Anda di sini

Acid Rain menerusi lagu 'Manuk Bauh' rangkul trofi ACLB Edisi Ke-9

Advertisement
Stephanie (tiga kanan) menerima replika cek kemenangan kumpulan Acid Rain daripada Riot (tiga kiri) selepas dinobatkan sebagai johan ACLB Edisi Ke-9 di pekarangan RTM malam Jumaat.
Stephanie (tiga kanan) menerima replika cek kemenangan kumpulan Acid Rain daripada Riot (tiga kiri) selepas dinobatkan sebagai johan ACLB Edisi Ke-9 di pekarangan RTM malam Jumaat.

KUCHING: Kumpulan legenda Bidayuh dari Serian, Acid Rain menerusi lagu 'Manuk Bauh' berjaya merangkul trofi Anugerah Anugerah Carta Lagu Bidayuh (ACLB) Edisi Ke-9 malam Jumaat.

Ini sekali gus melayakkan kumpulan tersebut membawa pulang wang tunai RM5,000 yang telah disampaikan oleh Penaung ACLB Edisi Ke-9 dan juga Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem pada majlis yang diadakan pekarangan RTM di sini.

Kumpulan tersebut yang ditubuhkan pada 1997 dan pernah popular dengan lagu 'Kampung Love' pada 2003 turut berhasrat untuk menerobos genre moden bagi mengangkat lagi industri muzik Bidayuh tempatan.

Acid Rain dianggotai oleh pengasas, penulis lagu dan vokalis lelaki Harry Julet, vokalis wanita Stephanie Gular, pemain keyboard Patrick Tinggang, pemain gitar Evan Albert, pemain gitar bass Valentine Hubert dan pemain dram John Constantine.

Sementara itu, di tempat kedua ialah Mezzavoce yang dengan lagu berjudul 'Bukang' sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan trofi. Mezzavoce turut menerima RM1,000 setelah memenangi kategori vokalis terbaik.

Para artis yang berjaya ke peringkat akhir ACLB Edisi Ke-9 di pekarangan RTM malam Jumaat merakamkan kenangan bersama Riot dan dif-dif kenamaan lain.
Para artis yang berjaya ke peringkat akhir ACLB Edisi Ke-9 di pekarangan RTM malam Jumaat merakamkan kenangan bersama Riot dan dif-dif kenamaan lain.

Di tempat ketiga, Jimmy Will dan Wenday Eva dengan lagu mereka 'Cinta Da Jinaga' hasil komposer Moni J yang meraih wang tunai RM2,000 berserta trofi.

Selain itu, Jackson Boson dengan lagu ‘Indi Kirasah Intan’ memenangi kategori lagu paling popular dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.

Dalam ucapannya, Riot menggesa masyarakat Bidayuh memberikan sokongan berterusan kepada persada muzik Bidayuh tempatan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

"Marilah kami memberikan sokongan dengan membeli tiket artis tempatan ini dan membeli muzik mereka.

"Ini adalah salah satu cara kita boleh membantu mempromosikan mereka. Kalau boleh beli tiket konsert antarabangsa, mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk artis tempatan kita?" ujarnya.

Lebih-lebih lagi, persada muzik tempatan khususnya untuk artis Bidayuh bukanlah dunia yang glamor, justeru banyak sokongan diperlukan daripada semua pihak untuk membantu industri muzik Bidayuh agar terus maju.

"Bagi artis tempatan, khususnya artis Bidayuh, ia bukan dunia glamor dan dengan media sosial di hujung jari, ia menjadi lebih sukar pada hari ini.

"Saya berharap penganjuran acara seperti ini akan memberi peluang kepada komposer muzik untuk menghasilkan lagu yang lebih baik dan berkualiti," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement