Anda di sini

29 September: Takdir tersurat, Hajiji merakyat

Advertisement
 


HARI ini (29 September) datang lagi. Tarikh keramat yang terpahat dalam sejarah negeri Sabah. Tarikh Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16, tiga tahun lalu (2020). Tarikh rasmi mengambil alih baton pemerintahan negeri.

Inilah detik bersejarah bagi Hajiji dalam perjuangan politiknya. Saat yang tidak mungkin dilupakan. Tentunya juga momen terindah buatnya seisi keluarga.

Tiada siapa menduga, takdir tersurat Hajiji diangkat mengemudi pentadbiran negeri. Segalanya atas ketentuan-Nya jua.

Hari ini mungkin tiada sambutan mengingati tarikh keramat itu. Tapi cukup sekadar, kita berdoa mengikut kepercayaan masing-masing untuk kesihatan dan kesejahteraan buat Hajiji supaya terus ada kekuatan memimpin negeri.

Pujangga ada berpesan, tarikh keramat dan bersejarah itu dilupa jangan. 

Maka hari ini, kita menulis ringkas untuk mengimbas masa lalu, merenung sejenak  dan melihat jejak-jejak perjalanan Hajiji sepanjang tiga tahun ini.

Sebenarnya, terlalu banyak fakta jika mahu ditulis semuanya. Begitu panjang cerita kalau mahu diungkapkan. Kerana sepanjang tiga tahun pertama ini, pelbagai pendekatan dibuat. Bermacam perubahan berlaku. Semuanya menjurus kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Yang jelas, langkah Hajiji terus merakyat. Dipayungi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau mengabdikan perjuangannya untuk mencapai hala yang dituju, menggapai cita-cita dan gagasan besar seperti termaktub menerusi Sabah Maju Jaya (SMJ).

Kepentingan rakyat akar-umbi sentiasa menjadi keutamaan. Pendekatannya bersifat pragmatik. Tetap tunduk ke bawah dan tidak mendabik ke atas.

Pengeluaran geran tanah kepada penduduk luar bandar antara yang sangat mengembirakan rakyat. Ini sebahagian contoh kecil pendekatan merakyat tunduk ke bawah.

Di sisi lain, usaha pembangunan dan pelaburan terus diperhebatkan mengikut kerangka yang tersedia. Dalam tempoh sesingkat tiga tahun ini, usaha itu sudah membuahkan hasil.

Contohnya, perdagangan negeri Sabah telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah, iaitu melonjak naik RM118.1 bilion pada tahun 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.

 Dipayungi kerajaan GRS, langkah Hajiji terus merakyat di seluruh pelusuk negeri Sabah.
BERJIWA RAKYAT: Dipayungi kerajaan GRS, langkah Hajiji terus merakyat di seluruh pelusuk negeri Sabah.

Selain itu, dalam tempoh tiga tahun lalu, Kerajaan Negeri telah berupaya membawa masuk lebih RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.

Hakikatnya, dengan prestasi ekonomi baik berserta Hala Tuju SMJ  yang diperkenalkan, kepemimpinan Hajiji telah berjaya merealisasikan usaha murni kerajaan dalam membangunkan semula ekonomi Sabah.

Menoleh jejak-jejak langkah yang ditinggalkan sepanjang tiga tahun pertama ini, ternyata sudah banyak legasi tercipta. 
Maka perjalanan tahun-tahun berikut ini diharapkan meluncur lebih baik, bagi membawa Sabah bertambah makmur.

Kalau dalam tiga tahun yang berlalu diulit  bermacam cabaran, dari pandemik sampai kudeta, adalah diharapkan jalan di hadapan kini lebih membawa harapan -- semoga ada sinar di hujung terowong.

Kepada Hajiji, selamat ulangtahun ketiga menerajui pentadbiran negeri. Sukses selalu. Sabah Maju Jaya!
 

Advertisement