

Oleh: Kho Thong Eng
NAMA Jong Chian Lai tidak asing lagi dalam kalangan pengkarya dan peminat sastera di Sarawak, malah di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau merupakan penerima S.E.A Write Awards 2006 daripada kerajaan Thailand, dan dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sarawak yang keempat pada tahun 2014. Sepanjang penglibatan dalam bidang penulisan, beliau telah merangkul banyak hadiah dan anugerah di Sarawak dan di peringkat kebangsaan.
Daripada semua karya yang dihasilkan oleh Jong Chian Lai, penulisan ini akan fokus pada novel Ah Fook yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2015. Novel tersebut telah memenangi hadiah pertama dalam Sayembara Penulisan 2 ITBM-PENA-BH pada tahun 2015.
Kelebihan Jong Chian Lai dapat dilihat daripada kebolehan beliau memberikan gambaran tentang sesuatu peristiwa secara jelas, tersusun dan teliti. Sila lihat gambaran berikut tentang kaki nenek yang berbalut.
Kaki neneknya seperti bayi yang dilahirkan cacat, seperti buku limanya. Kakinya nampak sangat jelik, seperti kuetiau goreng yang basi, terbuku di dalam mangkuk, seperti ubi keledek buruk yang cacat, seperti bayi yang keguguran di rumah lantai tanah, seperti patung putih tanpa tangan, kaki dan berkepala kecil yang kelihatan berdarah di seluruh daging itu. Jari-jemarinya merekot seperti jari-jemari kera. Bau busuknya melemaskan dan memualkannya. Dia cukup marah tentang adat kuno yang sangat menindas kaum perempuan.
Dalam petikan di atas, Jong Chian Lai terkesan banyak menggunakan simile ciptaannya sendiri, berdasarkan daya kreativiti dan imaginasi beliau. Simile yang dikemukakan bukan sahaja tepat malahan hidup, segar dan tidak stereotaip. Oleh itu, kaki nenek yang berbarut itu dibandingkan dengan kuetiau goreng yang basi, keledek buruk yang cacat, bayi yang keguguran, dan patung putih tanpa sebarang anggota sekali gus, selain dikatakan berdarah, berbau busuk dan hodoh. Gambaran secara grafik dan jelas meliputi pandangan fizikal kaki nenek yang berbalut, baunya yang “... melemaskan dan memualkannya”, malahan beliau juga memberikan pandangan yang menentang perbuatan kejam terhadap wanita Cina itu pada zaman lampau.
Sememangnya amalan membalut kaki merupakan amalan kejam terhadap wanita. Sukar kita bayangkan sakit dan peritnya wanita apabila kaki mereka menjadi cacat akibat dibalut sejak berusia empat lima tahun sampai dewasa atau seumur hidup hanya kerana mereka terpaksa tunduk dan memenuhi kerangka tradisi songsang masyarakat yang beranggapan bahawa kaki kecil itu cantik seperti “teratai emas tiga inci” (three-inch golden lotus).
Kelebihan Jong Chian Lai dalam hal penceritaan bukan sahaja berkaitan dengan manusia, malahan berkaitan dengan haiwan, benda, adat dan sebagainya. Sila lihat contoh berikut:
1. Itik berenang tenang, menyudu, menenggelamkan kepala ke dalam air. Ada ikan terperangkap dalam paruhnya. Ia mendongakkan kepalanya dan menelan anak ikan itu. Itik itu menyudu lagi dalam air sambil menonggengkan buntut dan menggeletarkan ekor.
2. Dia mengisi minyak dengan corong kecil, menuangkan spirit ke dalam bekas kecil dan mencecahkan api di situ. Dari situ api menangkap sumbu di atas. Kemudian lampu dipam sampai tanda bacaannya penuh. Kemudian memutarkan tombol supaya tekanan menaikkan minyak tanah ke sumbu putih, langsung memerangkap segugus cahaya pada sumbu daripada kain kasa. Bunyinya mendesir sepanjang malam dan terang. Ada kalanya ia perlu dipam kalau kekurangan angin atau tekanan.
