Anda di sini

Delegasi kerajaan negeri Selangor rasai sendiri bas hidrogen, ART

Advertisement
Ng (sepuluh kiri) bersama Zafrin, Tiong (masing-masing kesembilan & ke-11 kiri) serta perwakilan lain dari Selangor merakamkan gambar kenangan di hadapan kenderaan prototaip ART.
Ng (sepuluh kiri) bersama Zafrin, Tiong (masing-masing kesembilan & ke-11 kiri) serta perwakilan lain dari Selangor merakamkan gambar kenangan di hadapan kenderaan prototaip ART.

KUCHING: Delegasi kerajaan negeri Selangor merasai sendiri gambaran masa depan pengangkutan awam di Sarawak apabila mereka ikut serta sesi uji pandu kenderaan sel bahan api hidrogen pelepasan sifar di sini, pada Isnin.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor bagi Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han yang mengetuai delegasi itu berpeluang menaiki kedua-dua bas hidrogen dan prototaip kenderaan hidrogen Autonomous Rapid Transit (ART).

Sesi uji pandu kenderaan ART itu diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) dan EMG JV Sdn Bhd, kontraktor utama bagi Pakej Sistem 1 Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Bersedia mengalu-alukan Ng dan delegasinya ialah Pegawai Tadbir MOTS Ir Tiong King Wei, Pengarah Projek Sarawak Metro Zafrin Zakariah berserta pengurusan MOTS, Sarawak Metro dan EMG JV.

Terdahulu sebelum menaiki kenderaan tersebut, mereka diberi taklimat mengenai projek KUTS serta latihan Kejuruteraan dan Peringkat 2 latihan bukti konsep (POC) di Menara SEDC.

Semasa sesi uji pandu di laluan Larian Kejuruteraan di Jalan Keruing di Isthmus, pengunjung juga berpeluang melihat sendiri operasi ART.

Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) telah diamanahkan untuk melaksanakan, mengendali dan menyelenggara Projek KUTS.

Projek KUTS yang sedang dibangunkan secara berperingkat itu bertujuan untuk memodenkan sistem pengangkutan awam serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuching.

Tulang belakang projek adalah ART, yang akan disokong oleh rangkaian bas pengantara. 

Penggunaan hidrogen bagi menggerakkan kenderaan pengangkutan awam untuk KUTS juga selaras dengan aspirasi Sarawak iaitu memajukan ekonomi hidrogen, dan ke arah menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

Fasa 1 Projek KUTS menyaksikan pembangunan tiga laluan – Biru, Merah dan Hijau serta dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat, mulai suku keempat 2025.

Laluan Biru, meliputi jarak 27.5 kilometer (km), adalah dari Rembus di Kota Samarahan ke pusat bandar Kuching; Laluan Merah (12.3km) adalah dari Kuching Sentral ke Pending; dan Laluan Hijau (30km) dari Pending ke Damai Central.

Kenderaan ART akan dikendalikan di lorong khusus, sama ada pada gred (paras jalan) atau bertingkat dan tidak akan berkongsi jalan dengan pengguna jalan raya lain.
 

Advertisement