
PENAMPANG: Pasukan Rumah Merah meraih 18 pingat emas, 15 perak dan enam gangsa seterusnya merangkul juara Kejohanan Padang Dan Balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin 2023.
Rumah Merah bagaimanapun berkerja keras sebelum bergelar juara terutama dengan cabaran sengit yang dihadirkan Rumah Biru semasa kejohanan di padang sekolah itu baru-baru ini.
Pasukan itu meraih juara hanya dengan kelebihan satu pingat emas dan lima perak kepada Rumah Biru yang terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara melalui pencapaian 17 pingat emas, 10 perak dan 15 gangsa.
Tempat ketiga dimenangi Rumah Kuning dengan pungutan 10 emas, 13 perak dan 20 gangsa.
Gelaran Olahragawan Terbaik dinobatkan kepada Fanz Xavier Fancy Sami dari Rumah Biru dengan pencapaian cemerlang meraih lima pingat emas menerusi acara 100m, 200m, 400m, 4x100m dan 4x400m.
Gelaran Olahragawati Terbaik pula dirangkul atlet Rumah Merah, Marysha Asyera Anak Ambrose Canon yang cemerlang dengan pencapaian lima emas menerusi acara 100m, 200m, 400m, 4x100m dan 4x400m.
Kejohanan dirasmikan pengetua sekolah SMK Datuk Peter Mojuntin, M Rahim Md Lair yang menyempurnakan majlis penutupan serta penyampaian hadiah selepas kejohanan selesai.