

Oleh: Jaya Ramba
MEREKA menunggul dengan mata bersinar. Segelintir mereka menitiskan air mata. Bukan sahaja dalam resah tetapi telah puas kecewa. Kini, mereka antara yang hidup terkatung-katung bagaikan tergantung tanpa tali. Mereka mati akal hingga mereka berpandangan sesama sendiri. Lalu, mereka merenung wajah datuk yang ketegasan. Datuk melilaukan pandangan. Tidak peduli akan esakan mereka yang terhantuk oleh igauan buruk dalam hidup.
“Kamu mahu tahu semuanya?” datuk menyoal mereka dengan nada keras. Aku dapat merasakan gelodak hatinya sejak dilanda resah hingga ke hari ini. Hati datuk hancur melihat proses regresi keturunannya. Cara hidup mereka di rumah panjang ini sudah banyak berubah.
“Kepercayaan hidup mereka! Tiada kesempurnaan! Semuanya kerana tiada darah keturunan yang mengalir hingga inilah yang telah berlaku pada hari ini. Semuanya menakutkan!” bisik aku dalam diam.
Kamu tahu, rumah panjang kita ini adalah antara yang terawal namanya dalam peta bumi ini. Rumah panjang kita ini antara yang berpengaruh dengan tokoh. Rumah panjang kita ini dipanggil pusat budaya. Kita di sini sudah lama diikat. Kita menjaga amalan keturunan. Kita masih mengamalkan adat keturunan datuk nenek. Kita hidup dipayungi langit bersih. Hutan kita hijau penuh flora fauna. Tanah kita pada masa dahulu subur untuk bercucuk tanam. Kamu tahu, sungai kita banyak ikan. Sungai berkenaan laluan kita ke sana ke mari. Separuh hidup kita berhamba di sungai dan hutan rimba ini. Namun, semua itu sudah songsang. Hancur!
Bukankah datuk pernah menceritakan semua perkara ini sejak dulu lagi? Kamu yang tidak mahu mendengarnya. Kamu menghalang datuk sehingga datuk menutup mulut ketika itu. Datuk mahu memberitahu semuanya ketika kamu tertanya-tanya sesama sendiri. Kamu ingat, pada malam yang kelam-kabut dulu. Datuk pernah bangkit di hadapan kamu. Datuk mahu membetulkan kesilapan yang kamu lakukan. Malah, pada suatu ketika yang ada kematian di rumah panjang kita dulu pun datuk mahu mengatakan di depan para tokoh adat. Tetapi segelintir kamu juga yang menghalang datuk. Maka, datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Kamu tidak mahu mendengarnya.
Semua ini bermula ketika kamu menjalankan upacara miring. Ketika inilah datuk berasa amat sedih. Tiba-tiba kamu semua menggunakan pinggan mangkuk terpakai dalam upacara adat selama ini. Pinggan mangkuk disusun dan diisi dengan alat upacara mengikut ideologi semberono kamu semata-mata. Ingatkah kamu bahawa sebenarnya alat upacara itu tidak boleh ditukar? Air tapai itu adalah asli dan betul! Tapai itu juga minuman dewa keturunan kita! Kenapa air bancuh pula digunakan untuk disimbahkan ke dalam pinggan pedara? Air bancuh itu seperti kita kencing ke atas kubur bapa kita sendiri.
“Siapa yang mengajar kamu?” aku merenung datuk. Datuk pula bersahaja ketika aku terus mahu bersuara.
