Anda di sini

Sarawak Metro, SAINS, SNT bangun sistem teknologi kewangan bagi projek KUTS

Advertisement
Busiai dan Mazli (masing-masing enam dan lapan  kanan) bertukar dokumen MoU sambil disaksikan Abang Johari. Chin berdiri di sebelah Mazli.
Busiai dan Mazli (masing-masing enam dan lapan kanan) bertukar dokumen MoU sambil disaksikan Abang Johari. Chin berdiri di sebelah Mazli.

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro), Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) dan Siliconnet Technologies Sdn Bhd (SNT) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mewujudkan kerjasama dalam pembangunan sistem teknologi kewangan bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Menurut satu kenyataan hari ini, MoU itu adalah untuk kerjasama pembangunan Sistem Kutipan Tambang Automatik (AFC) dan sistem teknologi kewangan lain yang berkaitan untuk projek KUTS.

Majlis menandatangani MoU yang menandakan komitmen negeri ke arah memodenkan sektor pengangkutan awam itu disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa pembukaan Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) Ke-27 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) Ke-6 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Mazli Mustaffa menandatangani bagi pihak Sarawak Metro manakala SAINS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Busiai Seman dan SNT oleh Pengurus Besarnya Chin Zan Kiun.

Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), telah diamanahkan oleh Kerajaan Sarawak untuk membangunkan, menyelenggara dan mengendalikan projek KUTS.

Projek yang melibatkan pengenalan kenderaan sifar pelepasan itu bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya Kuching.

Projek KUTS akan dibangunkan secara berperingkat dengan Fasa 1 akan menyaksikan pembangunan tiga laluan iaitu Blue Line (dari Rembus di Kota Samarahan ke Kuching), Red Line (dari Kuching Sentral ke Pending) dan Green Line (dari Pending ke Damai Central).

Ketiga-tiga laluan itu, dengan jarak keseluruhan 70 kilometer, dijadualkan beroperasi secara berperingkat bermula dari penghujung 2025 hingga 2027. 

Penggunaan pengangkutan utama dalam projek ini ialah Autonomous Rapid Transit (ART) dan disokong oleh rangkaian bas pengantara.

Semua kenderaan itu akan dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen, sebagai menyokong usaha kerajaan untuk menyahkarbon pengangkutan awam dan memajukan ekonomi hidrogen.

Pada masa ini, kontraktor utama Sarawak Metro untuk System Package Contract 1- EMG JV Sdn Bhd, sedang menyelaraskan latihan kejuruteraan dan Tahap 2 bagi latihan Proof-of-Concept (POC) untuk unit prototaip ART yang telah bermula pada 4 September.

Latihan kejuruteraan itu diadakan selama dua bulan dan akan berakhir pada Oktober, dan laluan itu adalah satu gelung di sepanjang Jalan Keruing yang melepasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Peringkat 2 latihan POC akan dijalankan pada bulan November bagi mengumpul data untuk menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir kenderaan ART.

SAINS, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, ialah penyepadu sistem ICT yang terkemuka dan penyedia penyelesaian di negeri ini manakala SNT ialah anak syarikat milik penuh SAINS. 

SNT ialah operator S Pay Global (juga dikenali sebagai Sarawak Pay).

S Pay Global ialah platform aplikasi mudah alih fintech kerajaan yang menyediakan fungsi e-dompet mudah dan selamat.
 

Advertisement