Anda di sini

Novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga: Antara Kritikan Sosial dan Ekspresi Budaya

Advertisement
 
 

Oleh: Abang Median Abang Said

PENDAHULUAN

Jong Chian Lai ialah penulis berbangsa Cina di Malaysia yang paling menonjol dalam sastera Melayu pada masa kini, khususnya dalam genre penulisan novel. Novel-novel Jong Chian Lai memberikan gambaran jelas tentang kehidupan etnik peribumi di Sarawak dan budayanya, iaitu masyarakat Iban dan Penan. Lebih istimewa, persoalan tentang etnik peribumi Sarawak ini diamati daripada kaca mata penulis berbangsa Cina sehingga menampakkan pertembungan pemikiran dan budaya namun diselesaikan dengan kebijakan pengarang yang mengangkat tentang perpaduan. 

     Seseorang pengarang mempunyai tujuan dalam penghasilan karyanya dan menggerakkan cerita melalui imej masyarakat yang mempunyai kepelbagaian kehidupan masyarakat itu sendiri. Karya yang dihasilkan bukan hanya merujuk kepada deskripsi tentang pandangan daripada mata kasar, tetapi turut menyelitkan pemikiran, gagasan, nilai dan perasaan pengarang itu sendiri (Sohaimi Abdul Aziz, 2011). Pengarang tidak menulis dengan hanya bersandarkan kepada imaginasi tetapi turut menonjolkan realiti kehidupan masyarakat termasuk menyelitkan elemen kebudayaan dalam naratif karyanya. 

     Novel-novel Jong Chian Lai sentiasa menjadikan persekitaran sebagai pencetus idea, pembentukan subjek, penyuguhan pemikiran, konflik dan persoalan-persoalan dalam penulisannya termasuk dalam novel Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (selepas ini hanya ditulis GLHNT). Elemen budaya dalam realiti kehidupan etnik Sarawak telah menjadi asas penghasilan karya yang menganjak konflik antara watak yang dibina. Lustig dan Koester (2003) menjelaskan bahawa konflik budaya melibatkan tiga komponen utama dalam setiap corak budaya, iaitu kepercayaan, nilai dan norma dalam masyarakat termasuk pertentangan budaya dan pemikiran watak yang menggerakkan plot novel berkenaan. 

     Dalam berkarya, pengarang menulis dengan menggunakan pengalamannya sendiri berdasarkan pembacaan, pemerhatian, pengamatan atau peristiwa yang dilaluinya secara langsung. Lantaran itu seseorang pengarang cuba mempersembahkan karya-karyanya sebagai cerminan kesedaran sebagai salah seorang daripada anggota sosial dalam kelompok masyarakat (Goldman, 1980) yang akan dianalisis dari aspek kritikan dan elemen budaya bagi memperlihatkan keadaan sosiomasyarakat, sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya. 

Analisis Persoalan Kehidupan dalam Novel GLHNT

Kritikan dan persoalan kehidupan dalam novel ini merujuk kepada nilai dan norma yang berlaku dalam masyarakat yang mencakupi pelbagai aspek. Isu yang diketengahkan merupakan implikasi sosial yang turut mencakupi pemikiran, norma dan nilai budaya dalam lingkungan kehidupan watak yang ditonjolkan melalui empat aspek kritikan sosial yang utama, iaitu kritikan sosioekonomi, sosiomasyarakat, sosiopolitik dan sosiobudaya.

Kritikan Aspek Sosioekonomi 

Novel GLHNT memang jelas mengutarakan persoalan sosioekonomi yang turut merupakan kritikan sosial kepada masyarakat. Aspek yang kerap ditampilkan ialah tentang pembalakan dan implikasi terhadap masyarakat setempat yang turut mencapah kepada aspek norma dan nilai dalam kehidupan. Pengarang melihat persoalan ekonomi ini yang dikaitkannya dengan penerimaan dan realiti sosioekonomi masyarakat luar bandar itu sendiri. Kegiatan pembalakan ini diungkapkan dengan ketara dalam novel GLHNT. Tauke Yap telah mengadakan perbincangan dengan masyarakat rumah panjang untuk mendapatkan persetujuan menjalankan kegiatan pembalakan. Tauke berkenaan telah menjadikan Poling, iaitu seorang pemuda berbangsa Iban sebagai orang perantaraan untuk membantunya memujuk masyarakat Iban di Nanga Tiga. Watak Poling itu sendiri merupakan sebuah kritikan tentang sikap masyarakat peribumi yang mudah diperkotak-katikkan demi kepentingan peribadi terutama melibatkan wang ringgit. 

     Pengarang peka untuk melontarkan kritikan sosial dari aspek sosioekonomi masyarakat yang terpinggir daripada arus pembangunan dengan menghadirkan subjek penindasan yang menonjolkan kepincangan dalam tadbir urus dan tatakelola sumber kekayaan bumi. Situasi ini telah menyebabkan kemunduran ekonomi yang sering menghambat kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman terutama di Sarawak. Penindasan terhadap etnik peribumi oleh golongan kapitalis ditonjolkan melalui pengeksploitasian dan pemanipulasian seperti melalui watak Tauke Yap yang melakukan pembalakan haram di Nanga Tiga. Pembalakan yang merupakan kegiatan ekonomi yang memberikan pulangan yang besar kepada negara sepatutnya mampu melonjakkan taraf ekonomi masyarakat setempat. Jikalau pembalakan itu dijalankan dengan lesen yang sah, pastinya kutipan cukai daripada industri tersebut mampu dimanfaatkan kepada masyarakat kebanyakan. 

     Pengarang sengaja menampilkan watak Jabau untuk menunjukkan persepsi yang berlawanan dengan menentang ketua rumah panjang sehingga dilabel sebagai penentang pembangunan. Watak Jabau sebenarnya merupakan suara pengarang yang bimbang terhadap dampak negatif dalam aspek ekonomi hasil pengeksploitasian yang lebih memikirkan kocek atau kantung sendiri. Sebagai watak bulat, Jabau bertukar daripada watak protagonis menjadi watak antagonis tatkala sanggup menentang ketua rumah panjang kerana dia tidak mahu kawasan pedalaman itu terus dirompak kekayaannya hingga masyarakat terus terperosok dalam kemiskinan.  

     Menerusi novel GLHNT, pengarang banyak juga menonjolkan faktor sosioekonomi melalui urusan jual beli barangan yang dilakukan oleh penduduk tempatan kepada peniaga Cina. Umpamanya sebelum berburu, Atot sudah memasang hasrat untuk menjual daging babi hutan kepada Tauke Leong. Hutan ini juga kaya dengan alam flora. Hutan inilah yang hendak dibalak Tauke Yap kerana hutan ini kaya dengan pokok-pokok berharga. Selain menjual daging binatang hasil buruan di hutan, penduduk di Nanga Tiga seperti Kasau juga memanfaatkan paruh burung kenyalang untuk dibuat ukiran. Hasil kraftangan itu dijual kepada Tauke Song Lee. Tentunya kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh masyarakat setempat di Nanga Tiga akan terjejas jikalau pembalakan haram terus dilakukan secara berleluasa. Kritikan sosial yang cuba digarap oleh pengarang ialah tentang kebergantungan masyarakat tempatan terhadap orang tengah dalam mengatur corak ekonomi dan kehidupan mereka. 

     Kebergantungan masyarakat sehingga sentiasa menjadi pengguna dan pembeli turut mendapat sorotan pengarang biarpun ditulis secara minimum. Masyarakat tempatan tidak mempunyai mentaliti menjadi peniaga. Dalam GLHNT, Jabau digambarkan singgah minum di Kedai Kopi Ah Seng setelah membuat laporan di balai polis tentang kegiatan pembalakan haram. Semua ini menunjukkan kebergantungan masyarakat peribumi yang tidak mengambil ruang dan peluang untuk berniaga biarpun mengetahui pasaran dan sambutan yang akan diperoleh. Selain itu, tauke-tauke Cina dijadikan tempat untuk masyarakat tempatan berhutang barangan keperluan harian seperti gula, garam dan kopi sehingga mereka mendapatkan wang daripada hasil jualan tanaman. Semua ini merupakan kritikan sosial tentang kebergantungan masyarakat tempatan dari aspek ekonomi. 

     Dalam GLHNT juga pengarang menghadirkan realiti tentang latar ekonomi masyarakat di kawasan pedalaman. Pengarang menghadirkan perjuangan masyarakat subaltern melalui watak Jabau yang teguh mempertahankan warisan tradisi nenek moyang daripada diceroboh. Walaupun perjuangan Jabau menemui kegagalan namun usahanya dapat menyedarkan penduduk Nanga Tiga tentang kesan pembalakan yang turut bersangkutan dengan sumber ekonomi masyarakat. Secara rangkumannya, GLHNT merupakan manifestasi sikap prihatin dan kepekaan pengarang terhadap masyarakat terpinggir yang menjadi sasaran pengeksploitasian. 