Datuk marah ketika kamu letak alat upacara dalam keadaan kamu berbisik dengan mulut celupar. Bukankah kamu jelas mempersendakan upacara keturunan yang dilakukan itu? Mana sebenarnya Iban kamu? Kamu tahu yang kekurangan menjalankan upacara adat itu adalah suatu yang disengajakan. Itu namanya dosa! Namun, kamu semua terus lakukan kesongsangan. Malah cara kamu memilih tokoh upacara juga salah. Ini menandakan kamu mentah apabila susunan peringkat umur tokoh juga tidak menurut turutan. Ingatkah kamu yang Menanting Mandau telah meninggal dunia selepas sebulan pesta gawai. Kemudian, seorang demi seorang penghuni rumah panjang kita bermimpi pelik-pelik. Selepas itu kamu sedar yang perkara luar biasa telah datang. Apabila angin bertiup, ia seperti bisikan setan. Apabila hujan turun, ia seperti meruntuhkan bumbung rumah panjang kamu. Apabila air sungai itu mengalir, ia seperti menghanyutkan perahu-perahu yang tertambat di tepian. Apabila matahari memercikkan cahayanya, ia berbahang seperti membakar jiwa kita. Kononnya akan membakar rumah panjang kita. Kamu ingatkah?
Datuk pernah menegur kamu agar jangan mempermainkan upacara adat yang dilakukan ketika perayaan. Datuk sering kali berkata agar persediaan dilakukan selengkap-lengkapnya. Kamu masih ingat ketika burung hantu muncul dan hinggap di tiang rumah panjang kita? Burung hantu itu tidak mahu lari walaupun dihalau. Burung itu hanya hinggap dengan renungan mata yang tajam. Bukankah burung hantu itu dihantar oleh alam? Bukankah burung hantu itu dewa alam yang diutus khas ke rumah panjang kita? Bukankah itu satu petanda pelik yang harus kita ambil berat? Kamu semua sudah melihat satu kemalangan ngeri telah berlaku. Kamu mengambil tindakan cepat dalam hal burung hantu itu. Kamu membuat upacara secepat mungkin. Itu memang betul. Namun, mana mungkin menggunakan ayam untuk upacara berkenaan. Bukankah cara betul menggunakan seekor babi bertaring sejengkal? Kesudahannya, kamu saksikan tokoh adat yang sedang bermantera itu tiba-tiba rebah ketika memegang ayam jantan. Tokoh itu tidak bersuara langsung dan meninggal dunia di bilik kamu. Kamu masih ingat pada waktu malam ketika upacara kematian tokoh itu. Itu petanda yang tidak baik. Petanda itu ialah isyarat kerja yang kamu lakukan salah. Kamu dihukum oleh keadaan.
Setelah kejadian itulah semuanya bagaikan disumpah. Tidak disangka-sangka banyak perkara tidak betul telah berlaku. Rumah panjang ini seperti disihir. Angin yang sentiasa bertiup tenang dulu, pada hari ini membawa khabar yang tidak baik. Panahan cahaya bulan seakan menimbulkan bayangan berkeliaran yang menyeramkan semua orang. Kelipan bintang di dada langit sering kali ditutup tompokan awan hitam. Ketika itulah malam didatangi bunyi-bunyian yang menyeramkan. Bukankah kamu sudah tahu? Kamu menyaksikan pondok-pondok kebun di merata tempat yang ditinggalkan seakan-akan berpenghuni. Pernah kelihatan dua tiga bayangan mengisi setiap pondok kebun pada waktu malam. Kamu ingat yang tanah kebun kita juga bagaikan beracun. Tanaman kamu tidak menjadi. Sedangkan kamu pula melihat hanya bekas tapak kaki asing tanpa asal usul di kebun kamu. Apa jadahnya!
“Aku merenung wajah-wajah sayu yang tunduk.”
Kamu mahu tahu! Kamu semua tidak pernah mengembalikan perkara ini kembali ke asal. Kini, segalanya sudah mengikat kita. Ini menyusahkan kita. Kamu tahu yang kamu telah api-apikan pantang larang alam. Ini seharusnya tidak berlaku. Sedangkan kamu membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja tanpa satu pun cara penyelesaiannya. Inilah dosa kamu. Kita dikelilingi jerat sendiri. Kita didatangi masalah bertimbun-timbun. Kamu tahu yang kamu tidak boleh turun ke sungai. Kamu tahu yang kamu mula takut bekerja di kebun sendiri. Kamu tahu, kamu tidak boleh turun berburu di hutan. Kamu tidak boleh mencari rezeki ke mana-mana sudut hutan rimba kita. Malah kamu takut melintasi kawasan perkuburan keturunan kita. Pada hari ini, kamu takut menghadapi kebenaran ini dan kamu melarikan diri daripada perbuatan lalu.
