Anda di sini

146 pelajar cemerlang terima bantuan insentif YBR

Advertisement
 Ewon (empat kiri) bersama semua wakil sekolah yang menerima insentig berkenaan.
BANTUAN: Ewon (empat kiri) bersama semua wakil sekolah yang menerima insentig berkenaan.

PENAMPANG: Seramai 146 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Tahun 2022 menerima bantuan insentif kecemerlangan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.

Ewon berkata, bantuan insentif itu diberikan kepada empat buah sekolah iaitu Sekolah Semenengah (SM) St. Michael Penampang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, SMK Limbanak dan SMK Datuk Peter Mojuntin.

“Bagi pihak penerima, keluarga dan sekolah-sekolah kawasan Penampang, saya mengucapkan terima kasih kepada YBR atas sumbangan besar mereka.

“Saya berharap agar insentif ini boleh menjadi inspirasi kepada pelajar yang sedang belajar di sekolah menengah seluruh negara khususnya di Penampang supaya mencipta kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Pelajar Cemerlang SPM dan STPM Tahun 2022, di Dewan SM St.Michael, Penampang, di sini, semalam.

Bantuan insentif YBR yang diberikan kepada pelajar cemerlang di empat buah sekolah berkenaan berjumlah RM61,500

Ewon berharap majlis seumpama itu dapat diteruskan pada tahun hadapan sebagai penghargaan dan pembakar semangat kepada para pelajar.

“Selain sumbangan insentif kepada pelajar cemerlang, YBR juga turut memberikan sumbangan sejumlah RM80,000 kepada empat buah sekolah menengah berkenaan.

“Setiap sekolah menerima sebanyak RM20,000 sebagai sokongan kepada pihak sekolah untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan terutamanya berkaitan persediaan SPM dan STPM,” katanya.

Mengenai pelajar tercicir yang tidak mengambil peperiksaan SPM, Ewon berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat cabinet.

“Di peringkat kementerian, kita juga mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini. Kita berhasrat untuk menjadikan keusahawanan sebagai option mereka.

“Kita mahu membangunkan satu modul keusahawanan iaitu TVET Keusahawanan, satu kursus yang diakreditasikan dan seterusnya diberikan pembiayaan permulaan untuk golongan muda untuk memulakan perniagaan,” katanya.

Ewon berkata, pihaknya telah berjumpa dengan Lembaga Pengarah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) untuk melihat bagaimana modul TVET Keusahawanan itu boleh dibangunkan sebagai option kepada golongan muda memulakan perniagaan.

“Bagaimanapun modul ini tidak terhad kepada mereka yang tidak mempunyai SPM sahaja, kerana ia akan diolah untuk semua termasuk pelajar lepasan SPM atau institut pengajian tinggi yang ingin memulakan perniagaan.

“Perkara berkenaan, kita sedang teliti dan bincang. Mudah-mudahan tahun depan kita boleh melancarkan program ini,” katanya.

Ewon berkata, sebagai permulaan di bawah SME Corp, satu daripada agensi kementeriannya, Program Tunas Usahawan telah ditambah baik iaitu jumlah pembiayaan ditambah kepada RM30,000 berbanding RM15,000 sebelum ini.

  • oleh
  • Advertisement