     Sebagai sebuah karya realisme, pengarang menggambarkan kehidupan masyarakat secara jelas dan memberi pendedahan terhadap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian. Mana Sikana (2006) menjelaskan bahawa aliran realisme ini memfokuskan perjuangan masyarakat dan sastera dijadikan alat untuk mencapai matlamat dan menuntut pengarang melakukan protes sosial melalui karya. Secara keseluruhannya, pengarang ingin memberikan kesedaran kepada pembaca bahawa pembangunan tanpa perancangan mapan akan menjejaskan kehidupan masyarakat. Pengarang ingin mengkritik sikap pemimpin melalui watak Apai Icut yang lebih mementingkan imbalan peribadi daripada membela nasib masyarakat yang memilihnya sebagai wakil mereka. Pengarang mahu menyedarkan pihak-pihak tertentu mengenai penderitaan yang masih berleluasa dalam masyarakat sedangkan negara berada pada landasan untuk menjadi negara maju. Mereka digambarkan masih belum menerima kemudahan asas seperti elektrik, air bersih, jalan raya, pusat kesihatan dan menjalankan pekerjaan tradisi. Kesan daripada penerokaan hutan menyebabkan masyarakat peribumi di Sarawak bukan sahaja kehilangan sumber pencarian, tetapi telah terdedah kepada pelbagai ancaman dari aspek kesihatan dan keselamatan. 

Kritikan Aspek Sosiomasyarakat 

Novel GLHNT turut menyerlahkan aspek sosiomasyarakat tentang hubungan antara kaum dan perpaduan dalam negara. Secara umumnya, pembangunan yang ingin digapai adalah pembangunan yang seimbang lantas menggasir segala ketidakpuasan hati masyarakat untuk mengentalkan semangat perpaduan. Kejayaan pembangunan disukat daripada peningkatan peluang masyarakat untuk mempertahankan dan seterusnya meningkatkan mutu kehidupan, kemudahan, laluan untuk pencapaian peluang dan penguatan penyertaannya dalam semua program dan projek (Fashbir Noor Sidin dan Mohd. Razali Agus, 2000). Pembangunan yang difokuskan dalam novel GLHNT adalah pembangunan fizikal. Pengarang melihat pembangunan dilakukan secara tidak seimbang – tidak kira antara kawasan bandar dan luar bandar yang turut mencapah kepada agihan antara kaum. Masyarakat di luar bandar masih tidak menikmati pembangunan sebagaimana yang dinikmati oleh masyarakat di kota dan bandar. Sebagai pemerhati yang peka, pengarang mahu menjadi perakam yang jujur dengan isu dan suasana. Pengarang melihat pembangunan negara telah mengancam kesejahteraan sebahagian masyarakat di luar bandar. Novel GLHNT membangkitkan isu pembangunan negara menyebabkan masyarakat luar bandar terpaksa atau dipaksa menyerahkan tanah mereka untuk menjayakan projek pembangunan seperti pembinaan lebuh raya, jalan raya, perumahan dan pembandaran. Mereka digambarkan kehilangan sumber pencarian, keselamatan dan kesihatan pula telah terjejas. 

     Novel ini juga menggambarkan masyarakat di Nanga Tiga yang semuanya buta huruf sehingga mudah ditipu oleh individu yang berniat jahat seperti Tauke Yap. Antara kritikan yang ingin disampaikan oleh pengarang ialah tentang pembangunan pendidikan. Masalah prasarana dan masalah perhubungan telah menyebabkan masyarakat di luar bandar terus ketinggalan dari aspek pendidikan. Jikalau dinilai dari sudut pendidikan moden, masyarakat di luar bandar jugalah yang menghadapi masalah untuk mendapai capaian Internet. Perkara ini sudah dibayangkan oleh pengarang sejak tahun 1986 lagi, iaitu apabila novel itu ditulis dan diterbitkan. 

Kritikan dalam Aspek Sosiopolitik dan Ekspresi Budaya

Novel GLHNT turut menonjolkan perihal kepimpinan, iaitu watak tuai rumah yang menjadi pemimpin kepada masyarakatnya. Pemimpin yang dimaksudkan ialah orang yang memimpin sesuatu kumpulan individu atau masyarakat menuju kepada satu matlamat yang tertentu (Che Abdullah Che Ya, 2016). 

