Anda di sini

MACEE Homecoming Gala 2023 rai 60 tahun program pertukaran akademik Malaysia-AS

Advertisement
(Dari kiri) Azlinda, Johnson dan Bhalla meraikan majlis MACEE Homecoming Gala 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
(Dari kiri) Azlinda, Johnson dan Bhalla meraikan majlis MACEE Homecoming Gala 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) telah mengadakan MACEE Homecoming Gala 2023 di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Acara besar ini menandakan sambutan ulang tahun ke-60 MACEE dan berfungsi sebagai kemuncak sambutan selama setahun dengan menekankan hubungan kekal antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang dipupuk melalui program pertukaran akademik Fulbright.

Menurut Kuasa Usaha (Charge d’Affaires) Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Manu Bhalla, Amerika Syarikat (AS) berharap dapat memupuk perkongsian pendidikan tinggi yang lebih mantap dengan Malaysia pada tahun-tahun akan datang, terutamanya melalui Program Fulbright yang berprestij.

Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia Prof Dr Azlinda Azman pula berkata Program Fulbright yang diuruskan MACEE berpotensi menjadi pemacu utama kepada cita-cita Malaysia dalam bidang pendidikan digital dalam pengajian tinggi.

Majlis MACEE Homecoming Gala 2023 diraikan dengan meriah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Majlis MACEE Homecoming Gala 2023 diraikan dengan meriah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia juga dapat memainkan peranan penting dalam mengemudi usaha penyelidikan kolaboratif ke arah teknologi dan inovasi.

“Dengan menerapkan pendekatan ini secara aktif, MACEE berpendirian untuk memberikan sumbangan besar kepada matlamat menyeluruh Malaysia untuk memperluaskan kebolehcapaian pendidikan, meningkatkan kualiti pendidikan dan melengkapkan tenaga kerjanya untuk era digital.

“Dengan berbuat demikian, ia akan mengukuhkan lagi perkongsian dan kerjasama antarabangsa dalam landskap pendidikan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MACEE Curtis Johnson berkata majlis tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan 60 tahun Program Fulbright di Malaysia tetapi juga mengiktiraf perjanjian yang telah memudahkan pembangunan diplomasi pendidikan. 

Beliau menggesa semua orang untuk terus mempromosikan prinsip pendidikan, komunikasi silang budaya dan kerjasama global yang dijelmakan oleh MACEE.

Pada majlis sama sebanyak 13 Memorandum Persefahaman (MOU) yang menekankan kepada inisiatif kerjasama masa depan turut ditandatangani.

Menurut laman web MACEE, sejak penubuhannya, lebih 1,000 rakyat Malaysia telah dihantar ke AS di bawah Program Fulbright. Selain itu, lebih 2,000 penerima geran AS telah menyertai program tersebut di Malaysia.
 

Advertisement