KOTA KINABALU: Dalam memastikan kesiagaan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa konsisten, enam Kapal Diraja (KD) berjaya melaksanakan Perang Borneo Siri 4/23 yang sinonim di Armada Timur.
Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy berkata latihan yang bermula sejak 25 September itu membabitkan penyertaan KD Perak selaku Ketua Gugus Tugas, KD Selangor, KD Kelantan, KD Badik, KD Ganas dan KD Rencong.
“Dengan berkonsepkan Field Training Exercise (FTX), pelaksanaan latihan dilihat sebagai pendekatan dinamik bagi melatih dan menilai keupayaan aset serta kecekapan warga TLDM di Armada Timur dalam tiga aspek penting iaitu navigasi, komunikasi dan peperangan maritim.
“Pengekalan objektif serampang dua mata sebagai platform Perang Borneo ini juga dijadikan ruang untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kecekapan warga kapal di samping memperagakan kehadiran aset TLDM di Zon Maritim Malaysia (ZMM) Sabah.
“Latihan ini turut menekankan aspek pelaksanaan perintah dan kawalan semasa pelaksanaan penembakan sasaran permukaan statik,” katanya.
Menurutnya Perang Borneo kemudian diakhiri dengan sesi Post Exercise Debrief bagi memastikan segala pemerhatian dan penilaian yang dikongsikan oleh Bahagian Kesiagaan (N10) Armada Timur dapat menyumbang ke arah kecemerlangan dan peningkatan momentum warga Armada Timur.
Tambahnya setiap maklumat terbabit turut diketengahkan serta diperhalusi untuk tindakan penugasan akan datang.