“Kalau kamu terus begini!” datuk melepaskan nafas sesak.
Kamu sudah tidak melihat dari arah mana matahari muncul. Tidak mengira ke arah mana pula matahari terbenam. Kamu tidak mendengar suara kutukan burung yang menjadi tanda larangan apabila mahu masuk ke hutan. Kamu tidak mengira riak dan gelombang sungai. Tidak menyukat dalamnya kuala. Begitu juga kamu telah melepaskan ikatan yang diamalkan kita sejak turun-temurun. Kamu menentang arus sukar. Bukankah semua ini terbalik? Nah, kamu lihat apa yang sudah berlaku pada rumah panjang ini, putus-putus.
Kamu telah melakukan kesalahan walaupun kesilapan itu kecil. Inilah ertinya kesongsangan. Bukankah keturunan kita menghalang membunuh ular? Entah berapa ekor yang kamu sudah bunuh. Datuk nenek kita menghalang mengganggu buaya di sungai itu. Kamu pula memancing binatang berkenaan demi untuk hidup. Malah kamu menjampi binatang itu untuk perkara yang lain. Pada hari ini, siapakah yang berani mandi di sungai? Ini kerana kamu telah melaratkan keadaan. Kamu memulakan permusuhan dengan alam. Lihatlah sungai kecil di belakang rumah panjang kita yang kamu turut tuba. Ikan dalam sungai itu sudah pupus.
Aku merenung setiap mereka. Dalam kesenyapan, mata mereka merenung datuk. Aku tahu mereka hilang pegangan. Biarkan keadaan mereka begini. Datuk pula tidak menaruh harapan selain terus membangkitkan kelakuan buruk penduduk rumah panjang selama ini. Aku tahu datuk terus menyerang dengan kata-kata pedas yang menempurungi kepala otaknya selama ini.
Seterusnya, keturunan kita pernah bersumpah. Ini tanah kita. Kamu tahu, ketika mangkung tiang rumah panjang kita di tapak tanah ini. Mereka melakukan upacara penting yang berniat agar rumah panjang ini dijaga dalam pantang larang. Ini semata-mata untuk keamanan. Niat mereka untuk anak cucu. Kamu tahu, kuasa darah babi yang ditumpahkan? Berapa ekor ayam dikorbankan pada setiap tiang rumah panjang yang didirikan ini? Kamu tahu, keturunan kita menyelami berapa lapis tanah di atas rumah panjang ini? Niat mereka suci kerana mereka mendalami setiap ceruk lubuk sudut rumah panjang ini. Kamu tahu, berapa keturunan burung yang merestui? Mereka bersusah payah menjalinkan hubungan dengan adat rimba. Mereka menjalani upacara dengan sangat berkesan. Mereka meminta kebenaran alam. Minta restu dewa. Inilah pantang larang yang mengikat kita. Inilah langit yang memayungi kita.
Namun, kamu mencemarkan semuanya. Kamu mengotorkan tanah ini dengan perbuatan songsang. Lihatlah, berapa luas tapak tanah keturunan kita yang tinggal. Semuanya dijual. Kini, kita hanya memiliki ruang seinci untuk hidup. Malah ruang untuk kubur kita pun sudah tidak ada. Kamu lupa yang kamu melumpurkan sungai itu. Kamu menghitamkan wajah langit yang memayungi kita. Orang asing dibiarkan menggondol hutan kita. Hanya kerana duit! Akhirnya, semua ini tergadai. Kita khayal. Mabuk!
