Anda di sini

Sastera Kebangsaan dalam Kerangka Malaysia MADANI

Advertisement
 
 


Oleh: Dilah Tuah

Pengenalan
Kita harus menerima kenyataan bahawa dunia kesusasteraan di Malaysia kini kian suram dan tenggelam dalam sorakan kata-kata tanpa tindakan. Berdasarkan pemerhatian dalam beberapa dekad kebelakangan ini, bidang sastera semakin diketepikan dan paling menyedihkan ia dipandang serong oleh sesetengah masyarakat sebagai bidang yang tiada nilai pasaran. Di peringkat sekolah pula, jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu terus menjunam, di sebalik pertambahan jumlah kelompok calon aliran sastera. Selain itu, banyak kelas-kelas Kesusasteraan Melayu di sekolah ditutup disebabkan oleh kekurangan guru serta kurangnya minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Di peringkat pengajian tinggi, program pengajian Kesusasteraan Melayu pula semakin mengecil dan hanya ditawarkan oleh beberapa buah universiti awam. Di institusi pendidikan tinggi yang berorientasikan keuntungan, program pengajian Kesusasteraan Melayu jelas tiada tempat untuk dikembangkan.
      Mengapa senario ini menjadi mukadimah dalam perbincangan ini? Pertama, sekiranya kita ingin mengetahui tentang kepesatan dan kemeriahan sastera kebangsaan kita pada masa kini, maka lihatlah apa tindakan dan usaha yang telah kita lakukan pada sedekad yang lalu. Kedua, sekiranya kita mahu melihat perkembangan sastera kebangsaan pada masa akan datang, maka perhatikan kerangka kerja kita pada hari ini. Justeru, untuk memperkatakan tentang perkembangan sastera kebangsaan pada era Malaysia MADANI, maka yang perlu difokuskan pada masa kini adalah dasar dan perancangan yang mampu memartabatkan semula sastera kebangsaan di kedudukan yang sewajarnya. Hal ini dikatakan sedemikian kerana gagasan Malaysia MADANI hanya bermula sebaik sahaja ia dilancarkan pada 19 Januari 2023. Sehubungan itu, agak mustahil untuk melihat impak Malaysia MADANI kepada perkembangan sastera kebangsaan di Malaysia secara amnya, dan Sarawak secara khususnya. Sehubungan itu, penelitian ini akan membincangkan peranan sastera kebangsaan sebagai pemacu kepada gagasan Malaysia MADANI. 

Konsep Malaysia MADANI dan Sastera Kebangsaan
Malaysia MADANI merupakan satu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi. Terdapat enam teras Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Visi Malaysia MADANI adalah untuk mencorakkan masa hadapan Malaysia dengan segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia, dan bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan. Bagaimana pula dengan Dasar Sastera Kebangsaan (DSK) yang telah disepakati dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 16 hingga 20 Ogos 1971? Sehingga ke hari ini, cadangan tersebut belum dapat direalisasikan. Malah selepas lebih 52 tahun cadangan tersebut dikemukakan, jalan yang dirintis untuk melaksanakan DSK akan bertambah sulit. Hal ini disebabkan kepentingan-kepentingan untuk melaksanakan DSK sudah tidak relevan dengan tuntutan semasa yang lebih mengarah kepada Revolusi Perindustrian 4.0. Natijahnya, skala sastera kebangsaan semakin mengecil dan hanya dikenali sebagai karya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu serta bergerak dengan perlahan akibat ketiadaan dana dan gerak kerja yang jelas. Di sisi yang lain, dalam ketidakstabilan ekonomi dunia, tumpuan para birokrat tentunya lebih terarah kepada keperluan-keperluan yang mendesak dan sekali gus meletakkan sastera kebangsaan sedikit jauh daripada agenda-agenda besar negara.