     Dalam GLHNT, ketua masyarakat di rumah panjang, iaitu Apai Icut memainkan peranan yang penting dalam memulakan perhubungan dengan tauke balak. Tentunya usaha tauke balak itu untuk melakukan pembalakan akan menemui kegagalan jikalau jiwa dan pemikiran Apai Icut tidak dikuasai terlebih dahulu. Rancangan pembalakan oleh Tauke Yap akhirnya mendapat persetujuan majoriti penghuni rumah panjang dengan begitu pantas disebabkan pengaruh tuai rumah di kawasan berkenaan yang sudah dijanjikan dengan kemewahan. 

     Novel ini juga mengetengahkan pemimpin yang bertindak atas kepentingan peribadi sehingga meminggirkan kepentingan sosial. Apai Icut telah bersubahat dengan Tauke Yap untuk menipu anak buahnya sehingga hutan tempat tinggal mereka tergadai kepada Tauke Yap tanpa disedari melalui pembalakan haram yang dijalankan. Penipuan yang dilakukan oleh golongan pemimpin seperti Apai Icut akan memungkinkan tanah hutan di Nanga Tiga tergadai ke tangan Tauke Yap. Kegagalan corak kepimpinan yang ditunjukkan oleh Apai Icut menyebabkan berlakunya konflik antara etnik Iban dan etnik Cina dalam novel ini. Ketamakan Apai Icut menyebabkan dia lupa peranannya sebagai pemimpin dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat rumah panjang. Kelemahan corak kepimpinan ini menyebabkan ketegangan berlaku yang membawa kepada pembunuhan Tauke Yap.  

     Antara elemen budaya yang cuba diterapkan oleh pengarang dalam novel ini ialah tentang budaya menyambut tetamu dengan adat ngirup, iaitu menjamu tetamu dengan air tuak. Benedict Sandin (1976:42) menyatakan bahawa etnik Iban sangat menghormati pelawat yang akan dipelawa naik ke rumah untuk makan dan minum. Apatah lagi kehadiran Tauke Yap diiringi oleh pengaruh kuat tuai rumah yang mencanangkan kebaikan Tauke Yap yang dikatakan akan membantu mereka mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

     Selain itu, dimasukkan juga tentang tarian ngajat. Tauke Yap menghadapi masalah untuk menari ngajat tatkala dia keberatan untuk melakukannya. Pengarang cuba menunjukkan tentang masyarakat luar yang kadangkala tidak memahami budaya masyarakat setempat. Cuma, Tauke Yap akhirnya terpaksa menari tarian ngajat setelah diperingatkan oleh Poling. Tindakannya itu sangat perlu untuk mengambil hati masyarakat rumah panjang yang berkaitan dengan aktiviti pembalakan yang akan dijalankan.

     Kritikan sosiobudaya yang cuba diheret oleh pengarang ialah ketidakfahaman masyarakat luar tentang cara hidup masyarakat peribumi dan kepentingan hutan kepada mereka. Masyarakat Iban tidak melihat hutan itu dari aspek ekonomi semata-mata tetapi juga menjurus kepada kelangsungan kehidupan terutama untuk generasi akan datang. Malah Jong Chian Lai telah mengaitkan hutan dengan sejarah dan perjalanan kehidupan masyarakat Iban terutama sewaktu mula-mula mendirikan petempatan. Diceritakan dalam novel ini bagaimana bapa kepada Apai Icut – Apai Pengarah Garang – yang telah terkorban akibat tertembak oleh peluru senapang musuh kerana mempertahankan hak terhadap tanah Nanga Tiga dalam peperangan. Tauke Yap sepatutnya memahami bahawa bukan mudah tanah yang diperjuangkan dengan air mata dan darah itu diserahkan begitu sahaja. Ironinya, Apai Icut juga tidak menghayati perjuangan dan pengorbanan bapanya dahulu disebabkan rabun apabila dijanjikan dengan kemewahan. 