Kamu lupa tentang amalan dan pantang larang. Inilah janji keturunan kita yang mengatakan jangan disekat jalan milik bersama ke huma. Bukankah itu jalan kita ke temuda? Bukankah itu jalan ke kubur keturunan? Bukankah itu jalan kita turun ke sungai? Bukankah itu jalan yang memang sudah lama dilalui hingga ke hari ini? Bukankah jalan itu termasuk perjanjian alam? Upacara dilakukan oleh keturunan kita sudah berakar umbi. Ini jalan mereka. Jiwa kita dan roh mereka. Jalan ini tidak menyesatkan. Namun, pada hari ini sudah dibina rintangan. Jalan ini bersimpang-siur. Kamu sesat. Kita sesat. Mereka sesat. Akhirnya, kita dihukum kerana meleraikan perjanjian lalu. Baru hari ini kamu sedar akan kesilapan diri.
Aku pula menyelat datuk. Datuk pernah memberitahu kamu sebelum dia berpindah ke tanah kebun di sebalik gunung itu. Datuk lebih aman hidupnya. Biarpun datuk dikatakan kuno. Biarpun datuk dan keluarga menjalani hidup dipayungi langit muram dan pulau sempit. Lihatlah, anak datuk telah berjaya dalam hidup masing-masing. Mereka telah menjejak kaki ke menara gading. Semua anak datuk memperoleh segulung ijazah. Mereka hidup senang-lenang. Kamu tahu, mereka sedar identiti diri. Mereka tahu merekalah keturunan kita. Mereka tahu mereka anak rimba dari rumah panjang ini. Mereka dibanggakan bangsa lain.
Namun, kamu tidak pernah berubah. Kamu seperti bara yang sentiasa menyala sehingga semuanya kepanasan. Setiap bahang kesilapan itu mencucuk hati. Puncak maruah keturunan runtuh. Kamu tahu, pernah mata aku menyaksikan robohnya pondok tengkorak yang sebelum ini dijaga rapi. Nyawa dalam pondok itu selalu diberi makan. Tetapi kamu memusnahkan pondok itu tanpa dilakukan upacara. Kamu bakar tanpa diberi penghormatan. Sama sekali kamu telah memusnahkan jambatan perjanjian lalu. Seperkara yang datuk amat kesali, kamu sudah mengkafirkan diri.
“Inilah wajah kamu!” getus hati kecilku sambil merenung datuk.
Tanah kita berada sekarang sudah hilang sempadan. Sungai itu kotor. Sama keadaannya otak kita dipesongkan dengan mudah. Pemesongan ini bermula di kebun. Kemudian, dilakukan di huma dan sawah. Datuk kata jangan dibuat kelingkang besar. Masakan guna darah babi. Boleh guna ayam untuk dikorbankan. Paling tidak betul, kamu menugal padi tanpa arah yang betul. Membenih padi pun ikut kehendak diri, tanpa dari arah yang betul. Akhirnya hasil padi kita hanya ampa. Padi diganggu pipit. Jagung diganggu kera. Buah timun dan labu luluh sebelum diambil. Banjir pula mudah melanda. Sedangkan perkara ini tidak pernah berlaku. Kamu tahu kesalahan kamu tentang perkara ini?
Datuk tetap meliarkan pandangan. Sinar mata datuk menembusi hati mereka yang duduk menyepi. Aku pula membiarkan keadaan ini. Aku tahu mereka yang inginkan semuanya. Kini, mereka mahu datuk membetulkan semua kesalahan mereka. Datuk pernah menegur yang bencana akan timbul hasil perbuatan songsang kamu. Lihatlah dua bulan lalu, siapa yang melahirkan anak menanggung deritanya. Bukannya susah keluarkan parang dari sarungnya. Bukan susah menurunkan gantungan dan meletakkannya di atas lantai. Bukan payah pun membuka tudung setiap tempayan seketika. Kamu tahu, pantang larang yang mesti dituruti. Bukankah kamu sudah tahu ketika isteri mengandung, jangan memburu di hutan. Jangan memasang jerat. Ya, kamu sendiri menyaksikan malapetaka yang berlaku. Nasib dan masa depan bayi, anak kita sudah tidak betul hidup mereka.
“Kamu sudah tahu bukan?” datuk menyoal lagi. Lalu, datuk merenung wajah-wajah yang sugul di ruai.
