
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot yang membawa muatan pelbagai hasil laut spesies terancam dalam satu operasi 27 September lalu di lokasi kira-kira 58 batu nautika Barat Laut Simpang Mengayau di sini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata bertindak dengan maklumat risikan yang diterima, dua bot berkenaan dikesan oleh aset ronda daripada Maritim Negeri Sabah Labuan, KM Ikhlas ketika melaksanakan operasi sekitar pukul 12.35 petang.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot pertama mendapati dua individu warga Filipina dan seorang warga Indonesia berumur lingkungan 37 hingga 52 tahun mengendalikan bot berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 35 karung berisi ikan buntal dengan anggaran berat kira-kira 630 kilogram (kg), kerang kering (kima) 76 karung dianggarkan seberat 1,368 kg, penyu kering yang diisi di dalam karung berjumlah 39 karung dan 14 buah kotak dianggarkan seberat 865 kg.
“Turut ditemukan siput kering (kahanga) dua karung anggaran 30 kg, enam kg kuda laut satu karung, sirip ikan yu satu karung dan ikan beku (maming napoleon) enam kotak yang masing-masing satu kotak berisi 25 ekor,” katanya.
Beliau berkata hasil pemeriksaan sebuah lagi bot mendapati terdapat muatan sejumlah 2,100 kg mengandungi kerang kering (kima) dan ikan buntal kering anggaran sejumlah 375 kg.
“Bot berkenaan dikendalikan oleh dua orang warga tempatan masing-masing berumur 50 dan 57 tahun serta seorang lagi warga Filipina berumur 45 tahun.
“Kesemua suspek bersama bot dan barang rampasan ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi tindakan selanjutnya.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, Akta Perikanan 1985 dan Akta Kastam 1967.
“Suspek juga disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 dan Peraturan-peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008 awak-awak gagal menunjukan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim agar membantu agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 bagi Pusat Operasi Kudat dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.