'Neither With You' (Hungary); 'The Restless' (Belgium); 'Imad's Childhood' (Sweden); 'We Still Talk' (Itali); 'Parents vs Influencers' (Itali); 'Mr Jones' (Ukraine) dan 'Ramona' (Sepanyol) akan ditayangkan secara percuma kepada orang ramai, disertakan dengan pakej pembelian air mineral RM4.

Tiket boleh dibeli atau ditebus melalui kiosk tiket di GSC CityONE Megamall Kuching atau melalui saluran e-pembayaran GSC (laman web atau aplikasi mudah alih).

EUFF dianjurkan oleh Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, dengan kerjasama kedutaan dan institusi kebudayaan Negara Anggota EU serta Ukraine, Switzerland dan Norway. Pelancaran EUFF 24 di Kuching dihoskan oleh Kedutaan Diraja Norway di Malaysia.

E-treler untuk EUFF 2023 dan maklumat filem tersedia di https://drive.google.com/drive/folders/1QaiaPJWttdPv2AmgXF9BcazluVSXq_ND...

Hadir sama semasa majlis, Pengurus Besar CityONE Megamall David Kueh Swee Lin.

  • oleh
  • Advertisement