3. Salmah mencuci tembuni dalam talam dengan air suam dan digaul dengan garam dan asam. Dia mencuci sebersih mungkin darah di situ. Tempurung kelapa pula dicuci dengan air, luar dan dalam. Dimasukkan uri ke dalam tempurung kelapa. Tempurung itu dibungkus dengan kain putih dan diletakkan di dalam lubang yang digali di halaman rumah, di bawah pokok pisang. Biar sejuk hidup bayi dan ibunya. Uri itu mesti ditanam di kawasan yang orang sentiasa lalu-lalang supaya anak yang bakal membesar dipermudah urusan dan mendapat rezeki yang mencurah-curah.
Uri itu diikat dengan benang merah, paku, jarum dan asam keping sekali. Barangan itu merupakan simbolik melindungi uri daripada dihurung ulat di dalam tanah. Kemudian menghidupkan bara api di permukaan tanah tempat tembuni ditanam, dipercayai mampu mengelakkan bayi mengalami kembung perut dan menangis sepanjang malam. Dia mengalaskan lubang itu dengan rumput pahit kering, diletakan elok-elok tempurung kelapa yang berisi uri anaknya. Kemudian, paku, jarum dan asam dikambus kembali. Dia mengambil bara api dengan bekas tin dan dibawanya ke tempat dia menanam uri. Dia menghidupkan bara api dengan daun kering dan ranting kayu getah.
Dalam gambaran yang berkaitan dengan itik, Jong Chian Lai menggunakan pelbagai kata kerja untuk memberikan gambaran yang hidup, seperti “berenang tenang”, “menyudu”, “menenggelamkan kepala”, “mendongakkan kepala”, “menelan anak ikan”, “menonggengkan buntut” dan “menggeletarkan ekor”. Dengan itu, kita seolah-olah berada di tepi kolam dan sedang menyaksikan aksi itik tersebut.
Dalam hal menyalakan lampu pam minyak tanah, Jong Chian Lai berjaya memberikan huraian langkah demi langkah dengan begitu teliti sehingga proses itu terpampang jelas di hadapan mata kita. Begitu juga, dalam memerihalkan penanaman tembuni, Jong Chian Lai bukan sahaja menjelaskan bahan yang digunakan dan proses yang dilalui secara terperinci, malahan turut menerangkan sebab dan adat yang berkaitan dengan hal yang berkenaan. Hal ini menjadikan para pembaca peka akan budaya hidup masyarakat setempat.
Dalam novel Ah Fook, Jong Chian Lai memberikan gambaran tentang pandangan dunia, adat resam dan kepercayaan kaum Cina pada zaman dahulu. Sila lihat contoh berikut:
1. Perempuan pembawa derita.
2. Mungkin kemiskinannya jelmaan masa kehidupan keturunan yang lalu yang sering tidak baik.
3. Dia juga perlu menghormati anjing itu kerana ia mungkin jelmaan orang baik-baik yang sudah mati. Mungkin dengan berbuat demikian, usahanya akan membawa kebaikan dan kekayaan.
4. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka menjadi milik keluarga suaminya.
5. Apabila ayah telah memulakan sentuhan pada lauk-pauk, maka ibu dan anak-anak di situ baru boleh makan. Itulah adatnya.
6. Selagi bapa mereka tidak bangkit dari meja makan, ibu dan anak-anaknya harus duduk di situ. Itu sudah menjadi adat.
7. Anaknya tidak dibenarkan mendengar perbualan orang dewasa.
8. Dia tidak boleh menegakkan tubuhnya seperti taukenya. Juga tidak boleh berdiri sejajar di sisinya. Inilah keperluan budayanya.
