
KENINGAU: Lapan pasukan bola sepak sekitar kampung di Mukim Patikang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan berentap bagi merebut tempat ke Pertandingan Bola Sepak Piala Mukim Datuk Annuar Ayub Aman yang akan berlangsung di Padang Bola Sepak Kampung Agudon Sabtu ini (esok).
Jurucakap penganjur yang juga Pemaju Mukim Patikang, Mohd Zailani Abdullah (gambar) berkata, pertandingan julung kali diadakan secara liga mendapat sambutan yang amat menggalakkan, yang melibatkan pasukan daripada Mukim Patikang iaitu Pasukan Bakiau, Patikang Ulu, Bulu Silou, Agudon, Patikang Laut, Kg Masak, Kg Contoh, dan Kg Muhibbah.
“Kejohanan sebegini boleh dijadikan medan buat bakat-bakat tempatan mempamerkan kemahiran dan mencungkil bakat ke peringkat lebih tinggi di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat di kampung itu,” katanya.
Hadiah pada peringkat kelayakan katanya, akan membawa pulang hadiah tunai RM800, piala dan medal iringan bagi juara, manakala naib juara menerima hadiah RM400.
Di peringkat Piala Mukim juara akan menerima wang tunai RM2,000, piala dan medal sementara naib juara dan ketiga masing-masing menerima RM1,500 dan RM1,000 berserta medal.
Mohd Zailani mempelawa orang ramai terutama 'kaki bola' di kawasan DUN Liawan agar hadir memeriahkan pertandingan yang julung kali diadakan itu.