     Masyarakat Iban yang digambarkan dalam novel ini juga memanfaatkan pelbagai jenis flora dan fauna, serta benda-benda bukan hidup dan segala macam unsur alam yang lain seperti bunyi-bunyian hidupan hutan, kilat, guruh dan hujan sebagai simbol yang membawa erti dalam kehidupan seharian mereka (Hanina H. Hamsan dan Asnarulkhadi Abu Samah, 2008). Pengertian makna yang ditunjukkan oleh haiwan-haiwan seperti melalui burung helang yang tiba-tiba terbang dengan riuhnya kerana takutkan sesuatu menunjukkan tanda-tanda yang tidak baik. Begitu juga dengan burung ketupung yang bersiul sebanyak dua kali sehingga menghantar makna yang tersendiri. Semua itu menunjukkan tentang makna hutan kepada masyarakat Iban yang tinggal di kawasan berkenaan. 

     Selain itu, keengganan tuai rumah panjang menghentikan pembalakan di kawasan mereka juga dikatakan menjadi punca kemarahan penunggu hutan. Sekalipun upacara miring telah dilakukan agar perkara tersebut tidak berlaku, Atot telah menjadi mangsa apabila dihempap batang balak yang tumbang. Jabau beranggapan bahawa kejadian tersebut menjadi petunjuk bahawa perjuangannya mempertahankan kehijauan hutan turut direstui oleh tuhan (Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga, 1986:113). 

     Pengarang memperlihatkan juga pertembungan persepsi antara masyarakat tempatan dengan masyarakat luar yang hadir ke Nanga Tiga. Bagi etnik Iban, mereka berburu binatang, mencari rotan dan mencari buah-buahan bukan hanya untuk meneruskan kelangsungan hidup, malah hutan menjadi simbol budaya dan bersemadinya leluhur mereka. Nicolaisen menyatakan kekagumannya tatkala masyarakat setempat menjadikan hutan sebagai elemen penting dalam pembinaan identiti bangsa. Bagi Tauke Yap pula, segala usaha itu tidak memungkinkan masyarakat di kawasan berkenaan hidup mewah. Perspektif yang berbeza inilah menjadi konflik yang meruncing antara watak Jabau dan Tauke Yap. Tindakan Jabau yang membunuh Tauke Yap disebabkan anggapannya bahawa itulah sahaja jalan yang ada untuk menghentikan pembalakan yang mengancam kehidupan masyarakat Iban. Tragedi tersebut dapat dielakkan jikalau kedua-dua watak tersebut mempunyai pemahaman tentang budaya, corak pemikiran dan perspektif hidup masing-masing. Di sinilah pengarang cuba mengangkat perspektif perpaduan yang perlu didukung dalam kehidupan yang melibatkan ekonomi, sosial, politik dan kebudayaan. 

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Jong Chian Lai menyampaikan pelbagai isu dan permasalahan masyarakat di kawasan pedalaman dalam novel GLHNT. Segala isu masyarakat dari aspek ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan dikupas dengan mendalam serta berkesan. Isu-isu yang digarap ini merupakan fakta dan idea daripada persekitaran, pengalaman, pemerhatian, pembacaan dan pengkajian. Sehubungan itu, novel-novelnya sarat dengan idea, fakta dan pemikiran yang berat lantas mendorong pembaca berfikir tentang apa yang ingin disampaikan. Pengarang melakukan kritikan terhadap permasalahan-permasalahan tersebut sebagai manifestasi terhadap pengalaman, pemerhatian dan media massa yang kerap memaparkan pelbagai perkara dan peristiwa yang berlaku dalam masyarakat. 

Rujukan

Abdul Halim Ali, 2011. Pengantar Teori & Kritikan Sastera: Barat dan Malaysia. Selangor: Persatuan Penulis Budiman Malaysia.

Abu Bakar Abdul Majeed dan Abu Bakar Yang, 2000. Pengurusan Bijak Alam Sekitar. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). 

Azhar Haji Wahid. “Ingin Jadi Pujangga: Tanggapan Kritikan Sosial Kemasyarakatan” dlm. Azhar Abd Majid, 2013. Kritikan Intelektualisme Sastera Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Benedict Sandin, 1976. Iban Way of Life. Kuching: Borneo Literature Bureau.

Jong Chian Lai, 1986. Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd. Mansur Abdullah. “Nilai Kemiskinan dan Kesederhanaan dalam Novel-novel Shahnon” dlm. Siti Aisah Murad (penyelenggara), 1996. Konsep Nilai dalam Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.      

Talib Samat, 2010. Isu-isu Terpilih dalam Nazrah Perkembangan Novel Melayu Terkini. Tanjong Malim: Penerbit Emeritus Publications.

 
 
Advertisement