Sastera Kebangsaan dalam Kerangka Malaysia MADANI
Terdapat satu asas penting yang menjadikan sastera kebangsaan relevan dalam kerangka Malaysia MADANI, iaitu kemanusiaan. Sekiranya tafsiran kemanusiaan diambil secara literal daripada Kamus Perdana (2020:1413), maka ia ditakrifkan sebagai sifat mulia manusia. Manakala dalam Encyclopedia Britannica (2023), kemanusiaan ditakrifkan sebagai cabang-cabang ilmu yang berkaitan dengan manusia dan budaya mereka, atau dengan kaedah penyelidikan analitik dan kritikal yang berasal daripada penghargaan terhadap nilai-nilai manusia dan keupayaan unik semangat manusia untuk menyatakan dirinya. Dalam sebuah tulisan Martin Puchner (2017) yang berjudul The Written World: The Power of Stories to Shape People, History and Civilisation, sastera dikatakan sebagai kunci kepada pembentukan peradaban manusia dan ia harus tetap bersifat inklusif dalam era moden pada masa kini. Dalam buku tersebut, Martin (2017) turut menekankan bahawa penghasilan karya sastera dari pelbagai budaya dan zaman mempengaruhi dunia dan perkembangan sejarah manusia. Dalam hal ini jelas membuktikan bahawa sastera tidak harus dikesampingkan, kerana sastera kebangsaan bukan sahaja menjadi karakter bangsa namun menjadi bukti keunggulan dan keabsahan bagi sesebuah negara bangsa (Wright, 2013).
      Dalam membahaskan peranan sastera kebangsaan dalam kerangka Malaysia MADANI, maka asas penting yang perlu dibahaskan adalah enam teras utamanya, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Manakala sastera pula berperanan sebagai pemacu Malaysia MADANI, khususnya dalam menyumbang kepada pemahaman budaya, kesedaran sosial dan pemikiran kreatif dalam kalangan masyarakat. Membicarakan aspek kemampanan, ia merujuk kepada mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan. Antara citra Malaysia yang sering kali menjadi identiti Malaysia ialah kepelbagaian etnik dan kekayaan warisan budaya yang terdapat di negara ini. Bagi mengembangkan ilmu pengetahuan berasaskan citra Malaysia, karya sastera merupakan wadah yang terbaik. Melalui penghasilan karya kreatif, segala kekayaan warisan budaya setempat dapat dikongsi oleh penulis kepada khalayak pembaca dan seterusnya menanjak rasa hormat-menghormati terhadap budaya kaum lain. Misalnya, membaca novel Kelingkang, karya Douglas Jaga, akan mendekatkan pembaca dengan budaya masyarakat Iban. Begitu juga dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan, karya Shahnon Ahmad, akan membawa khalayak memahami kegigihan dan sikap pesimis pesawah di Kampung Banggul Derdap terhadap kegiatan pertanian. Rakaman-rakaman sosiobudaya ini walaupun dipaparkan dalam bentuk naratif kreatif tetap berupaya menyumbang kepada pertambahan khazanah ilmu kearifan tempatan penduduk peribumi di Malaysia. Di sisi yang lain, kefahaman terhadap budaya dan kepercayaan kaum lain berupaya meningkatkan rasa hormat-menghormati dan menanjak nilai perpaduan.
      Dalam teras kedua Malaysia MADANI, penekanan diberikan kepada aspek kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan. Di Malaysia, bidang sastera sering kali dianggap kurang memberi impak kepada sektor ekonomi. Kenyataan ini tidak dapat diragukan kerana tidak ramai penulis menjadi kaya di Malaysia jika dibandingkan dengan penulis-penulis di barat. Namun ini tidak bermakna sastera tidak berupaya menjadi pemacu kepada kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam. Di barat, sastera menjadi sumber daya ekonomi setempat seperti di lima buah rumah dan taman milik keluarga Shakespeare di Stratford-upon-Avon, Warwickshire, England yang mencatatkan kedatangan pelancong seramai 835,000 orang pelawat dari seluruh dunia pada tahun 2018. Di Korea Selatan, Kim Yujeong Literary Village (KYLV) di Chuncheon-si, Gangwon-do merekodkan kedatangan pengunjung seramai 200,700 orang pada tahun 2010. Kewujudan destinasi sastera ini secara tidak langsung membuka peluang ekonomi yang sudah pastinya memberi impak kepada kesejahteraan sosial. Manakala bagi kelestarian alam, novel-novel yang dihasilkan oleh Jong Chian Lai misalnya banyak menceritakan tentang kepentingan menjaga alam sekitar khususnya hutan belantara di Sarawak. Antaranya, novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (1990), Pindah (1988) dan Suara dari Rimba (2008). 
