
KOTA KINABALU: Pengusaha industri kecil dan sederhana khususnya dalam sektor kesihatan dan kesejahtaraan digalakkan untuk menyertai International Wholistic Wellness Conference and Expo (IWWCE) 2024.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, para peserta boleh memasarkan produk kesejahteraan masing-masing dengan menyertai acara berkenaan.
"Acara bersifat global ini akan diadakan dari 7 Jun sehingga 9 Jun tahun hadapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
"Ini adalah acara julung kalinya diadakan yang merangkumi 10 teras kesihatan manusia iaitu kesejahteraan, jangka hayat lama dan gaya hidup," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, pendaftaran untuk menyertai program itu telah dilakukan di Eropah, Amerika Selatan dan banyak lagi.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AEI Wellness dan QiMag Wholistic Professionals, Cleopatra Lajawai berkata, sejak dua bulan lalu pihaknya telah memperkenalkan Sabah dan acara berkenaan di Persidangan World’s Aging Asia, Singapura dan Persidangan Asia Herbal di Kuala Lumpur serta Weihai International Expo di Shandong, China.
"IWWCE 2024 juga turut dipromosikan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STC) dan agen-agen pelancongan di India serta China.
"Dalam tempoh 10 bulan akan datang, kami akan hadir ke acara Kesihatan dan Pelancongan Antarabangsa di Eropah untuk memperkenalkan Sabah sebagai 'Green-Blue-Clean Sabah' iaitu destinasi kesihatan semula jadi di Asia," katanya.
Baru-baru ini Pengerusi AEI Wellness Sdn Bhd merangkap Pengasas Persekutuan Industri Sabah (FSI) Dr. Jes T. Y. Lim serta rombongan mengadakan kunjungan hormat kepada Christina.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Alesia Sion.