
KUALA LUMPUR: redONE Network Sdn Bhd, penyedia Operator Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) terkemuka di Malaysia, mengumumkan kerjasama inovatif dengan legenda bola sepak negara Safee Sali, baru-baru ini.
Bersama-sama, mereka akan menghasilkan sebuah dokumentari menarik berjudul ‘SEPULUH’ yang bertujuan mengisahkan laluan luar biasa Safee menuju kemasyhuran dan impaknya yang berkekalan terhadap bola sepak Malaysia.
Pengumuman projek tersebut yang merupakan antara komitmen tidak berbelah bahagi syarikat untuk memupuk pembangunan sukan di Malaysia telah dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif redONE Farid Yunus.
“Menerusi sokongan terhadap penghasilan ‘SEPULUH,’ redONE berhasrat memberi inspirasi dan motivasi kepada generasi masa depan pemain bola sepak dan atlet negara,” katanya sambil melahirkan rasa bangga atas kerjasama redONE dengan Safee.
Farid berkata, kisah Safee bukan sekadar tentang kejayaannya dalam bola sepak, malah melambangkan semangat pantang menyerah rakyat Malaysia.
“Kami amat percaya pada kesan cerita sebegini dan dengan menawarkan sokongan, kami berharap dapat menyumbang kepada pengiktirafan pencapaian luar biasa dan ketabahan yang tidak berbelah bahagi ini,” katanya.
Beliau turut menekankan tentang kepentingan sokongan korporat dalam industri sukan, mengakui batasan kewangan yang dialami oleh organisasi sukan dan atlet.
“Kami yakin kerjasama dengan Safee ini akan mendorong syarikat lain untuk tampil ke hadapan dan membantu dalam kemajuan sukan, sekali gus merangsang kemajuan dan kejayaan keseluruhan pasukan dan atlet Malaysia,” katanya.
redONE telah menunjukkan komitmen yang kuat untuk memartabatkan industri sukan di Malaysia melalui pelbagai inisiatif.
Syarikat itu sebelum ini pernah menaja pelbagai acara termasuk Kejohanan Badminton Liga Ungu, menaja Skuasy Selangor, Selangor FC, Terengganu FC dan Kelantan FC.
Pada masa ini, redONE menaja Kelab Bola Sepak Sabah, Kelab Bola Sepak PDRM dan Al-Hijra, daripada pasukan pertama mereka kepada pasukan B-19 dan akademi bola sepak remaja.
Dokumentari ‘SEPULUH,’ hasil kerjasama antara Astro Arena dan Prime Sports International, adalah penghormatan kepada Safee, yang sering dirujuk sebagai 'Mokhtar Dahari' zaman moden.
Siri enam bahagian ini menampilkan temu bual dan rakaman eksklusif yang menampilkan perjalanan bola sepak Safee dan memberikan penonton cerapan tentang hari-hari awal beliau dalam sukan itu dan detik-detik penting yang mempengaruhi kerjayanya, termasuk pencapaian, cabaran dan kekecewaan.
Peminat Safee dan peminat sukan Malaysia amnya boleh menjangkakan penampilan sulung ‘SEPULUH’ di Astro Arena (Saluran 801) pada 24 November 2023, diikuti episod mingguan yang disiarkan setiap Jumaat jam 9 malam.
Dokumentari ini bertujuan untuk menjadi sumber inspirasi dan memperingati pencapaian dalam bola sepak Malaysia, mengisahkan perjalanan luar biasa seorang ikon sukan tulen.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web https://www.redone.com.my/.