      Selain itu, Malaysia MADANI turut menekankan aspek daya cipta melalui pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia. Dalam sastera, daya cipta merupakan aspek yang amat dititikberatkan. Hal ini penting kerana daya cipta atau kreativiti diperlukan untuk melahirkan karya-karya baharu yang lebih berimpak dan menarik. Sehubungan itu, untuk mewujudkan daya cipta yang tinggi dalam kalangan rakyat, maka kemahiran berfikir secara kreatif adalah penting dalam menanjak keupayaan seseorang untuk menghasilkan dan mencetuskan idea baharu serta mempunyai keaslian yang tersendiri. Pada era Revolusi Perindustrian 4.0 ini, keupayaan berfikir secara kreatif (daya cipta) menjadi salah satu kemahiran yang amat diperlukan dan ia menjadi ciri penting bagi siswazah pada abad ke-21 Masihi. Justeru, tidak hairanlah mengapa Mantan Presiden India, A.P.J Abdul Kalam menganggap kreativiti sebagai kunci kepada kejayaan. Sehubungan itu, untuk melahirkan golongan muda yang kreatif pada masa akan datang, maka elemen sastera kebangsaan perlu dipelajari khususnya di sekolah. 
      Sastera telah lama terbukti dapat melahirkan masyarakat yang berperilaku mulia, menghargai kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia. Contoh sastera yang menggambarkan masyarakat MADANI ialah novel yang berjudul To Kill a Mockingbird karya Harper Lee. Novel ini menggambarkan sebuah masyarakat di Alabama, Amerika Syarikat pada tahun 1930-an yang terpecah oleh rasisme dan prasangka. Dalam novel ini, Atticus Finch merupakan seorang peguam yang mengamalkan nilai-nilai keadilan, kasih sayang, dan kebenaran. Atticus dengan tegas menentang diskriminasi ras, ketidakadilan, kebencian, dan kemunafikan. Di Sarawak, novel Ah Fook karya Jong Chian Lai turut menekankan aspek perpaduan, nilai kasih sayang, kemajmukan dan paling penting meraikan perbezaan budaya yang wujud di Sarawak. 
      Teras kelima Malaysia MADANI ialah keyakinan, iaitu menghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan perubahan ke arah kebaikan. Dalam aspek ini, sastera merupakan wadah terpenting dalam memacu keyakinan kerana sastera dapat mempengaruhi, menginspirasi, dan merangsang pemikiran individu. Nilai dan pengajaran yang terkandung dalam sastera dapat menjadi perisai kepada seseorang individu daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undan negara. Hal ini dikatakan sedemikian kerana terdapat banyak karya sastera yang mengangkat isu-isu sosial dan moral, etika, keadilan, hak asasi manusia, dan konflik sosial. Justeru, tidak hairanlah karya sastera mempunyai peranan yang penting dalam mengajar nilai-nilai baik, menyampaikan pesan-pesan moral, etika, dan sosial yang dapat membentuk kefahaman serta sikap pembaca terhadap dunia.
      Di samping itu, sastera memainkan peranan yang penting dalam memupuk ihsan dan belas kasihan terhadap nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana sastera merangkumi pengalaman manusia daripada pelbagai latar belakang dan kehidupan yang berbeza. Perkara ini pasti akan membuka mata khalayak pembaca terhadap pelbagai realiti dan penderitaan yang dialami oleh individu daripada pelbagai lapisan masyarakat. Misalnya, novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad akan menyedarkan khalayak pembaca tentang kemiskinan dan kecekalan anak tani menempuh kegetiran hidup dalam berbudi kepada tanah, dengan jiwa yang pantang menyerah. Begitu juga dengan novel Animal Farm karya George Orwell yang akan menyedarkan kita tentang sikap autoritarianisme, korupsi, dan pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip yang telah disepakati.

Kesimpulan
Dalam konteks perkembangan sastera kebangsaan dalam era Malaysia MADANI, perlu ditekankan bahawa sastera memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman budaya, kesedaran sosial, dan pemikiran kreatif dalam kalangan masyarakat. Sastera juga berperan sebagai cerminan masyarakat yang memaparkan kepelbagaian budaya serta sudut pandangan yang berbeza di Malaysia. Melalui nilai-nilai kemanusiaan yang disampaikan dalam karya-karya sastera, ia membawa kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang hak asasi manusia, keadilan, pemersatuan, dan kepelbagaian. Sastera juga memainkan peranan penting dalam memotivasikan dan mempengaruhi individu untuk berperanan aktif bagi mencapai perubahan positif dalam masyarakat. Selain itu, sastera dapat memupuk ihsan dan belas kasihan terhadap nasib semua pihak melalui pengalaman manusia yang dirakamkan dalam karya sastera. Tuntasnya, sastera kebangsaan mempunyai potensi besar sebagai pemacu kepada Malaysia MADANI dengan menyumbang kepada pemahaman budaya, pembentukan nilai, dan perjuangan untuk masyarakat yang lebih adil dan bersatu padu.
     

 
 
Advertisement