Anda di sini

Tiga penyanyi veteran terkenal Sarawak menerima anugerah pada ASBS 2023

Advertisement
Penerima-penerima anugerah pada Majlis ASBS 2023 merakam gambar kenangan bersama Abdul Karim (sebelas kanan) serta tetamu kehormat lain.
Penerima-penerima anugerah pada Majlis ASBS 2023 merakam gambar kenangan bersama Abdul Karim (sebelas kanan) serta tetamu kehormat lain.

KUCHING: Tiga penyanyi veteran terkenal negeri ini menerima anugerah pada Majlis Anugerah Seni Budaya Sarawak (ASBS) 2023 sebagai mengiktiraf sumbangan serta pencapaian mereka dalam industri seni dan budaya Sarawak khasnya.

Dato Sarbanun Marican, Andrewson Ngalai dan Richmond Allan Morshidi menerima anugerah masing-masing pada Majlis ASBS 2023 yang diadakan di sini, malam Ahad.

Sarbanun, biduanita terunggul Sarawak yang sangat popular sekitar tahun 1970-an dan 1980-an mendapat Anugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak 2023.

Beliau telah memenangi pelbagai anugerah di seluruh negara, termasuk pemenang Dondang Sayang peringkat kebangsaan pada tahun 1970 dan pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai acara nyanyian antarabangsa.

Sementara itu penyanyi Iban, Andrewson diberikan anugerah khas iaitu Tokoh Perpaduan Seni Budaya sebagai pengiktirafan kepada lagu popularnya, 'Biar Berkikis Bulu Betis' yang pernah membangkitkan profil Sarawak beberapa tahun lalu.

Lagu itu tidak hanya popular di Sarawak tetapi di Semenanjung Malaysia dan Sabah serta telah dipersembahkan oleh ramai artis tempatan di pentas antarabangsa.

Lagu ‘Biar Berkikis Bulu Betis' juga terbukti telah menyatukan rakyat Malaysia dan mempromosikan semangat bekerjasama dalam kalangan rakyat negara ini tanpa mengira bangsa, etnik mahupun agama.

Bagi Richmod pula, penglibatan aktif dan sumbangan beliau kepada perkembangan industri muzik tempatan di Sarawak lebih 40 tahun melayakkannya menerima Anugerah Khas Juri.

Beliau yang merekodkan lagu-lagu Bidayuh dan Iban, kini masih aktif dalam industri muzik tempatan.

Penyampaian anugerah-anugerah itu disempurna dan disaksikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pada majlis itu juga menyaksikan Kelab Peminat P.Ramlee Sarawak mendapat Anugerah Pendukung Seni Sarawak 2023 bagi kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Turut menerima anugerah pada majlis itu Jerry Kamit (Anugerah Seni Muzik Sarawak) January Chan (Anugerah Seni Muzik Sarawak), Malek Hassan (Anugerah Seni Teater Sarawak) dan Dr Saie Dris (Anugerah Seni Berbahasa Sarawak).

Manakala anugerah khas iaitu Tokoh Legenda Seni Budaya diberikan kepada Allahyarhamah Radiah Tahir bagi mengenang serta mengiktiraf sumbangannya membangunkan seni Gendang Burdah di negeri ini.

Radiah meninggal dunia pada 7 September 2023 pada usia 50 tahun.

Majlis ASBS 2023 yang berlangsung di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dimeriahkan lagi dengan persembahan artis-artis tempatan Sarawak seperti Bob Yusof, Azie Mustapha, Rem, Rickie Andrewson dan Hatizuddin Jamaluddin.

  • oleh
  • Advertisement