Anda di sini

105 mahasiswa golongan asnaf, B40 terima bantuan YBR

Advertisement
 Madius (dua kiri) menerima cendera kenangan daripada Philip.
PENGHARGAAN: Madius (dua kiri) menerima cendera kenangan daripada Philip.

TUARAN: Seramai 105 mahasiswa dalam kalangan keluarga asnaf dan B40 menerima sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR), di sini, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, inisiatif YBR membantu mahasiswa daripada golongan kurang bernasib baik perlu dicontohi oleh agensi, syarikat korporat dan pertubuhan lain di negeri ini.

Katanya, bantuan itu dilihat dapat memberi dorongan kepada mahasiswa untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik dan secara tidak langsung mampu meningkatkan sosio ekonomi mereka.

“Saya berharap usaha ini dapat diteruskan kerana masih ramai lagi mahasiswa yang memerlukan bantuan terutamanya sebagai persediaan dalam memulakan atau menyambung pengajian sedia ada.

“Bantuan diberikan itu juga dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh keluarga di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan dan menyerahkan bantuan YBR kepada seramai 105 mahasiswa di Dewan Jubli Emas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, di sini.

Turut hadir, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang dan Ketua Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin.

Sementara itu, Philip berkata, bantuan tunai itu adalah inisiatif bagi mengurangkan bebanan keluarga mahasiswa yang memerlukan.

Menurutnya, objektif bantuan ini adalah untuk menyediakan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang layak sebagai perbelanjaan bagi memulakan semester pengajian tinggi mereka.

“Selain itu, ia juga dapat menyediakan peralatan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian mahasiswa yang berada di menara gading,” katanya.

Katanya, kos sara hidup kini semakin meningkat akibat daripada kemelesetan ekonomi terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Bagi meneruskan usaha dalam menyediakan golongan muda akses pendidikan berkualiti, inisiatif ini diharapkan dapat membantu lebih ramai lagi mahasiswa yang tinggal di luar bandar.

“Kita mahukan mereka turut meneruskan pengajian ke peringkat pengajian tertinggi dan seterusnya menjadi insan harapan serta mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penerima, Nur Adila Awang Tahir @ Julailan, 20, berkata, bantuan ini sangat bermakna bagi memulakan semester yang baharu sahaja bermula.

Selain itu, Aliyah Allisyah Azmin, 20, pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut berkata, bantuan ini juga dapat digunakan untuk membeli buku rujukan bagi subjek yang diduduki untuk semester yang terbaru.

  • oleh
  • Advertisement