Gambaran di atas bukan sahaja berkaitan dengan kearifan tempatan, malahan merupakan pelukisan tentang pandangan kaum Cina pada zaman dahulu. Meskipun sikap masyarakat Cina kini mungkin sudah berubah, gambaran tersebut merupakan rakaman dan cerminan hidup warisan silam yang dapat menerbitkan kesedaran dalam jiwa generasi muda sekarang agar mereka merangka dan menentukan hala tuju hidup masing-masing secara adil dan rasional. Selain itu, pernyataan Jong Chian Lai sedemikian merupakan kritikan sosial atau rumusan beliau berdasarkan mata hati dan mata minda beliau yang tajam.
Pandangan bahawa wanita merupakan pembawa derita atau bencana berkaitan dengan kisah beberapa orang wanita Cina yang jelita pada zaman dahulu yang secara terpaksa atau dipaksa menjadi mainan beberapa orang maharaja dan raja China sehingga pemerintah negara yang berkenaan mengabaikan rakyat dan negaranya, melakukan kekejaman dan keborosan, dan akhirnya pemerintahan negara tersebut runtuh atau jatuh ke dalam tangan pihak lawan atau musuh. Namun demikian, kalau diselidiki dan direnungi, sebenarnya lelaki yang gagal mengawal nafsu syahwatnya yang patut dipersalahkan, bukan wanita lemah yang hanya menjadi mangsa keadaan. Selain itu, pandangan songsang bahawa anak perempuan yang sudah berkahwin bagaikan air yang dicurahkan keluar dan tidak akan kembali lagi juga merupakan anggapan serong sesetengah orang Cina pada zaman dahulu.
Pandangan agar kita berbuat baik kepada semua makhluk ciptaan Tuhan dan bersabar dengan nasib diri yang kurang baik berkaitan dengan kepercayaan orang Cina bahawa sesetengah manusia yang mati akan melalui proses penjelmaan semula (reincarnation) dan kembali ke dunia. Hal ini berkaitan dengan konsep karma dan balasannya. Selain itu, Jong Chian Lai turut menyentuh beberapa amalan orang Cina yang mengutamakan rasa hormat akan ibu bapa dan ketua, serta menjaga kesopanan diri. Sesungguhnya, nilai murni sedemikian patut disedari dan diamalkan dalam kehidupan seharian untuk melahirkan insan yang bersifat terpuji dan membentuk masyarakat yang harmoni.
Tuntasnya, Jong Chian Lai ada menyentuh beberapa amalan buruk yang patut ditangkis dan dicantas oleh masyarakat, dan amalan terpuji yang harus menjadi warisan bangsa secara zaman-berzaman. Jong Chian Lai juga menyentuh sifat dan sikap sesetengah manusia dalam masyarakat kita. Sila lihat contoh berikut:
1. Kebiasaannya, manusia tidak melihat lubuk emas di negara sendiri.
2. Kita semua tidak menyimpan rahsia yang sama.
3. Seperti sangat berdosa, punyai isteri dan anak tetapi masih punyai keinginan untuk menggoda perempuan lain.
4. Orang Cina yang memperkuda orang Cina. Begitu juga bangsa lain.
5. Orang kaya lebih suka menyara anjing daripada manusia yang kebuluran dan miskin.
6. Sukar benar bagi seorang lelaki meratap kalau bukan sesuatu yang sangat payah menggelepur dalam kehidupannya.
7. Dunia ini tidak percaya akan kata-kata yang benar. Kata-kata seorang pembohong lebih mudah dipercayai sesiapa sahaja.
Antara sifat manusia yang ditonjolkan oleh pernyataan di atas adalah seperti yang berikut:
i. Manusia sering lupa bersyukur atas nikmat yang sedia dinikmati, dan mendambakan keistimewaan yang menjadi milik orang lain.
ii. Sifat manusia memang berbeza, kerana “rambut sama hitam, hati lain-lain”.
iii. Manusia saling menindas demi kepentingan sendiri.
iv. Ada kalanya hidup manusia lebih terseksa berbanding dengan haiwan kesayangan manusia.
v. Hanya kesedihan yang keterlaluan dapat menjadikan lelaki yang gagah menitiskan air mata.
vi. Manis mulut dan sifat bermuka-muka lebih memikat daripada kata-kata benar yang pahit.
