Anda di sini

Cadangan bina rangkaian rel di Borneo dialu-alukan: Abdul Karim

Advertisement
Abdul Karim semasa berucap mewakili Abang Johari pada malam festival berkenaan. -Gambar Chimon Upon.
Abdul Karim semasa berucap mewakili Abang Johari pada malam festival berkenaan. -Gambar Chimon Upon

KUCHING: Cadangan pembinaan rangkaian rel di Borneo oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini amat dialu-alukan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, sekiranya memberi impak yang baik, tiada masalah untuk mewujudkan rel iaitu landasan kereta api tersebut.

"Baiklah, apa sahaja yang baik untuk pembangunan negeri, ia amat dialu-alukan (pelaksanaannya).

"Saya juga ada membaca berkenaan komen oleh Anthony Loke dalam akhbar di mana beliau menyebut bahawa kementerian akan meneliti perkara ini.

"Kereta api ini digunakan di seluruh dunia di mana ia pengangkutan berat yang membawa sumber, mineral dan perkara-perkara seperti itu. 

"Borneo terutamanya di Kalimantan, Sarawak dan Sabah, kita masih dalam proses pembangunan dan terdapat banyak mineral termasuk kelapa sawit dan banyak lagi yang perlu diangkut (menggunakan kereta api)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada malam gala Festival Borneo Opera di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, malam Khamis. 

Mengenai kebaikan dari segi pelancongan, Abdul Karim menjelaskan, beliau tidak melihat ke arah itu.

"Kita perlu melihat rangkaian rel ini dibina atas tujuan tertentu dan apa yang saya baca, ia lebih kepada pengangkutan mineral dan sumber.

"Namun, kita tidak tahu sekiranya ia menjadi realiti, kira juga boleh melihat cadangan itu sebagai mod pengangkutan untuk orang awam.

"Namun, buat masa ini seperti yang saya lihat, sekiranya ada keperluan untuk kereta api, ia lebih kepada pengangkutan barang dan sumber," ujarnya.

Pada Selasa, Anthony Loke mengumumkan satu kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan bagi mengukur daya maju sistem rel di Borneo.

Katanya, kajian itu bagi melihat impak daripada pelaksanaan pembangunan kereta api di Sabah dan Sarawak dari segi sosial dan ekonomi setempat.

"Kita di peringkat Kementerian Pengangkutan ada memohon peruntukan itu. 

"Kita menerima permintaan dan cadangan daripada kerajaan Sarawak terutamanya menghubungkan pelaburan-pelaburan di persisiran pantai dan penempatan ibu kota baharu Indonesia di Kalimatan.

"Justeru kerajaan Sarawak mahu melihat sama ada ia membawa potensi pada masa depan untuk melaksanakan satu sistem rel di Borneo," katanya.

Terdahulu, Abdul Karim mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan malam gala Festival Borneo Opera di Dewan Santapan, DUN di sini, malam tadi. 
 

  • oleh
  • Advertisement