Aku sedar yang fikiran mereka amat berkecamuk. Petang beransur senja. Ruik babi dari kandang di belakang rumah panjang kedengaran. Ciapan ayam itik juga menyelat, meminta tuannya memberi makan. Aku hanya duduk bersandar pada dinding ruai. Datuk pula sudah membelek jam di tangan. Wajah yang menunggul terus kaku. Belum ada tanda-tanda suara muncul.
Seterusnya datuk memberitahu semua kamu. Sekiranya mahu perkara ini dikembalikan. Kamu harus akur apa-apa sahaja yang datuk lakukan. Bukan semua perkara boleh diselamatkan. Bukan semuanya akan kekal. Kamu harus berkorban dengan menanggung sebahagiannya. Kamu harus menerima perubahan. sekiranya kamu mahu kembali seperti dulu. Perubahan yang datuk maksudkan, kamu harus meninggalkan segalanya. Bertafakur dengan upacara berdarah. Ini kerana tapak tanah telah tercemar. Tapak rumah ini kotor. Tapak rumah panjang yang putus-putus ini sudah ditentukan dengan sempadan. Sempadan ini bukan milik kita. Kamu diadili.
“Apakah betul pangkal jalan ini untuk kamu pulang?” soal datuk ketika keadaan terus hening.
Kamu tahu sejarah? Aku sebagai orang tua kamu telah lama membina sejarah. Aku mati kerana sejarah ini. Aku ikat alam dan rimba ini. Nafas rimba ini. Hati rimba ini. Jantung tanah ini. Aku tahu sungai makna. Aku tahu garis sempadan di bumi kita ini. Aku tahu alam marahkan kita. Kamu semua bersalah. Kamu harus mengakui kesalahan kamu. Ini bermakna kamu semua rela menggadai maruah keturunan. Untuk mengembalikan! Ini bermakna, kalau kamu berat menerima apa-apa yang dikatakan. Datuk rela betulkan. Sama keadaannya, kamu mesti mengenali diri. Kamu harus tahu identiti. Kamu jaga maruah. Datuk tahu, kamu mati seperti hidup kembali. Cukup tegas datuk bersuara ketika sinar senja mulai menerobos celahan dinding rumah panjang.
“Kamu sanggup!” ulang datuk dengan berani menentang arus kegemuruhan hati mereka.
Datuk memutuskan supaya kamu merobohkan rumah panjang ini. Rumah panjang ini diserahkan kepada mereka. Lakukan upacara “ampun” nanti. Datuk melarang kamu mendiami rumah panjang yang putus-putus ini. Kamu semua tidak diterima. Datuk pun kalau berada di dalam rumah panjang ini, tidak diterima. Besar erti yang datuk maksudkan. Ini kerana kesalahan besar.
“Bagi datuk tidak perlu lagi diceritakan lebih daripada itu. Datuk keturunan Iban. Kamu semua anak Iban. Kamu tahu apa yang aku maksudkan kalau kita ini masyarakat Iban di atas bumi ini.” Mata mereka memandang ke berbagai arah.
Aku turut meliarkan pandangan. Datuk kembali membelek jam tangan ketika kegelapan sudah menguasai alam. Aku juga bangkit daripada duduk dengan perasaan kecewa. Datuk langsung berdiri dan melangkah ke arah tangga. Kami menuju ke arah kereta pacuan empat roda untuk pulang ke rumah kami di sebalik gunung itu.
Glosari
ampa biji padi yang kosong
kelingkang sejenis bakul kecil seperti talam yang dianyam jarang daripada buluh untuk meletakkan barang persembahan pemujaan
mangkung tiang upacara memukul tiang rumah baharu apabila berpindah dan mendiami rumah tersebut
miring upacara menyediakan hidangan pemujaan untuk memohon sesuatu kepada dewa dan sebagainya
pedara hidangan persembahan kepada dewa dan sebagainya
ruik bunyi babi yang kelaparan, kesakitan dan sebagainya
tapai air tuak yang memabukkan
temuda kawasan bekas huma atau kebun