Jong Chian Lai juga menyajikan beberapa pandangan watak tentang hakikat hidup sebagai santapan minda untuk renungan para pembaca. Sila lihat contoh berikut:
1. Apa di dunia ini tidak mempunyai risiko.
2. Yang menjadi undang-undang di dunia ini ialah sesiapa yang sangat berkuasa yang mempunyai kuasa pemutus.
3. Perang menjadikan manusia kejam.
4. Tidak mungkin memperoleh mimpi yang sentiasa indah.
5. Kumbang yang mengunggis tahi tidak tahu itulah tahi kerana baginya ia merupakan makanan.
6. Hatinya riang. Itu yang diperlukan untuk membina kehidupan. Tidak perlu sangat menjadi kaya.
7. Kadang-kadang dia beranggapan menjadi binatang lebih baik daripada manusia.
8. Yang lalu itu pengalaman, yang terkini perubahan dan yang akan datang harapan.
9. Gunakan pengalaman untuk melakukan perubahan bagi mencapai harapan.
10. Kalau nak cari isteri, jujur jadi suami. Jangan bermanja-manja dengan isteri orang lain.
11. Kita kena ubah. Jangan biarkan orang lain ubah cara kita berfikir. Hidup kita perlu perubahan, tetapi daripada diri sendiri.
12. Orang yang berkuasa hanya mencatat perkara yang benar tentang diri mereka dan tidak benar tentang orang yang dijajah.
13. Kekayaan juga akan memusnahkan tanpa rasa hidup yang selesa dan senang, secara fizikal dan rohaniah. Apa yang diimpikannya bukan kekayaan wang ringgit tetapi kehidupan yang bebas, senang, sihat, aman dan keluarga yang baik, masyarakat yang baik dan pemerintah yang baik.
14. Budak-budak lekas menjadi kawan rapat berbanding dengan ibu bapa mereka.
15. Kemiskinan tidak memilih bangsa dan agama.
16. Orang miskin pun mahu berseronok untuk melupakan kelaparan dan kemiskinan.
17. Perang menindas secara paksa untuk merampas kuasa.
18. Peperangan cuba mengubah budaya hidup negara yang ditakluki, juga merampas segala harta dan kekayaan negara tersebut.
Dengan adanya sorotan tentang pandangan watak atau penulis dalam novel ini, para pembaca diajak dan didesak untuk membuat renungan dan keputusan sendiri tentang realiti hidup. Hal sedemikian dapat mematangkan dan mendewasakan jiwa mereka. Hal ini menepati misi sastera sebagai wahana untuk mendidik masyarakat secara halus, berseni dan tidak langsung.
Sebagai contoh, kita harus berani mendepani cabaran dan risiko jika ingin berjaya, bukan duduk bersantai dan mengharapkan bulan jatuh ke riba begitu sahaja. Kita tidak boleh terlalu bersifat naif dan sentiasa mengidamkan kesenangan tanpa berusaha gigih. Selain itu, kuasa, kekayaan, kedudukan dan pangkat cenderung disalahgunakan oleh orang yang lupa daratan walaupun itu semua hanya fatamorgana yang sementara, bukan matlamat hidup yang hakiki. Tegasnya, segala pandangan yang dikemukakan itu menyarankan agar kita membuat anjakan paradigma dan penghijrahan hati agar hidup kita menjadi lebih bermakna dan sempurna.
Tuntasnya, novel Ah Fook yang mengisahkan kehidupan watak utama, Ah Fook, yang bergelut dengan kemiskinan dan penderitaan hidup bersama-sama keluarganya merupakan bahan bacaan yang berkualiti daripada segi bahasanya, penceritaannya dan kedalaman pemikirannya.

